19 December 2009

SALAM MAAL HIJRAH


Salam Maal Hijrah buat semua. Hijrah ini bersempena dengan perbuatan Nabi Muhammad S.A.W. Hijrah ini tuntutan agama, perbuatan mulia. Namun apa yang sering disogokkan ialah kita masih kurang membaca dan kurang berfikir (surat khabar perdana). Tidak perlulah diterangkan lagi betapa pentingnya amalan membaca dan berfikir ini. Acapkali ungkapan ini diperkatakan saban tahun namun apakah tindakan konkrit yang telah diambil bagi mengatasi masalah ini?
Kita rasa loya dan kecewa kerana masalah ini diulang-ulang seolah-olah tiada jalan penyelesaiannya.
Kesempatan menjelajah beberapa buah negara ingin dikongsikan oleh saya bagi melihat senario ini. Saya baru pulang dari Indonesia. Rakyatnya hampir 280 juta berbanding 28 juta rakyat Malaysia. Dikenali juga sebagai negara Islam kerana ramai penganut Islam di negara itu. Membaca! agaknya itu mungkin perkara kesepuluh dalam kamus hidup. Ini kerana rakyatnya berhempas pulas untuk mencari sesuap nasi. Benarlah kata Maslow iaitu ada keutamaan dalam hidup ini yang perlu dipenuhkan dahulu sebelum perkara lain menyusul. Bagaimana mahu membaca (apatah lagi membeli bahan bacaan) sekiranya perut lapar dan berkeroncong. Keutamaan mereka ialah untuk hidup (makan). Hakikatnya ekonomi perlulah kukuh dalam kalangan negara Islam sekiranya ingin membudayakan amalan membaca. Hanya setelah ekonomi kukuh dan mampu makan dengan cukup barulah menyusul amalan membaca ini.
Dua minggu sebelum ke Jogjakarta saya pergi ke Singapura (bolehlah dikatakan negara maju). Saya sebelum ini pernah juga merujuk beberapa bahan bacaan melalui internet dan nyatanya perpustakaan negara Singapura lebih hebat dari segi bahan dan pemprosesan datanya(pandangan saya). Apabila pergi ke Geylang, ada beberapa buah kedai buku di situ. Saya buat pemerhatian dari jauh. Nyata sekali apabila anak-anak mereka hendakkan sesebuah buku maka dengan senang hati ibu bapanya membelek sebentar dan terus membeli buku itu.
Saya singgah ke Plaza Angsana Johor Bahru dalam perjalanan pulang ke Melaka. Saya perhatikan di kedai buku itu ada beberapa kategori ibu bapa. Pertama apabila hampir sahaja ke kedai buku terus sahaja ibu bapa tarik anak mereka agar ikut mereka lihat kedai lain(takut si anak hendak membeli buku). Kedua ialah di dalam kedai buku ibu bapanya sibuk membelek buku dan membeli buku untuk keperluan mereka. Walaupun si anak merayu hendak beli buku namun dimarahi oleh ibu atau bapa mereka. Ketiga ialah ibu bapa yang sama-sama membeli buku untuk mereka dan untuk anak tersayang. Lihatlah senario ini di Malaysia.
Usahlah kita saling menyalahkan orang lain dalam isu membaca dan berfikir ini. Sekiranya semua pihak dapat memainkan peranan mereka, insyaAllah isu ini akan selesai. Sebagai manusia Islam kita harus sedar dan melaksanakan amalan membaca ini sebagai salah satu keperluan dan kewajipan di dalam hidup. Ibu bapa harus memperuntukkan sedikit wang untuk membeli buku untuk bacaan anak-anak mereka (lebih kurang Rm15 sebulan). Kerajaan pula harus memudahkan penulis dan industri buku dengan menurunkan harga buku bacaan serta memberikan pengurangan cukai. Penulis pula hasilkanlah bahan bacaan yang menarik.
Salam maal Hijrah.

No comments: