27 March 2014

Peranan Penulis Terhadap Situasi Mesir



"Kita hidup dalam dunia yang dilingkari dengan kekejaman dan tanpa kita sedari kitalah sebahagian daripada pelaku kekejaman itu". Itulah yang boleh AR nyatakan berhubung dengan isu Mesir ini. Isu Mesir ini bukan sekadar isu dalaman Mesir tetapi ia sebenarnya isu global yang menuntut keprihatinan seluruh warga dunia tanpa mengira ideologi, fahaman politik, kaum atau agama. Mana mungkin 529 orang dihukum bunuh dengan perbicaraan yang berlangsung cuma 2 hari sahaja! Tidak masuk akal untuk manusia moden pada hari ini menerima keputusan mahkamah rimba itu. Dan yang lebih menarik lagi ialah keputusan itu dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Jenayah yang terang-terang memusuhi pergerakan Ikhwanul Muslimin (kerana di belakangnya ialah al-Sisi). Biarpun  bekas Ketua Mahkamah Rayuan Mesir, Rifaat el-Sayed menyatakan keputusan (hukuman mati 529 ahli Ikhwanul Muslimin) itu boleh sahaja diperbetulkan sewaktu proses dalam Mahkamah Rayuan nanti tapi hakikatnya perbicaraan dan hukuman awal telah dijatuhkan tanpa prinsip perundangan yang telus dan adil.
Sebenarnya inilah gambaran tentang keruntuhan tamadun manusia Islam. Bermula dengan Iraq, Afghanistan, Libya, Syria dan selepas ini pasti akan menjangkit kepada Negara Mesir. Inilah juga gambaran untuk musuh-musuh Islam (tentu sekali Israel) mula menyalakan api pesta mereka. Tidakkah kita sedar bahawa "Tiap umat Islam itu bersaudara" tetapi tetap juga kita nyalakan dan cari perbezaan-perbezaan yang ada antara satu kumpulan Islam dengan kumpulan Islam yang lain. Kita tidak pergunakan perbezaan itu untuk saling kenal mengenal di bawah prinsip-prinsip Islam ke arah kebaikan tetapi kita gunakan untuk menyemarakkan api persengketaan sesama Islam. Malahan ada kumpulan Islam yang beranggapan Yahudi itu lebih bagus untuk dibuat rakan berbanding kumpulan Islam yang tidak bersetuju dengan prinsip kumpulan mereka! MasyaAllah.
Jikalau demokrasi menjadi bahan pertimbangan barat untuk dibuatkan penilaian maka Presiden Mohamed Morsi yang telah memenangi pilihan raya Mesir itulah yang sepatutnya diangkat menjadi presiden Mesir. Mengapakah hal ini tidak terjadi?  Biarpun Mohamed Moorsi telah terpilih namun melalui rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera yang didalangi al-Sisi maka barat telah membiarkan rampasan kuasa itu berlaku tanpa ada sedikitpun rasa simpati untuk membantu (Malahan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama telah merestui rampasan kuasa ini). Mohamed Morsi dibiarkan tanpa ada sedikitpun usaha untuk membantunya. Malahan Negara-Negara Islam cuma mampu berteriak dan menyalak (sekadar melepaskan batok di tangga) untuk membantu Morsi. Inilah hakikatnya dunia nyata pada hari ini. Mereka yang cuba memperjuangkan Islam akan diperlihatkan seolah-olah sudah diletakkan dalam kandang orang bersalah. Semua ketua Negara Islam takut untuk memberikan bantuan kerana takut jawatan mereka akan terlucut, ekonomi negara mereka akan terjejas dan keistimewaan yang mereka ada akan ditarik balik. Inilah hakikat dunia yang sedang kita duduki!
Islam itu sesuai untuk sepanjang zaman. Semua umat Islam bersaudara. Lihatlah bagaimana Bilal Bin Rabak yang hitam itu juga menjadi mulia dan dijanjikan syurga. Allah SWT tidak melihat kepada paras rupa tetapi kemuliaan manusia Islam itu diukur daripada Taqwa manusia Islam itu kepada Allah SWT. Sebagai penulis, Allah SWT telah memberikan kita kelebihan maka jangan dipersiakan bakat dan kebolehan yang ada untuk memperjuangkan Islam. Kita melihat kemungkaran telah berlaku di bumi Mesir maka menjadi kewajipan kita sebagai penulis Islam untuk memberikan sumbangan bagi membangkitkan rasa kesedaran dalam jiwa umat Islam di seluruh dunia. Marilah kita bangkit dan bersatu hati untuk sama-sama memberikan bantuan kepada saudara Islam kita yang telah ditindas di bumi Mesir. Mungkin kita tidak kaya harta tetapi dengan kekayaan (ilmu penulisan) yang dilimpahkan oleh Allah SWT maka mungkin usaha sedikit kita itu mampu mengubah situasi di Mesir, insyaAllah. Yakinlah bahawa janji Allah SWT itu tetap benar.



17 March 2014

Buku Ahmad Ammar Satu Kematian Yang Hidup

Hari ini AR terjumpa sebuah buku bertajuk Ahmad Amar Satu Kematian Yang Hidup. Selalu juga diperkatakan mengenai Allahyarham ini jadi AR ingin mengetahui kisahnya secara mendalam. Tajuknya juga telah dipilih dengan baik iaitu satu kematian yang hidup.... menimbulkan persoalan mengenai Siapakah dia Ahmad Ammar? Semoga dengan membaca buku ini pemahaman AR mengenai diri Ahmad Ammar akan meningkat insaAllah.

12 March 2014

Ulang Cetak Novel Tujuh Keturunan

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana dengan limpah rahmatNya maka Novel Tujuh Keturunan diulang cetak dalam masa tiga bulan. Tengah hari tadi AR telah dihubungi editor dari ITBM memaklumkan bahawa Novel Tujuh Keturunan akan diulang cetak dalam masa terdekat. Editor bertanya jikalau ada-apa pembetulan yang ingin dilakukan terhadap cetakan pertama kerana pihak pengurusan ingin mengulang cetak dalam masa terdekat.  Akhirnya AR berikan kebenaran memandangkan tiada kesilapan serius dalam cetakan pertama itu. Pihak pengurusan ITBM ingin cepat memandangkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC akan berlangsung tidak lama lagi. AR juga telah ditawarkan slot di dalam acara tersebut. Kemungkinan slot AR pada hari Jumaat pertama jam 5.00 petang di pentas ITBM.
Berita buku diulang cetak merupakan berita yang amat mengembirakan bagi mana-mana penulis. Apabila buku diulang cetak pastilah pertama penulis akan mendapat royalti berganda. Perkara kedua ialah apabila diulang cetak  ini bermaksud buku itu diterima oleh pembaca dan punya momentum untuk bergerak dalam kalangan pembaca. Semoga momentum yang terbit ini akan menjadi berganda. Terima kasih kepada pembaca kerana menerima kehadiran Novel Tujuh Keturunan.

11 March 2014

Kumpulan Cerpen Buraq.... buku ke-10

    
  Syukur alhamdulillah tercapai juga hajat AR untuk melihat buku karangan AR yang kesepuluh diterbitkan. Novel pertama AR berjudul FELDA Bukit Jelatang telah diterbitkan pada Mac 2005. Dan pada tahun 2014 Kumpulan Cerpen Buraq telah diterbitkan oleh ITBM. Kumpulan cerpen ini merupakan buku ke-10 yang telah ditulis oleh AR.
        Kumpulan Cerpen Buraq ini merupakan kumpulan cerpen yang mengandungi 10 buah cerpen. Manuskrip ini sebenarnya telah dihantar untuk Pertandingan Menulis Novel, Cerpen dan Puisi anjuran ITBM, PENA dan BH. Manuskrip ini walau bagaimanapun tidak menang dalam kategori cerpen. Namun begitu oleh kerana manuskrip ini lengkap dan memenuhi kriteria penerbitan ITBM maka pihak ITBM telah menawarkan untuk diterbitkan. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, AR menerima pinangan pihak ITBM ini.


       10 buah cerpen yang termuat dalam kumpulan cerpen ini ialah;
1. Singa Tua Di Rumah Agam.
2. Pulau Impian Hanum.
3. Kopi Luwak Dan Musang.
4. Rumah Nenek Hendak Roboh.
5. Belenggu.
6. Cicak Ekor Dua.
7. Papa Ingin Sempurna.
8. Tongkat Kota Pura.
9. Al-Fatihah.
10. Buraq.


    Cerpen-cerpen yang termuat ini sebenarnya belum pernah diterbitkan jadi jikalau pembaca ingin mendapatkan kumpulan cerpen ini boleh menghubungi AR. Selamat membaca.

03 March 2014

Adegan Berahi Dan Penulisan



       "Membaca Jambatan Ilmu", itulah cogan kata atau ungkapan keramat yang sering kita wara warakan kepada pelajar. Cogan kata itu membawa maksud apa jua ilmu yang ingin kita peroleh maka ia haruslah bermula dengan membaca. Ilmu dihubungkan dengan pelajar itu dengan cara mengikut melalui bacaan yang dilakukan. Tanpa membaca tidak mungkin pelajar itu akan memperoleh ilmu pengetahuan. Jadi kesimpulannya pelajar harus membaca jikalau ingin memiliki ilmu pengetahuan. 
Ada satu lagi pendapat yang ada hubungan dengan  membaca juga iaitu "apa yang kita baca itu akan menentukan apakah rupa kita". Ini bermaksud bahan yang kita baca itu akan mencorakkan kita.
        Berbalik kepada tajuk entri kali ini iaitu Adegan Berahi Dan Penulisan maka tidak perlu disangkal lagi betapa jikalau novel itu diselitkan dengan penulisan yang punya unsur porno, erotik atau berahi maka itulah sajian yang akan mencambahbiak dan menyuburkan jiwa pelajar kita. Adegan-adegan inilah yang akan menumbuhkan tulang temulang, otot, rambut, hati dan perasaan para pelajar kita. Tidak perlulah penulis menafikan kononnya bacaan itu untuk panduan suami isteri atau mereka yang sudah dewasa kerana hakikatnya bahan bacaan tersebut dibaca oleh pelajar.  Pelajar yang tidak matang ini akan menerima sahaja apa yang dibaca. Benarlah ungkapan "membaca jambatan ilmu" dan jikalau pelajar membaca bahan bacaan yang berunsur berahi maka dapatlah pelajar itu ilmu berahinya. Dari mana pelajar itu pelajari ilmu berahi? Tanyalah penulis buku-buku berahi ini.
        Sebenarnya AR akui penulis juga dalam dilema. Buku-buku yang laris kebanyakannya buku-buku cinta dan ada unsur erotic. Ini ibarat lombong emas yang bersedia untuk dipugar, digali dan dipersembahkan kepada khalayak pembaca. Mereka yang dahagakan duit tanpa punya iman yang kukuh akan terjebak dan terpengaruh untuk menulis cerita-cerita sebegini. Penulis murahan ini akan hilang pedoman demi melihat ganjaran wang yang banyak. Tanpa mereka sedari (sesetengahnya sedar tetapi cuma pejam sebelah mata) mereka telah menggadaikan maruah diri sehingga sanggup menarik pelajar ke lembah kehinaan. Kita khuatir apabila melihat gejala pembuangan bayi yang berleluasa. Kita khuatir gejala bohsia dan bohjan. Kita khuatir kepada gejala seks bebas dan kita khuatir kepada apa sahaja bentuk pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan tetapi kita sukar untuk menyalahkan penulis murahan selagi bukti saintifik dijadikan asas dalam sabitan kes ini....mana mungkin untuk kita sabitkan tetapi penulis harus ingat bahawa anda sebenarnya bertanggungjawab terhadap apa yang anda tulis.