23 January 2013

Komen Pembaca Novel Jutawan 3R

Alhamdulillah....

Akhirnya berjaya juga aku habiskan baca sebuah buku dalam sehari. Sudah lama aku tidak melakukannya. Buku pertama yang aku pilih adalah Jutawan 3R. Buku ini kepunyaan sepupuku, Muhammad Farid Iman atau nama glamornya adik. Adik tertinggal buku ini di rumah aku. Terima kasih kepada ilustrator kulit buku ini kerana ia telah berjaya menarik minatku untuk membacanya. Kalau aku yang separa kanak-kanak pun suka melihatnya, inikan pula adik-adik di luar sana kan..? Mungkin aku sedikit keanak-anakan kerana membaca buku ini. (Rakan-rakan seperti mahu tergelak melihatku membaca buku ini)

Tajuk buku: Jutawan 3R
Penulis: A. Razak Adam
Kategori: Kanak-kanak (Remaja boleh juga..)
Penerbit : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Ketebalan: 192 muka
Penilaian:

Sedikit sinopsis:

Buku ini mengisahkan tentang dua orang sahabat baik Anandan dan Riduan membina perniagaan mereka melalui jualan barangan terpakai seperti kertas, tin aluminium dan besi buruk. Semuanya bermula apabila mereka didenda oleh Cikgu Hanifah, guru disiplin di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Kasturi. Sejak dari hari itu, mereka berkenalan dengan usahawan barangan terpakai, Encik Mansor. Ikuti kisah dua sahabat memulakan perniagaan bahan-bahan terpakai.

Komen:

Buku ini memberikan banyak ilmu berguna untuk semua pembacanya terutama jika anda tidak mempunyai asas sains. Ia boleh juga dikategorikan sebagai sebuah buku motivasi. Motivasi perniagaan untuk kanak-kanak kerana terdapat idea-idea yang boleh digunapakai jika pembaca mempunyai minat untuk memulakan perniagaan. Penulis bijak menggunakan bahasa-bahasa mudah supaya senang difahami serta penceritaan yang menarik membolehkan pembacanya melekat dan terikat dengan buku ini. Selain itu, terdapat informasi ringkas mengenai alam sekitar, keperluan untuk mengitar semula bahan-bahan terbuang, alternatif dari bahan semulajadi yang boleh digunakan untuk mengurangkan penggunaan plastik, bahan kimia dan penjimatan elektrik. Buku ini memang tidak rugi untuk dibaca. Saya pasti, sesiapa yang membaca buku ini pasti teruja untuk menjadi tauke perniagaan kecil yang berasaskan bahan buangan.

1 comment:

A. Razak Adam said...

Terima kasih Noorashiken kerana sudi membaca dan memberikan respon mengenai novel Jutawan 3R.