Esok Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) akan bermula untuk murid-murid Tahun 6. AR ingin mengucapkan selamat menjawab ujian penting ini buat adik-adik semua. AR doakan agar adik-adik dapat menjawab soalan dengan tenang. Usah terburu-buru ketika menjawab sebaliknya jawablah dengan bijaksana. Sudah banyak tip-tip menjawab soalan yang diberikan oleh guru-guru malahan di dalam surat khabar pun ada disediakan ruangan khas ini.
Kepada ibu bapa pula AR harapkan agar ibu bapa tidak terlalu menekan anak-anak untuk belajar pada saat-saat akhir. Sepatutnya pembelajaran itu merupakan suatu proses yang menyeronokkan buat anak-anak kita. Ingatlah bahawa anak-anak kita ini masih berada di alam kanak-kanak yang masih perlu dikembangkan sahsiah, emosi, jasmani dan inteleknya. Keperluan perkembangan JERI ini biasanya dikaitkan dengan alam persekolahan namun tekanan peperiksaan menyebabkan ibu bapa dalam dilema. Masyarakat masih melihat keputusan yang tertera di atas sijil sebagai keputusan muktamat dalam membuat penilaian diri seseorang. Itulah hakikatnya dan biarpun kerajaan berusaha memasukkan markah kegiatan kokurikulum dalam pemilihan masuk ke universiti atau sekolah berasrama namun hakikatnya usaha ini masih diragui oleh ibu bapa. Apa yang pasti ibu bapa perlu melihat anak-anak sebagai insan yang sedang melalui proses perkembangan diri. Usahlah terlalu menekan diri anak-anak kita. Sememangnya kita meletakkan harapan yang tinggi terhadap anak-anak namun dalam masa yang sama harus memastikan jiwa anak-anak kita dapat berkembang dengan sihat. Berusahalah, berdoalah dan bertawakkallah agar keputusan anak-anak kita nanti akan cemerlang, insyaAllah.
No comments:
Post a Comment