10 September 2016

Pengorbanan

Apakah pengorbanan yang paling agung? Tentulah kesanggupan Nabi Ibrahim AS untuk menyembelih anak baginda Nabi Ismail sebagai menyahut permintaan Allah SWT  dianggap sebagai pengorbanan maha agung dalam sejarah hidup manusia. Maksudnya pengorbanan ini ada banyak jenis dan ada tatatingkatnya. Justru sebagai manusia penulis harus kita mengetahui dan mendalami erti pengorbanan sebenar. Pengorbanan bukan sekadar kesanggupan memberi tetapi jauh daripada itu tentu terkait dengan darjah keikhlasan dan persediaan untuk berkorban. Pada kesmpatan ini  AR ibgin mengucapkan Selamat Menyambut  Hari Raya AidilAdha. Semoga Aidil Adha kali ini memberikan kesedaran bermakna buat umat Islam betapa kita dituntut untuk berkorban demi menegakkan agama tercinta ini.

30 August 2016

Erti Merdeka

Merdeka bermaksud bebas. Seringkali orang merujuk merdeka sebagai membebaskan diri daripada belengu penjajah. Persoalan merdeka ini timbul kerana mereka melihat erti merdeka pada perspektif yang sempit. Sebagai penulis, kita seharusnya membuka minda dengan memberikan tafsiran yang pelbafai kepada maksud merdeka. Manusia biasa di Malaysia hanya melihat 31 Ogos 1957 sebagai tarikh manusia Malaysia merdeka sedangkan manusia penulis harus melihat maksud merdeka itu dalam cakupan yang luas. Anjing yang tersepit juga perlu merdekakan dirinya!
SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN BUAT WARGA MALAYSIA. Sesungguhnya kita belum benar-benar merdeka lagi.

08 August 2016

Bicara Buku HAMKA oleh IPM

Bicara buku HAMKA telah dijalankan oleh Ikatan Persuratan Melayu pada 6 Ogos 2016. Program ini telah dijalankan di Muzium Penghulu Md Natar Merlimau Melaka.
Tiga buah buku HAMKA telah dibicarakan iaitu Tenggelamnya Kapal Va Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah serta buku Merantau Ke Deli.
Sesungguhnya HAMKA seorang penulis dan pemikir Melayu yang luar biasa. Kemampuannya untuk mengkritik adat dan budayanya sendiri iaitu Minangkabau amat luar biasa. Olahan bahasa dan plot penceritaan buku karangan beliau dapat memastikan ceritanya menarik malahan malar segar sehingga kini.

24 July 2016

Ramadhan Syawal dan Penulis

Alhamdulillah setelah sebulan kita berpuasa pada bulan Ramadhan maka kita mengecap nikmat kejayaan dengan diberiNya Syawal. Syawal yang sinonim dengan raya. Apakah maksud raya? Raya bermaksud kemenangan. Kemenangan kerana keupayaan kita mengekang hawa nafsu pada bulan Ramadhan. Sebagai balasan atas keupayaan kita itu maka dihadiahi dengan raya. Persoalan yang timbul ialah semua orang Islam menyambut hari raya. Sama ada dia puasa cukup atau tidak atau tidak puasa langsung namun dia tetap akan merayakan Hari Raya Aidil Fitri. Jadi apakah ertinya semua ini? Ini semua bertitik tolak kepada diri kita sendiri. Jikalau kita ikhlas berpuasa kerana taat akan perintah Allah SWT maka nikmat kemenangan itu akan dapat kita nikmati sepenuhnya. Kepuasannya tentulah berbeza darjah kepuasan tersebut berbanding dengan yang puasa tidak cukup atau tidak jujur ketika  melaksanakan amalan puasa wajib tersebut.
Apakah kaitan puasa, raya dan penulisan?
Kita wajib berpuasa pada bulan Ramadhan kerana telah difardhukan kepada kita sebagai umat Islam. Ganjarannya berupa kemenangan dengan sambutan hari raya. Menulis? Menulis itu pula bukannya difardhukan kepada kita sebagai umat Islam namun menulis ini suatu tanggung jawab. Sebagai orang yang telah dikurniakan ilmu maka menjadi suatu tanggungjawab kepada mereka untuk  menyebarluaskan ilmu tersebut. Ilmu yang kita peroleh pada masa sekarang kerana adanya perasaan tanggungjawab dalam diri penulis sebelum ini. Bayangkan jikalau semua orang berilmu pada masa dahulu berpakat tidak mahu menjadi seorang yang bertanggungjawab(dengan tidak menulis) maka mana mungkin untuk kita menjadi pandai. Itulah kelebihan orang berilmu.
Untuk menulis kita perlukan ilmu. Daripada mana kita peroleh ilmu tentulah dengan membaca. Ada juga yang mengatakan mereka peroleh ilmu melalui mata (melihat/menonton) atau mendengar daripada sesuatu sumber. Pokok pangkalnya kena ada ilmu jikalau mahu menulis. Lalu apa kaitannya dengan kejayaan. Kejayaan bagi penulis bukan sekadar apabila mendapat royalti atau honorarium namun yang lebih utama kepuasan kerana ilmu tersebut mampu mengubah kehidupan ahli masyarakat kita....mungkin si pembaca terus berubah atau mengambil masa untuk berubah atau tidak berubah langsung. Hal ini kita serahkan kepada kuasa Allah SWT. Terdapat banyak surah atau ayat-ayat al Quran yang menyatakan tugas kita sebagai manusia hanya memberitahu, memandu, menyatakan atau memaklumkan tentang sesuatu namun yang berkuasa menentukan orang lain berubah hanyalah dengan kuasa Allah SWT. Kita merancang namun Allah SWT yang menentukan, insyaAllah. Laksanakan tanggungjawab kita sebagai orang yang berilmu dengan menulis insyaAllah pasti nikmat kejayaan itu akan kita kecapi.

18 May 2016

Imaginasi Penulis

Kata orang penulis itu arkitek negara. Penulis mampu menulis apa sahaja bagi melahirkan perasaan dan imaginasinya. inilah yang berlaku dalam perjalanan AR bagi menghasilkan novel CEMEH. Hotel Hatten yang terletak di Banda Hilir direncanakan untuk menjadi selerti Museum Of Housing and Living sebagaimana terdapat di Osaka Jepun. Sempena sambutan hari guru, AR berpeluang ke Hotel Hatten untuk jamuan makan tengahari. Sempatlah berpakaian ala Kesultanan Melayu Melaka sambil berimaginasi sekejap. Kalaulah.......seperti yang tertulis dalam bab terakhir novel Cemeh..  .

03 May 2016

Sasterawan Negara Dato' Dr Zurinah Hassan Membaca Syair Novel Cemeh.

Pada 2 hb Mei 2016, AR telah diundang untuk Sesi Bersama Penulis di reruai ITBM pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016. AR telah digandingkan dengan penulis Siti Zaleha Ab Hamid iaitu orang lama yang sudah tidak asing lagi dalam lanskap buku negara. AR berasa bertuah kerana majlis itu turut dihadiri oleh ramai tokoh penulis dan penggiat sastera tanah air. Lebih membanggakan AR apabila Sasterawan Negara turut mengambil bahagian dengan membacakan syair pada halaman 29 novel Cemeh. Terima kasih kepada SN Dato' Dr. Zurinah Hassan. Sesungguhnya ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Kepada mereka yang masih tidak memiliki lagi Novel Cemeh boleh dapatkan novel ini daripada pihak ITBM atau berhubung terus dengan AR.

07 January 2016

Antologi Sejadah Rindu (KOMSAS Tingkatan 5)

Sajak Sejadah Rindu
(Karya Mohd Haikal Bin Aminuddin)
Maksud Setiap Rangkap Sajak

Rangkap 1:


Terkedu aku
di sejadah rindu
mengungkap kalimah syahdu
merekah keinsafan di hati yang beku
mengenang dosaku yang terdahulu

Maksud: Penyajak berdiam sambil bermunajat kepada Allah SWT sewaktu berada di atas sejadah. Beliau mengadu kepada yang Maha Esa sambil memuji kehebatan dan kebesaran Yang Maha  Agung. Dalam bermunajat itulah timbul satu persatu segala kesilapan dan kesalahan yang pernah penyajak lakukan. Sebelum ini jiwanya selalu tertutup untuk memikirkan kesalahannya yang lalu.
Rangkap 2:

Berbekal pancaindera anugerah Tuhan
Kupohon kembali nafas kehidupan
dalam keterhadan dan keterbatasan insan
moga terbuka ruang keampunan
sebelum saat aku dinisankan
di masa yang Kautetapkan.
Maksud: Dengan menggunakan segala pancaindera yang dikurniakan Tuhan, penyajak merayu agar Tuhan menunjukkan dia jalan ke arah kebenaran biarpun akur tentang segala kekurangan dirinya yang ada sebagai manusia biasa. Apa yang diharapkan agar segala taubatnya diterima sebelum beliau meninggal dunia.
Rangkap 3

Air mata menjadi saksi
keikhlasan menjadi bukti
akhirnya
aku sujud menghadap Ilahi
di keheningan yang sepi
lafaz taubat mengiringi
nafas sebak kian mengikuti.

Maksud: Penyajak menangis mengenangkan dosa-dosanya dan bertaubat dengan ikhlas sambil menyerahkan diri kepada Tuhan. Beliau menangis teresak-esak dalam suasana bening menyatakan keinsafan diri terhadap kesalahan lalu.
Rangkap 4:

Hati ini luluh
jiwa yang kaku tersentuh
ayat-ayat cinta disusun kukuh
di sejadah rindu yang lusuh
kemaafan yang kupohon sungguh
dari Pencipta dalam gemuruh.

Maksud: Keegoan diri penyajak musnah dan dia berasakan dirinya kosong. Penyajak memuji keagungan Tuhan di atas sejadahnya. Beliau memohon keampunan dengan sepenuh hati dengan penuh rasa takut hanya kepada Tuhan.

Rangkap 5

Ungkapan doa pada Yang Esa
izinkan aku menjadi manusia
yang taat sentiasa
pada perintah Maha Kuasa
agar aku tidak lupa
dunia ini hanya bersifat sementara.
Maksud : Penyajak mengharapkan kepada Tuhan agar beliau menjadi hamba yang taat kepada perintahNya sepanjang hayat. Beliau juga berharap agar beliau tidak leka dengan kehidupan di dunia yang bersifat sementara.

01 January 2016

Catatan Percutian Ke Bali


Alhamdulillah pada 11 hingga 17 Disember lepas AR dan keluarga telah dapat bercuti ke Bali. Kami sekeluarga ke Bali tanpa menggunakan khidmat agensi pemandu pelancong almaklumlah percutian bajet. Oleh kerana nak berjimat maka kami pergi sendiri tanpa menggunakan khidmat agensi pelancongan. Tahun lepas pun kami ke Perth begitu juga. Begitu juga dengan percutian kami sebelum ini ke Osaka, Seoul, Melbourne, London dan Paris. Tapi kalau pergi umrah kami terpaksa menggunakan khidmat agensi pelancongan sebab Arab Saudi ni lain dari yang lain. Pun begitu ada juga kawan-kawan AR yang pergi umrah sendiri tanpa menggunakan khidmat agensi pelancongan.....ada berani?
Mulanya kami bercadang untuk ke negara bahagian selatan tapi sebab nilai mata wang ringgit yang menjunam maka terpaksa fikir banyak kami yang akhirnya kami memilih Bali. Kenapa Bali? Nanti anda akan dapat jawapannya.
Mulanya cuba jugak cari kapal terbang yang murah-murah untuk ke Bali. Cuba buka web MALINDO (macam tak mesra pengguna), AIRRASIA( banyak sangat bayaran tersembunyi), Singapura Airline(Mahal), JETSTAR (tarikh tak kena), Garuda (pun agak mahal) akhirnya kami memilih MAS. Harga yang ditawarkan oleh MAS biarpun lebih sedikit tapi kami agak berpuas hati kerana tiada caj tersembunyi. Caj tersembunyi yang dikenakan oleh beberapa syarikat penerbangan seolah-olah cuba memperbodohkan pengguna. Hmm berhati-hatilah.
Dek kerana terlalu sibuk dengan tugas dan NGO maka AR tak sempat nak rancang apa-apa. Dua minggu sebelum berangkat, AR telah menempah bilik hotel menggunakan AGODA. Kami memilih Kuta. Entahlah kenapa kami memilih Kuta. Mungkin sebab biasa dengar nama Kuta sedangkan ada banyak pantai peranginan di Bali. Tapi mujur jugak kami pilih Kuta. Harga semalam yang ditawarkan melalui Agoda RM150. Kami pilih 2 bilik. Ada juga anak saya cadangkan agar kami menginap di Lovina (tempat nak tengok dolphin) tapi tak jadi. Hal dolphin ni sebab kami nak balas dendam. Tahun lepas masa ke Perth kami kempunan nak tengok ikan dolphin di pantai Mandurah).
Sampai di Lapangan Terbang Denpasar hari sudah malam. Kami mengambil teksi Bluebird Innova (kereta besar) di dalam bangunan terminal. Harga ditawarkan 150 Ribu Rupiah. Saya cuba menawar (rupanya boleh dibuat tawar menawar). Akhirnya kami dapat 130 Ribu Rupiah. Tidak sampai 1 jam kami dah sampai ke Wina Holiday Villa, Kuta.
Malam itu kami makan di hotel kerana makanannya halal. "Kalau di luar kami tidak jamin halal, pak." Itulah kata-kata petugas hotel. Malam tu kami makan nasi goreng Wina (30 ribu rupiah). Airnya pulak ada air welcome drink....percuma. Kemudian dapat diskaun 10%. Malam tu kami berjalan di pantai Kuta. Pantainya agak tenang dalam kegelapan malam. Tak ramai orang di pantai malam itu. Terdengar jugak muzik liar sewaktu kami melintas jalan. Ohh patutlah sebab kami di Kuta rupa-rupanya. Malam itu kami tidur lena.
Esoknya kami bersarapan percuma di hotel. Kami bersarapan lewat sekitar jam 10.00pg. AR nasihatkan ahli keluarga AR supaya makan kenyang-kenyang kerana mahu berjalan sekitar Kuta almaklumlah makanan halal sukar diperoleh (itu dalam fikiran AR). Sebelum berjalan kami ingin lanjutkan tempahan bilik sebab tengok Kuta ni macam bagus aje. Rupa-rupanya nasib menyebelahi kami. Lovina tu senang cerita tak banyak tarikan cuma nak melihat dolphin sahaja. Bila kami nak tempah bilik di lobi, petugas tu kata semalam USD150. Kami terkejut manusia(bukan terkejut beruk). Tengok duit pun bukannya banyak sangat cuma sekadar cukup-cukup aje kalau dicampur-campur duit syiling hihihi. Kami kata Agoda bagi RM150 semalam. Jadi dia suruh kami gunakan khidmat Agoda. Lepas kami godek Agoda dapat harga RM140 jadi terus kami sambar (fuhhh selamat). Jadi itulah antara petua nak jimat waktu melancong.
Kami menaiki van hotel dan berjalan sekitar Kuta. Kami pergi window shopping di Matahari Mall. Harganya berpatutan. Jalan-jalan perut pun lapar. Nak makan apa? Ada pulak nasi padang. Itulah tempat kami makan. Kiranya Kuta ni lebih hebat dengan pelancong luar yang terlalu-lalu ramai. Sambil berjalan AR mula rencanakan apa yang nak dibuat dengan baki 6 hari lagi, tak kan hari hari nak mandi laut? Balik ke hotel kami naik teksi. Teksi tak mahu pakai argo(meter) jadi dia mintak RM10. Ok le tu. Petang tu kami mandi di pantai Kuta. Malamnya kami berjalan di jalan utama Kuta. Terlalu-lalu banyak hiburan dengan pub dan disko yang terlalu-lalu banyak. Mat saleh, mat negro, arab, India, Rusia, Jerman penuh di sini.....sesak.
Pagi esoknya hujan dan nampak gayanya hujan berterusan sampai ke petang......nak buat apa? Lalu tengah hari tu kami berlegar sekitar hotel. Ternampak iklan di lobi tentang pakej ditawarkan lalu kami berjumpa petugas di pejabatnya. Alhamdulillah pakej 3 hari dengan 3 perjalanan jauh itu berharga RM450! Rasanya terlalu murah.
Esoknya selepas sarapan kami berangkat jam 8.30 pagi. Kami ikut Uluwatu Nusa Dua Tour. Kami naik kereta Suzuki yang boleh memuatkan 8 orang sedangkan kami berenam termasuk pemandu kami. Pemandu kami agak peramah orangnya (nama tak ingat). Dia orang Bali (Emak Cina Bali, ayahnya Jawa). Kami ke Tanjong Benoa (sebab anak lelaki saya tak sabar-sabar nak scuba). Setelah dibuat tawar menawar akhirnya kami dapat 280 Ribu Rupiah untuk scuba 2 orang dan snorkling bagi 3 orang.
Rasanya tempat scuba tu tak lah bagus sangat sebab karangnya pun dah banyak rosak, ikan pun tak banyak yang menarik. Nemo pun jumpa seekor aje. Tioman lagi bagus.
Kemudian kami menaiki van bergerak ke sekitar bantai Tanjong Benoa. Pemandu kami tunggu van manakala kami pergi berenang di tepi laut. Dia dah suruh kami ke kanan tapi kami pergi ke kiri akhirnya kami termasuk ke kawasan larangan. Kawasan pantai untuk orang yang banyak duit. Laa memang tak tahu malu betul minah saleh ni! Ada ke patut dia tak pakai.... .
Kemudian kami dibawa melawat kawasan suci orang Bali (macam kuil jugak le) tapi tempatnya macam di 12 apostle di Melbourne. Awas ye monyetnya boleh tahan ganas tapi mujur juga kami tidak diusik.
Esoknya kami melawat Livina (Morning Dolphin Tour) untuk melihat dolphin. Kami bertolak jam 2.30 pagi. Pemandu kami memandu membelah kawasan Bali mengikut kawasan berbukit bukau dan berjurang dalam. Kecut jugak perut dibuatnya. Kami akhirnya terlelap membiarkan pemandu kami memandu. Dia kelihatan agak cekap jugak. Kami sampai di Livina jam 5.30 pagi. Kalau nak lihat dolphin kena tiba awal selewat-lewatnya jam 6.15 kalau tak nanti good bye. Lepas sembahyang subuh kami bertawar harga dapatlah 300 ribu rupiah untuk 5 orang. Nasib tak baik kaki saya terkena batu karang sewaktu nak naik bot. Lepas 20 minit berlayar baru kelihatan dolphin. Pehh banyak dan memang berbaloi. Kawasan pantai itu dijaga oleh penduduknya daripada pencerobohan sebab itu dolphin itu dapat dikekalkan.
 Selepas Lovina kami pergi mandi air panas (hot spring). Seronok mandi di situ. Selepas itu kami bertolak ke air terjun Gitgit (hmmm boleh lah). Hampir petang kami sampai di hotel. Esok kami nak berehat jadi kami tangguhkan perjalanan esoknya.
Anak lelaki tak sabar pulak nak rasa Surf board. Hujan pulak lebat dan akhirnya petang baru dapat ke pantai. Bertawar harga dengan orang Medan akhirnya dapat 70 ribu rupiah tambahan 100 ribu untuk harga juru latih. Dapat jugak anak AR belajar gunakan surf board. Ombak di pantai Kuta memang sesuai untuk mereka yang baru belajar bermain surf board.
Esoknya kami pergi ikut Kintamani Tour. Kami pergi ke Gunung Berapi Batul dan Agung (nak tunjukkan anak-anak tentang kawasan geografi gunung berapi. Kemudian kami melawat Tegallalang Rice Terrance sebelum berhenti di Taman Agro untuk melihat perusahaan kopi (termasuk kopi luwak). Petangnya kami sampai di Ubud tempat berjualan lukisan. Memang menakjubkan dan rasanya AR harus bermalam di situ untuk meninjau keseluruhan tempat (mungkin lain kali). AR beli 2 buah lukisan di sini.
Esoknya tibalah masa untuk berangkat. Pagi itu kami mandi di pantai dan anak-anak bermain surf board. Dapat harga 60 ribu rupiah untuk 2 surf board dengan orang Medan tu (sebab saya cuba cakap ikut loghat minangkabau).
Itulah pengalaman ke Bali. Untuk percutian bajet rendah rasanya berbaloi. Jangan lupa di Bali ni banyak makanan padang jadi usah terlalu takut untuk makan. Seperkara lagi. Orang Bali ni memang rupanya Melayu tapi agamanya Hindu jadi usah keliru.