03 March 2014

Adegan Berahi Dan Penulisan



       "Membaca Jambatan Ilmu", itulah cogan kata atau ungkapan keramat yang sering kita wara warakan kepada pelajar. Cogan kata itu membawa maksud apa jua ilmu yang ingin kita peroleh maka ia haruslah bermula dengan membaca. Ilmu dihubungkan dengan pelajar itu dengan cara mengikut melalui bacaan yang dilakukan. Tanpa membaca tidak mungkin pelajar itu akan memperoleh ilmu pengetahuan. Jadi kesimpulannya pelajar harus membaca jikalau ingin memiliki ilmu pengetahuan. 
Ada satu lagi pendapat yang ada hubungan dengan  membaca juga iaitu "apa yang kita baca itu akan menentukan apakah rupa kita". Ini bermaksud bahan yang kita baca itu akan mencorakkan kita.
        Berbalik kepada tajuk entri kali ini iaitu Adegan Berahi Dan Penulisan maka tidak perlu disangkal lagi betapa jikalau novel itu diselitkan dengan penulisan yang punya unsur porno, erotik atau berahi maka itulah sajian yang akan mencambahbiak dan menyuburkan jiwa pelajar kita. Adegan-adegan inilah yang akan menumbuhkan tulang temulang, otot, rambut, hati dan perasaan para pelajar kita. Tidak perlulah penulis menafikan kononnya bacaan itu untuk panduan suami isteri atau mereka yang sudah dewasa kerana hakikatnya bahan bacaan tersebut dibaca oleh pelajar.  Pelajar yang tidak matang ini akan menerima sahaja apa yang dibaca. Benarlah ungkapan "membaca jambatan ilmu" dan jikalau pelajar membaca bahan bacaan yang berunsur berahi maka dapatlah pelajar itu ilmu berahinya. Dari mana pelajar itu pelajari ilmu berahi? Tanyalah penulis buku-buku berahi ini.
        Sebenarnya AR akui penulis juga dalam dilema. Buku-buku yang laris kebanyakannya buku-buku cinta dan ada unsur erotic. Ini ibarat lombong emas yang bersedia untuk dipugar, digali dan dipersembahkan kepada khalayak pembaca. Mereka yang dahagakan duit tanpa punya iman yang kukuh akan terjebak dan terpengaruh untuk menulis cerita-cerita sebegini. Penulis murahan ini akan hilang pedoman demi melihat ganjaran wang yang banyak. Tanpa mereka sedari (sesetengahnya sedar tetapi cuma pejam sebelah mata) mereka telah menggadaikan maruah diri sehingga sanggup menarik pelajar ke lembah kehinaan. Kita khuatir apabila melihat gejala pembuangan bayi yang berleluasa. Kita khuatir gejala bohsia dan bohjan. Kita khuatir kepada gejala seks bebas dan kita khuatir kepada apa sahaja bentuk pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan tetapi kita sukar untuk menyalahkan penulis murahan selagi bukti saintifik dijadikan asas dalam sabitan kes ini....mana mungkin untuk kita sabitkan tetapi penulis harus ingat bahawa anda sebenarnya bertanggungjawab terhadap apa yang anda tulis.

No comments: