27 March 2014

Peranan Penulis Terhadap Situasi Mesir



"Kita hidup dalam dunia yang dilingkari dengan kekejaman dan tanpa kita sedari kitalah sebahagian daripada pelaku kekejaman itu". Itulah yang boleh AR nyatakan berhubung dengan isu Mesir ini. Isu Mesir ini bukan sekadar isu dalaman Mesir tetapi ia sebenarnya isu global yang menuntut keprihatinan seluruh warga dunia tanpa mengira ideologi, fahaman politik, kaum atau agama. Mana mungkin 529 orang dihukum bunuh dengan perbicaraan yang berlangsung cuma 2 hari sahaja! Tidak masuk akal untuk manusia moden pada hari ini menerima keputusan mahkamah rimba itu. Dan yang lebih menarik lagi ialah keputusan itu dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Jenayah yang terang-terang memusuhi pergerakan Ikhwanul Muslimin (kerana di belakangnya ialah al-Sisi). Biarpun  bekas Ketua Mahkamah Rayuan Mesir, Rifaat el-Sayed menyatakan keputusan (hukuman mati 529 ahli Ikhwanul Muslimin) itu boleh sahaja diperbetulkan sewaktu proses dalam Mahkamah Rayuan nanti tapi hakikatnya perbicaraan dan hukuman awal telah dijatuhkan tanpa prinsip perundangan yang telus dan adil.
Sebenarnya inilah gambaran tentang keruntuhan tamadun manusia Islam. Bermula dengan Iraq, Afghanistan, Libya, Syria dan selepas ini pasti akan menjangkit kepada Negara Mesir. Inilah juga gambaran untuk musuh-musuh Islam (tentu sekali Israel) mula menyalakan api pesta mereka. Tidakkah kita sedar bahawa "Tiap umat Islam itu bersaudara" tetapi tetap juga kita nyalakan dan cari perbezaan-perbezaan yang ada antara satu kumpulan Islam dengan kumpulan Islam yang lain. Kita tidak pergunakan perbezaan itu untuk saling kenal mengenal di bawah prinsip-prinsip Islam ke arah kebaikan tetapi kita gunakan untuk menyemarakkan api persengketaan sesama Islam. Malahan ada kumpulan Islam yang beranggapan Yahudi itu lebih bagus untuk dibuat rakan berbanding kumpulan Islam yang tidak bersetuju dengan prinsip kumpulan mereka! MasyaAllah.
Jikalau demokrasi menjadi bahan pertimbangan barat untuk dibuatkan penilaian maka Presiden Mohamed Morsi yang telah memenangi pilihan raya Mesir itulah yang sepatutnya diangkat menjadi presiden Mesir. Mengapakah hal ini tidak terjadi?  Biarpun Mohamed Moorsi telah terpilih namun melalui rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera yang didalangi al-Sisi maka barat telah membiarkan rampasan kuasa itu berlaku tanpa ada sedikitpun rasa simpati untuk membantu (Malahan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama telah merestui rampasan kuasa ini). Mohamed Morsi dibiarkan tanpa ada sedikitpun usaha untuk membantunya. Malahan Negara-Negara Islam cuma mampu berteriak dan menyalak (sekadar melepaskan batok di tangga) untuk membantu Morsi. Inilah hakikatnya dunia nyata pada hari ini. Mereka yang cuba memperjuangkan Islam akan diperlihatkan seolah-olah sudah diletakkan dalam kandang orang bersalah. Semua ketua Negara Islam takut untuk memberikan bantuan kerana takut jawatan mereka akan terlucut, ekonomi negara mereka akan terjejas dan keistimewaan yang mereka ada akan ditarik balik. Inilah hakikat dunia yang sedang kita duduki!
Islam itu sesuai untuk sepanjang zaman. Semua umat Islam bersaudara. Lihatlah bagaimana Bilal Bin Rabak yang hitam itu juga menjadi mulia dan dijanjikan syurga. Allah SWT tidak melihat kepada paras rupa tetapi kemuliaan manusia Islam itu diukur daripada Taqwa manusia Islam itu kepada Allah SWT. Sebagai penulis, Allah SWT telah memberikan kita kelebihan maka jangan dipersiakan bakat dan kebolehan yang ada untuk memperjuangkan Islam. Kita melihat kemungkaran telah berlaku di bumi Mesir maka menjadi kewajipan kita sebagai penulis Islam untuk memberikan sumbangan bagi membangkitkan rasa kesedaran dalam jiwa umat Islam di seluruh dunia. Marilah kita bangkit dan bersatu hati untuk sama-sama memberikan bantuan kepada saudara Islam kita yang telah ditindas di bumi Mesir. Mungkin kita tidak kaya harta tetapi dengan kekayaan (ilmu penulisan) yang dilimpahkan oleh Allah SWT maka mungkin usaha sedikit kita itu mampu mengubah situasi di Mesir, insyaAllah. Yakinlah bahawa janji Allah SWT itu tetap benar.



No comments: