Saya baru melihat Inside di National Geografi. Cerita ini mengisahkan bagaimana tahanan di Penjara Guantanamo dilayan (kisah ini sudah banyak kali didengar). Tentera Amerika dengan rasa bangga menyatakan bahawa mereka rasa bangga melakukan keadilan dengan menahan tahanan ini. Tahanan ini ditahan tanpa dibicarakan. Ada tahanan yang sudah menjangkau 7 tahun berada di sini. Bagaimanakah agaknya jika kita tiba-tiba ditahan? Sudahlah kita tidak tahu akan kesalahan kita dan kita pula tidak diberikan peluang untuk mendapat keadilan. Bukankah itu kejam namanya. Sebagai rakyat yang merdeka adalah penting untuk kita dilayan sebagai seorang manusia. Semoga roh dan semangat kemerdekaan ini meresap jauh ke dalam setiap jiwa rakyat Malaysia.
Di bawah ini sajak hasil nukilan beberapa orang pelajar tingkatan 2. Sajak ini ditulis sebagai salah satu aktiviti kumpulan sempena bulan kemerdekaan. Tema sajak yang ditulis ialah kemerdekaan. Sama-samalah kita hayati pandangan mereka tentang erti sebuah kemerdekaan.
Jasa Pejuang Kemerdekaan.
Penulis : Hiew Wei Hong
Hatiku ingin kulelong
tapi aku makan hati berulam jantung
dan jasa sebesar gunung
ingin aku tetap kendong.
Jikalau ada paku yang patah
segenggam jua dapat kuratah
kerana jasa pejuang
akan tetap aku kenang
merdeka! merdeka! merdeka!
MALAYSIA TANAH AIRKU
PENULIS : FARAH
Di tanah ini
bekas tumpah darah
begitu ramai pejuang
yang sanggup menggadaikan nyawa demi warga tercinta.
Penjajah
disebabkan engkau
ramai pejuang terkorban
Tuk Janggut, Mat Kilau, Tuk Gajah
dan sekian banyak nama tak terhingga
sehingga menimbulkan kacau bilau
menggugat keamanan negara.
Marilah
marilah sekalian rakyat Malaysia
kita bersatu menegak panji-panji negara
bagi kemajuan nusa dan bangsa.
KEMERDEKAAN HAKIKI
Penulis : Wahida
Setahun hanya sekali
sambutan merdeka akan tiba dan pergi
bulan merdeka yang aku nanti-nanti
akhirnya menjelang lagi.
Setahun hanya sekali
hari kemerdekaan adalah kenanganku
lalu ia bersemi di hati dan sanubari.
Setahun hanya sekali
aku meraikan kemerdekaan ini
dengan menyahut merdeka! merdeka! merdeka!
Di hari bersejarah ini
aku berasa bersemangat
kerna negaraku telah bebas
bebas dari penjajah
merdeka! merdeka! merdeka!
KEMERDEKAAN
Penulis : Huzaimi
Naik Basikal pergi ke pekan
pergi ke kedai beli belacan
31 Ogos merdeka
tiga kali kita laungkan
merdeka! merdeka! merdeka!
Zaman Jepun zaman penjajah
ramai terbunuh kerna membela nusa
Tunku Abdul Rahman Bapa Kemerdekaan
jasamu akan aku sanjung sepanjang zaman.
ERTI KEMERDEKAAN
Penulis: Azwan
Dahulu kala kita dijajah
Kini sekarang kita merdeka
Tunku Abdul Rahman tokoh terbilang
menjadi sanjungan sepanjang zaman.
Penjajah itu sifatnya kejam
menyiksa, menafi hak warga
lahir Tun Abdul Razak Bapa Pembangunan
cuba hapuskan kesengsaraan.
Sudah lama hidup dalam kegelapan
seawal abad 16 hingga tahun 57
kini api sinar mula membahang
semangat juang semakin kukuh.
Baru kini aku mengerti
mengapa hari merdeka harus dihayati
betapa bersyukur akan kebebasan ini
aku bebas membuat pilihan sendiri.
Terima kasih buat pejuang
sekalung budi buat kalian
hanya Tuhan tempat aku pohonkan
moga roh pejuang akan tetap tersimpan
syurga abadi buat kalian.
No comments:
Post a Comment