17 January 2012

Sayembara Penulisan Novel, Cerpen Dan Sajak

KUALA LUMPUR, 16 Januari 2012 – Sidang media ini merupakan tindakan susulan daripada ucapan Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, semasa menyempurnakan perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PENA & Perhimpunan Penulis Muda Nasional Kali Ketiga pada 16 Disember 2011. Dalam ucapan perasmian tersebut, Y.A.B. Dato’ Sri Najib mengumumkan peruntukan dana daripada Kerajaan sebanyak RM5 juta melalui Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) bagi melaksanakan penerbitan buku terutamanya karya asli penulis muda dalam semua genre.
Susulan daripada pengumuman tersebut, ITNM sebagai sebuah institusi di bawah seliaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang bertanggungjawab melestarikan ilmu melalui penterjemahan, telah ditingkatluaskan peranannya untuk menerbitkan karya asli bagi membantu menggalakkan industri perbukuan negara selain dinaik taraf dengan nama dan penjenamaan baru, iaitu Institut Terjemahan & Buku Malaysia atau ITBM.
Y.A.B. Dato’ Sri Najib turut mengharapkan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dapat bertindak bersama-sama ITBM untuk menyaring serta memantau isi kandungan karya yang dihasilkan oleh penulis sebelum diterbitkan. Dalam masa yang sama, Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) juga bersedia untuk membentuk kerjasama strategik bersama-sama ITBM dan PENA untuk menjayakan penerbitan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Bagi menjayakan kerjasama strategik ini, mekanisme penerbitan dan percetakan antara tiga agensi terbabit telah diatur supaya segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik. ITBM akan bertindak sebagai penerbit yang akan turut melaksanakan proses pracetak manuskrip. Manakala pengurusan program latihan dan pembangunan penulisan, proses perolehan manuskrip baharu serta penilaian manuskrip akan dilaksanakan secara bersama ITBM dan PENA. PNMB pula akan menguruskan proses percetakan bagi memastikan tempoh masa dan proses rumit penerbitan buku dapat diatasi.
Hasil persetujuan kerjasama ketiga-tiga agensi terbabit, setiap manuskrip yang diterima dan menepati kualiti yang ditetapkan oleh panel penilai akan diproses sehingga siap diterbitkan dalam tempoh masa antara tiga hingga enam bulan – sebagaimana sasaran yang ditetapkan oleh Y.A.B. Dato’ Sri Najib. Bagi tahun 2012, sasaran sekurang-kurangnya 10 judul baru akan diterbitkan pada setiap bulan mulai bulan Jun. Manakala bermula tahun 2013, sekurang-kurangnya 20 judul baru disasarkan akan diterbitkan pada setiap bulan.
Sehubungan itu, ITBM akan meningkatkan usaha promosi dan pemasaran buku melalui media cetak dan elektronik serta laman sesawang, laman sosial Facebook dan Twitter termasuk pembelian buku di ecommerce@itnm.com.my. Penjualan buku di semua gedung buku di Malaysia akan dikembangluaskan bagi membantu pembaca yang lebih gemar membeli buku secara langsung mendapatkan buku hasil kerjasama ITBM, PENA dan PNMB ini.
Untuk penulis yang berminat menghantar manuskrip karya asli, sila kirimkan sinopsis, isi kandungan dan manuskrip ke buku@itbm.com.my atau buku@pena.com.my untuk tujuan penilaian Jawatankuasa Panel Penilai Buku.
Pengumuman Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi ITBM-PENA-Berita Harian

Sayembara ini pertama kalinya akan dianjurkan bersama ITBM, PENA dan Berita Harian sebagai strategi pelaksanaan untuk membentuk penulis muda yang matang serta mapan, mampu menyumbang kepada pembangunan insaniah, dan membina interaksi yang bermanfaat antara penulis dengan pembaca. Terbahagi kepada tiga kategori, iaitu penulisan novel, cerpen dan puisi; sayembara ini terbuka kepada semua penulis muda tempatan di bawah umur 45 tahun, yang lahir pada tahun 1966.
Penulis yang menyertai sayembara penulisan novel dikehendaki menghasilkan karya sastera positif yang tidak ditetapkan had halaman muka surat. Tempoh masa satu (1) tahun diberikan bagi menghasilkan dan menghantar penyertaan sayembara penulisan novel ini. Tarikh tutup penyertaan pada 31 Januari 2013.
Bagi kategori cerpen, setiap penulis terbuka untuk menghasilkan 10 karya dalam sebarang genre penulisan. Manakala kategori puisi pula, penulis dikehendaki menghasilkan 30 puisi yang tidak dihad jumlah panjang bagi setiap karya. Tempoh masa penghasilan dan penghantaran karya bagi kedua-dua kategori ini adalah dalam tempoh masa enam (6) bulan. Tarikh tutup penyertaan pada 31 Julai 2012.
Peserta sayembara ini bebas menghantar seberapa banyak penyertaan. Bagaimanapun, setiap penyertaan hendaklah menggunakan judul dan isi kandungan yang berbeza. Sayembara ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM130,000 untuk pemenang, dan berikut adalah pecahannya:
Kategori Novel

Hadiah Pertama: 1 x RM15,000
Hadiah Kedua: 1 x RM12,000
Hadiah Ketiga: 1 x RM9,000
Hadiah Penghargaan: 7 x RM3,000

Kategori Cerpen

Hadiah Pertama: 1 x RM10,000
Hadiah Kedua: 1 x RM7,000
Hadiah Ketiga: 1 x RM5,000
Hadiah Penghargaan: 7 x RM2,000

Kategori Puisi

Hadiah Pertama: 1 x RM10,000
Hadiah Kedua: 1 x RM7,000
Hadiah Ketiga: 1 x RM5,000
Hadiah Penghargaan: 7 x RM2,000

Dipetik dari web ITNM.

1 comment:

h@nis@h ( www.hanisah_rashid@blogspot.com) said...

Assalamualaikum,maaf ganggu saya nak tanya tentang pengumuman penulis yang menyertai sayembara ni bila diumumkan,saya ada menyertainya.tolong balas yer,maaf ganggu sekali lagi,assalamualaikum