03 May 2009

Pada 26.4.2009 saya telah diundang oleh PTS untuk mengikuti Majlis Pelancaran Novel Cinta Islami. Majlis ini telah diadakan di PWTC. Dua orang tetamu didatangkan khas dari Indonesia iaitu Pak Taufik dan Tere-Liye. Majlis ini telah dilancarkan oleh Datuk A Samad Said. Antara ucapan yang terkesan ialah semoga kehadiran tetamu ini memantapkan bidang penulisan di Malaysia. Taufik Rahman sedang popular dengan Novel Munajat Cinta manakala Tere-Liye terkenal dengan Bidadari-Bidadari Syurga. Dalam gambar di atas kelihatan Norhayati Ibrahim selaku moderator majlis sedang mewawancara Taufik Rahman dan Tere-Liye. Pak Taufik menyatakan ilham itu datang dari Pencipta dan bersifat suci. Pengarang harus menjauhkan diri dari melakukan dosa kecil mahupun besar kerana ini akan menyebabkan halangan terhadap ilham itu untuk hadir ke dalam diri pengarang. Tere-Liye pula menyatakan sebelum menulis maka disarankan untuk berwudhu. Tere-Liye sudah menulis 'terlalu banyak buku' tapi cuma 4 terbit setakat ini (itupun meletup-letup). Beliau tidak kisah sama ada buku beliau terbit atau tidak kerana tanggungjawab beliau hanya menulis. Terserah kepada penerbit untuk menerbitkannya atau tidak.

No comments: