18 February 2014

Novel Pertemuan Musim Semi




Tajuk                    : Pertemuan Musim Semi

Kategori            : Novel

Penerbit            : ITBM (Tahun Terbitan, 2013)

Bilangan Muka Surat : 463


“Pertemuan Musim Semi” itulah tajuk novel yang ditulis oleh Cikgu Zubaidah Ishak. Novel ini telah habis AR baca dalam masa lima hari (panjang juga masa diambil) kerana terdapat 463 halaman. Novel ini telah memenangi tempat ke-3 Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi anjuran ITBM, PENA dan Berita Harian. Pertemuan Musim Semi telah diterbitkan pada 2013 oleh ITBM.

Novel ini berkisar kepada watak Malikah yang menuntut di Universiti Yarmouk, Jordan (sama juga dengan Cikgu Zubaidah yang pernah menuntut di Universiti Yarmouk). Kisah suka duka kehidupan Malikah yang akhirnya bertemu jodoh dengan Nasrullah As-Sha’er ketika sedang menuntut di universiti. Nasrullah merupakan lelaki Palestin menjadi idaman wanita kerana ketokohannya dalam gerakan penentangan terhadap Israel sewaktu di universiti lagi. Hidup Malikah teruji apabila Nasrullah terpaksa memberi tumpuan terhadap tanah air tercinta berbanding cintanya terhadap Malikah. Mampukah Nasrullah berjaya dalam gerakan penentangannya terhadap Israel dan dalam masa yang sama memberikah kebahagiaan terhadap isterinya yang tercinta?

Cikgu Zubaidah Ishak nampaknya begitu arif akan geografi dan sistem pendidikan serta budaya masyarakat Jordan. Kesempatan belajar di sana telah digunakan dengan baik untuk menulis novel ini. Perjuangan rakyat Palestin juga telah berjaya dihuraikan dengan baik dan ini mampu memberikan informasi yang berguna buat kita yang masih tertanya-tanya akan keadaan sebenar Palestin. Novel ini mungkin agak mendatar pada bahagiaan permulaan dan tiada unsur suspen yang keterlaluan namun kebolehan pengarang menguasai cerita dengan baik menyebabkan terdapat tarikan untuk AR membaca novel ini sehingga habis. Cinta itu ada kalanya diertikan sebagai hubungan manusia vs manusia sahaja namun pengarang ini telah berjaya mengangkat darjat cinta manusia (Nasrullah dan Malikah) terhadap tanah air Palestin mengatasi segala-galanya. Biarpun terlalu banyak penggunaan bahasa Arab dalam novel ini namun bijaksananya pengarang kerana mampu menterjemah dan memberikan  daftar kata dalam novel ini telah dapat membantu pembaca. Sesungguhnya novel ini harus dibaca oleh mereka yang ingin mengetahui pergolakan yang berlaku di rantau Timur Tengah terutamanya di Palestin.

Untuk novel ini AR berikan 4 bintang.

No comments: