Showing posts with label kursus. Show all posts
Showing posts with label kursus. Show all posts

01 October 2013

Peserta Bengkel Penulisan Sains dan Teknologi DBP

Inilah keratan akhbar Utusan Malaysia ms 2 1 Oktober 2013. Ramai juga peserta yang hadir bengkel pertama siri ketiga ini. AR juga turut hadir dalam bengkel penulisan ini. Khabarnya bengkel ini juga akan diadakan di Melaka. Didoakan semoga semua peserta yang hadir dapat menghasilkan novel tersebut semoga hasrat kerajaan untuk.memperbanyakkan lagi karya fiksyen sains dan teknologi yang kurang di Malaysia pada masa kini akan bertambah.

24 July 2012

Masalah Manuskrip Kena Tambah Cerita

Inilah masalah sebahagian penulis, masalah besar! Cerita sudah siap, penulis sudah cuci tangan (kiranya tak nak taip lagi untuk cerita itu) tapi dah dekat 6 bulan cerita dihantar tiba-tiba editor suruh tambah cerita lagi. Inilah yang berlaku kepada AR sekarang ini.
Pada masa  sekarang AR sedang menyiapkan sebuah novel awal remaja. Layout sedang dalam proses, ilustrasi sudah siap dan sekarang ini editor cerita awal remaja sedang buat suntingan cerita yang sudah ditambah oleh AR. Nak dijadikan cerita, manuskrip lagi satu untuk novel  yang AR hantar 6 bulan dulu rupa-rupanya baru dibaca oleh seorang editor sebuah penerbitan dan dia minta AR tambah cerita. Hmm susah jugak sebab apa yang kita fikirkan dulu tak sama dengan apa yang AR fikirkan sekarang. Tapi kalau tak ditambah nanti penerbit itu tak nak terbitkan pulak. Inilah cabaran bagi penulis baharu dan rasanya cabaran ini tidak sama dengan penulis dahulu (orang dulu-dulu). Penulis lama biasanya tegas. Tapi pada pandangan AR jikalau saranan editor itu baik apa salahnya untuk kita ikut.
Walau bagaimanapun AR tidaklah berani hendak umumkan apa-apa kerana AR pun takut juga manalah tahu layout dah siap tapi tiba-tiba penerbit tak nak terbitkan karya kita. Hmm doakanlah semoga 2 karya AR ini dapat diterbitkan dengan mudah.

 (Gambar menunjukkan AR bersama rakan sebilik sewaktu Kursus Penulisan & Penerbitan ITBM, PENA & DBP di Pulau Pinang. Cikgu Amir Hamzah ini merupakan penulis Novel Kembara Amira yang terpilih sebagai teks KOMSAS Wilayah Utara)


23 March 2012

Perkampungan Penulis Muda Wilayah 2012




Program Perkampungan Penulis Muda Wilayah Persekutuan 2012 telah diadakan pada 20 hingga 22 Mac 2012. Seramai 54 orang pelajar tingkatan 4-6 dari sekitar Wilayah Persekutuan telah berkampung di D'Village Resort, Ayer Keroh, Melaka untuk mengikuti program ini. Tiga orang penceramah telah diundang untuk menjayakan program iaitu AR dipertanggungjawabkan untuk bahagian cerpen. TN Hj Rani Embi untuk bahagian puisi manakala penulis terkenal Cik Salina Ibrahim untuk bahagian novel. Tahniah kepada Pengarah DBP Wilayah Tengah serta staf, penceramah, pegawai JPN dan barisan fasilitator seperti Encik Amiruddin Ali dan beberapa orang guru yang telah bertungkus lumus menjayakan program ini. Tidak dilupakan juga kepada para peserta. Harapan AR moga ilmu yang bermanfaat akan digunakan sepanjang hayat. Ingat selagi karya anda belum diterbitkan anda belum layak digelar "penulis".

10 March 2012

Perkampungan Penulis Muda Negeri Melaka 2012




Perkampungan Penulis Muda Negeri Melaka 2012 anjuran DBP/JPN Melaka telah berjaya diadakan pada 5-7 Mac 2012. Program ini telah diadakan di Beruang Hill Resort, Melaka. Program ini telah disertai 48 orang peserta yang terdiri daripada pelajar tingkatan 4-6 dari sekolah-sekolah negeri Melaka.
Selama tiga hari dua malam, para peserta telah dibimbing cara-cara menulis sajak dan cerpen. Penceramah bahagian sajak ialah Encik Azahar iaitu Munsyi Dewan dari Johor manakala bahagian cerpen penceramahnya ialah saya sendiri serta Tn Hj Rani. Selain itu peserta juga telah didedahkan dengan puisi tradisional (pembimbingnya ialah Puan Hjh Rohaya dan Puan Kamariah). Pada akhir kursus para peserta diwajibkan menghantar 3 buah sajak dan sebuah cerpen. Saya sendiri selaku penceramah bahagian cerpen berasa agak berpuas hati dengan mutu cerpen yang dihantar. Saya amat percaya bahawa ada dalam kalangan pelajar perkampungan ini yang akan menjadi penulis mapan suatu hari nanti.
Selain itu Pengarah DBP Wilayah Selatan telah sudi meluangkan masa untuk bersama-sama dengan peserta dari mula kursus hingga akhir malahan telah sudi untuk memberikan ceramah mengenai motivasi penulis. Beliau tidak kedekut untuk berkongsi pengalaman sebagai orang lama yang telah banyak berjasa dalam bidang editorial bahan sastera.
Harapan kami semoga peserta kursus dapat manafaatkan ilmu penulisan ini dan berjaya menjadi penulis yang berjaya suatu hari nanti, minsyaAllah.

15 February 2012

Kursus Asas Penulisan Kreatif SMK Hang Kasturi







Alhamdulillah Kursus Asas Penulisan Kreatif telah selamat dijalankan di SMK Hang Kasturi pada 15 Februari 2012. Kursus ini telah disertai seramai 40 orang ahli Kelab PSS SMK Hang Kasturi. Selama hampir 90 minit pelajar telah didedahkan dengan motivasi sebagai penulis, asas penulisan cerpen dan bagaimana menghantar karya kepada penerbit. Kursus yang dijalankan secara santai ini diharapkan dapat membekalkan ilmu kepada pelajar yang berminat untuk menyertai dunia penulisan. Semoga suatu hari nanti akan ada antara peserta kursus yang bersinar bintangnya dalam dunia penulisan, insyaAllah.

11 February 2012

Aktiviti Ceramah Terdekat.

Tadi AR telah mengadakan ceramah di SMA Darul Falah. Para pelajar yang terlibat ialah pelajar yang mengikuti kursus kepimpinan. Seramai 62 orang pelajar terlibat dalam program ini. Sebenarnya di dalam kelompok masyarakat Melayu juga ada memperkatakan soal kepimpinan ini sebagaimana yang ditulis oleh Nordin Selat yang sempat dibaca oleh AR iaitu,

Luhak berpenghulu
Rantau beraja
Kampung bertua
Rumah bertunggu
Berjunjung naik
Bertangga naik

Jadi dalam masyarakat Melayu ada diperkatakan tatacara penghormatan kepada pemimpin. Ini berkaitan dengan adat Minangkabau.
Untuk pengetahuan pembaca blog ini pada 15/2/2012 pula AR akan memberikan ceramah penulisan kepada pelajar SMK Hang Kasturi manakala pada 5-7/3 pula AR akan memberikan ceramah kepada peserta Program Perkampungan Penulis Muda Negeri Melaka di Beruang Hill, Melaka.
Kepada mana-mana pihak yang ingin mengadakan aktiviti penulisan seperti ceramah penulisan atau bengkel penulisan boleh berhubung dengan AR jikalau perlukan bantuan. Nombor yang boleh dihubungi 016-2180423

25 January 2012

Peluang Merealisasikan Impian Anda Sebagai Penulis

Anda bukan seorang penulis selagi hasil penulisan anda belum diterbitkan. Anda bukan novelis jika novel anda belum pernah diterbitkan. Inilah peluang anda untuk merealisasikan impian anda itu.

Dr. Mat Saleeh Rahamad: Kerjasama Penerbitan Buku antara ITBM-PENA-PNB

Para penulis sekitar Lembah Kelang, Negeri Sembilan yang yang sesiapa sahaja yang sanggup datang ke PENA:

Pada 5 Februari 2012 akan diadakan satu bengkel dan taklimat penerbitan untuk mengumpulkan manuskrip asli dalam pelbagai genre untuk diterbitkan pada tahun ini. Waktunya jam 9.30 pagi.

Manuskrip ini terbuka kepada genre kreatif dan nonkreatif, bacaan pelbagai peringkat umur.

Manuskrip yang diterima untuk penilaian akan diterima dan dinilai mengikut tatacara yang lazim dalam dunia pernerbitan sebelum diterima untuk penerbitan.

Penerbit (ITBM) akan bekerja secara profesional dan akan berusaha memastikan karya yang berkualiti diterbitkan agar penerbitan ini akan diiktiraf oleh pelbagai pihak.

Penulis terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira had umur tetapi karya hendaklah dalam bahasa Melayu.

Anda dipersilakan membawa manuskrip masing-masing (pastikan anda menyimpan manuskrip penduanya kerana pihak kami tidak akan memulangkan manuskrip tersebut jika tidak lulus dalam penilaian).

Pihak urus setia akan menyediakan beberapa orang perunding dan fasilitator yang akan memberikan pandangan atau melayan sebarang pertanyaan.

Para penulis juga oleh datang dengan cadangan projek penulisan masing-masing. Manuskrip yang berjaya akan diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Kadar royalti dan cara pemasaran juga akan dijelaskan pada majlis tersebut. Sila sebarkan maklumat ini tanpa perlu meminta izin daripada penulis.

(Presiden PENA)

27 December 2011

Kursus Penulisan Berita & Rencana

AR ingin maklumkan Kursus Penulisan Berita Dan Rencana akan diadakan pada 30 & 31 Disember 2011. Mulanya kursus itu dijangkakan pada 24 & 25 Disember tetapi ditunda pada 30 & 31 Disember ini. Kursus ini akan diadakan di Muara Sungai Duyong. Kursus ini dianjurkan oleh PENAMA dengan kerjasama pihak DBP. Khabarnya makan minum dan penginapan adalah gratis. Eloklah kita meramaikan kursus ini sekurang-kurangnya menghadirkan diri dalam majlis ilmu beroleh pahala. Ilmu ini pula pastilah bermanafaat. AR dimaklumkan seorang Profesor akan mengendalikan kursus ini. Kepada penduduk Melaka dan sekitarnya dipersilakan hadir beramai-ramai.