21 April 2011

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011

Esok bermulalah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011. Pesta buku ini akan bermula pada 22.4.2011 hingga 1.5.2011. Diam tak diam pesta ini menyambut ulang tahunnya yang ke-30! AR akan mengunjungi pesta buku ini pada hari Rabu (27.4.2011) jam 2.00 hingga 6.00 petang. Kali ini AR akan pergi bersama 40 orang ahli PSS dengan menaiki bas.
Pesta buku ini merupakan tempat pertemuan langsung penjual/penerbit buku dengan pembeli. Di sini kebiasaannya penjual akan memberikan promosi diskaun buku yang besar. Pembeli pula akan membeli secara borong kerana harga buku yang ditawarkan pada pesta buku amat murah.
AR amat menggalakkan ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka berkunjung ke pesta buku ini kerana inilah cerminan diri kita. Kita seringkali menyuruh anak-anak kita membaca buku tetapi bagaimanalah rupa agaknya sekiranya kita sendiri tidak berminat kepada buku? AR percaya sekiranya ibu bapa membawa anak-anak ke pesta buku ini maka ia akan dapat menyuntik pengalaman indah dalam jiwa anak-anak kita tentang betapa bernilainya sesebuah buku itu.

16 April 2011

Majlis Diskusi Buku



Majlis diskusi buku telah diadakan di Bilik Seminar PERZIM, Banda Hilir, Melaka pada 16 April 2011. Majlis ini telah diadakan oleh PENAMA dengan kerjasama PERZIM. Dua buah novel karya Sastri Bakri telah didiskusikan iaitu novel Kekuatan Cinta serta novel Hatinya Tertinggal Di Gaza. Pembentang kertas kerja terdiri daripada Hj. Djazlam Zainal (Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Melaka) dan Dr.Hermayulis (ATMA, UKM). Pemudah cara ialah Encik Mohamad Hj. Musip (IPG Melaka)
AR pun masih belum dapat membaca novel ini dan tadi sempatlah AR beli dari penulisnya sendiri iaitu Sastri Bakri. Novel Hatinya Tertinggal Di Gaza setebal 200 muka surat dijualnya RM50! Rasanya AR memperoleh ilmu yang bermanfaat apabila menghadiri majlis diskusi ini. Antaranya ialah usaha keras yang perlu ada pada setiap penulis untuk berjaya selain kepentingan ilmu dalam menghasilkan sesuatu bahan penulisan biarpun novel.
Biarpun majlis agak hambar dengan kehadiran cuma beberapa kerat peserta namun AR fikir sekiranya program ini diaturkan dengan lebih baik lagi pada masa hadapan maka mungkin khalayak akan lebih ramai. Sebagai contoh majlis diskusi ini boleh dimasukkan ke dalam kalender program dan dengan cara ini perancangan yang lebih teliti akan dapat dibuat. Seeloknya elakkan program yang diadakan pada saat-saat akhir kerana ini akan memberikan kesan yang besar kepada peserta yang hadir. Program yang diadakan pada saat-saat akhir pastilah akan menyebabkan maklumat tidak dapat sampai kepada khalayak (strategi iklan tidak akan berkesan) dan ini akan menyebabkan peserta yang menghadirinya sedikit. Apabila peserta sedikit maka kesannya ialah masyarakat akan mengatakan program sastera tiada sambutan (dan dengan senangnya kita katakan jikalau artis pastilah jumlah penontonnya ramai). AR rasa sudah sampai masanya majlis-majlis ilmu ini dirancangkan dengan baik dan diwujudkan kalender program semoga nanti tidak menjadi seperti Bangau Oh Bangau lagi.