12 Rabiulawal Tahun Gajah. Itulah yang sering bermain di ingatan tatkala orang bertanya mengenai hari kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. AR hafal tarikh ini sejak di bangku sekolah rendah lagi. Tahun Gajah itu pun sebenarnya bersempena dengan peristiwa besar yang berlaku di tempat kelahiran junjungan kita. Ada orang membuat sambutan maulud dengan berarak biarpun ada yang berpendapat itu merupakan bidaah. AR bukan orang yang 'cukup pandai' untuk mengatakan sambutan ini sebagai bidaah tetapi sekurang-kurangnya fikirkanlah maksud bidaah itu dan mungkin ada betulnya juga pendapat tersebut. Bukankah elok sekiranya kita memperingati kelahiran junjungan kita ini dengan mengadakan syarahan dan merenung kembali apakah tujuan Allah S.W.T mengutuskan Nabi Muhammad S.A.W kepada umat manusia. Bangsa Arab ketika zaman jahilliyah sanggup menanam anak perempuannya hidup-hidup dan menganggap anak perempuan hanya menyusahkan hidup mereka nanti. Kedatangan Nabi Muhammad S.A.W membawa sinar baru dalam kehidupan. Islam dapat berkembang ke seluruh pelusuk dunia dan lihatlah akan sumbangan tamadun Islam dalam kehidupan manusia sejagat seperti sumbangan Ibnu Sina dan Al Farabi, . Begitu besar jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W dalam memastikan Islam dapat disampaikan kepada umat manusia. Maka menjadi tuntutan pula kepada umat Islam untuk mengisi ulang tahun kelahiran junjungan kita dengan perkara yang berfaedah ke arah memantapkan lagi rasa cinta kita terhadap junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W.
"Wahai manusia, sesungguhnya telah datang Rasul (Muhammad) itu kepadamu (membawa) kebenaran dari Tuhanmu, maka berimanlah kamu, itulah yang lebih baik bagimu. Dan jika kamu kafir, maka kekafiran itu tidak merugikan sedikit pun kepada Allah kerana sesungguhnya apa yang di langit dan di bumi itu adalah kepunyaan Allah S.W.T.
Surah an-Nisa':170
No comments:
Post a Comment