27 March 2020

Covid-19 dan PKP di Malaysia

Tiada sesiapa menyangka bahawa hal yang pada mulanya berlaku di Wuhan, Hubei China kini merebak dengan pantas ke seluruh dunia. Penyakit yang disangkakan terpencil yang berlaku waktu sambutan tahun baru cina pada bulan Februari kini dengan sekelip mata menular ke setiap ceruk rantau planet ini. Inilah dia kesan hebat globalisasi dan kesan daripada kecanggihan teknologi pengangkutan. Virus yang dipercayai bermula dari pasar makanan binatang eksotik di Wuhan dapat dibawa dengan mudah untuk disebarkan melalui sistem pengangkutan darat yang serba maju dengan keretapi lajunya, kapal terbang dan kapal laut. Usaha kerajaan China mengenakan perintah berkurung di Wuhan sebenarnya sudah agak terlambat kerana virus itu telah berjaya menyusup keluar akibat pergerakan warga China ke luar sempadan negara.
         Sehingga saat ini Malaysia mencatatkan 24 kematian dengan 2,031 sah positif, 1,792 dalam rawatan, 215 sembuh. Manakala di seluruh dunia terdapat setengah juta manusia yang positif jangkitan Covid-19.  Itali menunjukkan kes kematian paling tinggi iaitu 8,125 mangsa diikuti Sepanyol 4,154 kematian diikuti China 3, 169. AS juga terkesan dengan 1,178 kes kematian akibat Covid-19 setakat ini. Jumlah ini dijangkakan akan menjadi berganda dalam tempoh beberapa minggu jikalau usaha yang berkesan tidak dapat dilakukan.

       Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 14 April.  Usaha ini dilaksanakan untuk memutuskan rantaian penyebaran virus yang dilihat begitu sukar untuk dihapuskan. Cara yang agak berkesan ini dilaksanakan dengan memastikan semua penduduk Malaysia berada di rumah/kediaman masing-masing sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. Kejayaan  kerajaan dalam menghapuskan Virus Covic 19 ini terletak sepenuhnya atas kerjasama penduduk Malaysia dalam mematuhi perintah PKP ini. Hari ini hari Jumaat...sekali lagi AR tidak dapat melaksanakan sembahyang Jumaat di masjid gara-gara Covid 19. Tidak mustahil sambutan hari raya aidilfitri juga tidak dapat dilaksanakan tahun ini sekiranya Covid-19 masih mengganas lagi. Sama-samalah kita menyokong usaha kerajaan ini dengan terus berada di rumah sewaktu PKP ini dilaksanakan.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia.

No comments: