11 January 2012

Apakah Ramalan Pasaran Buku Malaysia


Buku kanak-kanak dan agama kekal beri keuntungan besar

BUKU kanak-kanak dan buku agama dijangka terus menjadi fenomena dalam industri penerbitan di Malaysia tahun ini, manakala novel cinta akan kekal memberi keuntungan kepada penerbit dengan manuskrip yang lebih positif pendekatannya.Pengurus Besar Editorial Grup Buku Karangkraf, Sri Diah Shaharuddin, ketika ditemui Sastera menjelaskan, pasaran buku kanak-kanak dijangka terus berkembang meskipun dari segi jumlah penerbit yang menghasilkan buku kanak-kanak ramai, tetapi ia memberi lebih banyak pilihan kepada pembaca.
Tahun ini 11 novel yang diadaptasi ke drama dan filem dijadualkan melonjakkan jualan karya asal. Kebanyakan novel itu sebahagian besarnya sudah lama diterbitkan. Hanya beberapa naskhah saja membabitkan karya baru. - Azrina Azmi, Penolong Pengurus Perdagangan, Jabatan Bahasa Melayu POPULAR
“Persaingan ini memastikan lebih banyak buku kanak-kanak muncul di pasaran dengan persembahan sangat menarik sehingga bukan saja memikat kelompok terbabit, tetapi juga ibu bapa yang mencari pilihan buku terbaik untuk anak mereka,” katanya.

Selain buku kanak-kanak, syarikat terbabit turut yakin bahawa buku agama akan mencatat perkembangan ekoran pasarannya yang besar dan andaian itu dibuat berdasarkan keuntungan yang dicatat buku agama di bawah jenama Karya Bestari untuk tahun lalu meningkat tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

“Satu daripadanya adalah faktor pendekatan dalam penghasilan buku agama yang lebih meruntun jiwa. Kita tidak lagi bercakap soal buat jahat dibalas neraka, tetapi pendekatan yang lebih dekat dengan jiwa pembaca. Misalnya keindahan syurga dan paling laris ketika ini ialah Soalan Bocor dari Kubur,” katanya.
Sri Diah berkata, buku dengan judul mendamaikan jiwa, adalah strategi yang lebih berkesan dalam memikat perhatian pembaca, bukan sekadar kulit buku menarik kerana mereka kini tidak lagi boleh dimomokkan dengan balasan neraka seperti suatu ketika dulu.

“Sungguhpun demikian, kami tidak menafikan novel pop dalam industri percetakan negara terus relevan kerana ramai pengikut dan hakikat karya sedemikian sememangnya malar zaman. Bagaimanapun, kami lebih berpilih dengan manuskrip lebih positif menjadi pilihan, selain novel dengan kisah cinta remeh-temeh akan diketepikan,” katanya sambil menegaskan buku motivasi, kerjaya dan keusahawanan juga turut berkembang pada pasaran ini.

Penolong Pengurus Perdagangan, Jabatan Bahasa Melayu, Bahagian Perdagangan Inggeris, Popular Book Co (M) Sdn Bhd (POPULAR), Azrina Azmi, berkata majikannya meramalkan novel cinta yang diadaptasi ke layar perak dan dijadikan drama bersiri akan menjadi kegilaan pada tahun ini.

“Tahun ini 11 novel yang diadaptasi ke drama dan filem dijadualkan melonjakkan jualan karya asal. Kebanyakan novel itu sebahagian besarnya sudah lama diterbitkan. Hanya beberapa naskhah saja membabitkan karya baru,” katanya.

Seperti Karangkraf, POPULAR turut meramalkan buku agama akan terus menjadi fenomena seperti karya Dr Azhar Idrus yang mempunyai ramai pengikut meskipun judul buku tidak banyak, tetapi buku yang dihasilkan mendapat sambutan hangat pembaca dan trend itu dijangka berterusan sehingga 2012.

POPULAR juga menerusi program Ekslusif POPULAR dijangka melebarkan lagi senarai penulis yang mengedarkan buku secara eksklusif dengan syarikat itu dan antara yang berkemungkinan besar menyertainya ialah Fauziah Ashari dan Ahadiat Akashah.

Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Dr A'Azmi Shahri pula menyifatkan, secara umumnya tidak banyak kejutan yang akan berlaku, malahan fenomena buku remaja dan kanak-kanak yang mendapat sambutan di Malaysia ketika ini sebenarnya tidak jauh berbeza dengan negara lain.

“Jika dilihat pada pameran buku di Malaysia, Indonesia, China dan Thailand bagi tahun lalu, segmen buku remaja didapati masih menjadi fokus penerbit, manakala penerbitan buku agama dijangka terus popular di Malaysia sehingga beberapa tahun lagi, ”katanya.

Selain itu, syarikat penerbitan yang sama akan masih berupaya mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran buku untuk beberapa tahun akan datang dan hanya berubah jika modal insan daripada syarikat gergasi keluar dari kepompong syarikat yang didukungi dan membina syarikat baru.

“Jika ini berlaku, syarikat baru itu sudah pasti mempunyai potensi tinggi dan menjadi pesaing yang ‘menarik’ dalam pasaran di negara kita. Saya juga menjangka syarikat penerbitan tempatan akan mengkaji peluang memasarkan karya mereka melalui jualan hak cipta kepada syarikat penerbit luar negara,” katanya.
Dipetik dari:
2012 janji pasaran buku
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
2012/01/11

No comments: