Menulis memerlukan tenaga. Tenaga untuk menulis bukan sahaja datangnya daripada makanan tetapi juga datangnya daripada motivasi diri. Persoalannya bagaimanakah cara untuk memotivasikan diri untuk menulis? Motivasi terbahagi dua iaitu intrinsik dan ekstrinsik. Bahasa yang mudahnya ialah motivasi dalaman dan motivasi luaran.
Manusia memerlukan dorongan untuk membuat sesuatu. Dorongan ini digerakkan oleh sesuatu yang datang dari luar atau dalam diri. Dengan dorongan inilah maka penulis mampu menyiapkan penulisannya. Apakah dorongan atau motivasi yang mampu menggerakkan diri penulis?
1. Sebagai umat Islam asas pertama dorongan ini boleh kita kaitkan dengan niat untuk berbuat baik. Bukankah buat baik itu dibalas pahala. Bukankah dengan pahala itu memudahkan diri untuk masuk ke syurga?
2. Dorongan untuk mengubah diri. Jika selama ini kita asyik membuang masa dengan melepak atau berborak dengan perkara yang penuh dengan fitnah maka kita berusaha untuk menghindarinya. Memanglah berbual dengan rakan itu baik tetapi jika keterlaluan maka mungkin akan mendatangkan keburukan kepada kita. Jadi cara mana hendak mengelakkan ini semua ialah dengan mengubah kebiasaan diri dengan menulis.
3. Dorongan untuk mendapatkan sumber pendapatan. Menulis boleh dilakukan oleh mereka yang ingin melibatkan diri secara sepenuh masa atau separuh masa. Dengan menulis maka kita akan dapat sumber pendapatan. Pendapatan daripada menulis boleh digunakan untuk memperbaiki taraf hidup, membantu saudara seislam yang lain serta apa jua tujuan hidup. Berapa banyak kita dapat hasil daripada penulisan kita? Sukar juga hendak menjawabnya sebab ia bergantung kepada banyak sedikitnya orang membeli hasil penulisan kita. Selain itu ia juga bergantung kepada perjanjian penerbitan kita. Sebagaimana yang disinggung dalam penulisan lepas iaitu hasil penulisan kita ini merupakan suatu produk. Produk yang dibeli oleh orang ramai. Jadi berusahalah untuk menghasilkan produk penulisan yang baik. Jika Edward DeBono boleh membeli sebuah pulau peranginan bersumberkan hasil penulisannya(banyak berkaitan Mind Mapping), Ain Maisarah boleh membeli sebuah kondo RM400,000 maka tidak bolehkah anda membeli sebuah komputer riba buat permulaannya apabila mendapat royalti pertama nanti?
4. Dorongan untuk mendapat nama. Cara ini tidak baik tetapi ada juga manusia yang menulis kerana ingin glamour. Apa salah jika ia dapat memotivasikan diri anda buat permulaannya. Lihat sahaja Zaid Akhtar, Ain Maisarah, Norhayati Ibrahim, Faizal Tehrani, A Samad Said dan ramai lagi. Ke mana sahaja mereka pergi pasti ada orang yang mengenalinya. Mungkin tidak sehebat artis tetapi sekurang-kurangnya ada mata yang melihat.
5. Dorongan agar idea kita dapat merubah sesuatu. Mungkin kita inginkan agar orang mengetahui idea kita maka kita cuba menulisnya dalam bentuk yang disukai orang. Penulisan itu boleh sahaja dalam rencana, sajak, cerpen ataupun novel. Sama ada diungkapkan secara berterus terang atau berselindung. Apabila orang membaca maka akan terbit perubahan dalam diri mereka kerana terpengaruh dengan hasil penulisan kita itu.
No comments:
Post a Comment