Mampukah Bahasa Melayu Menjanakan Ekonomi?

Oleh A. RAZAK ADAM
Bahasa Melayu menduduki tempat ketujuh dalam kalangan bahasa yang mempunyai banyak penutur di dunia, iaitu daripada lebih kurang 6,900 bahasa yang terdapat di dunia. Kedudukan sepuluh bahasa utama dituturkan penduduk dunia mengikut turutan jumlah penutur terbanyak ialah Mandarin, Inggeris, Hindi, Sepanyol, Arab, Rusia, Melayu, Portugis, Benggali dan Perancis. Hal ini menunjukkan ba hawa bahasa Melayu mempunyai kekuatan yang luar biasa di sebalik gembar-gembur yang dijajakan kononnya bahasa Melayu tidak mempunyai kekuatan untuk diketengahkan sebagai bahasa ekonomi pada masa kini.
Nilai ekonomi sesuatu bahasa bermaksud kebolehan bahasa itu mengungkapkan ilmu yang ada. Kebolehan bahasa itu bergantung kepada kekuatan penuturnya. Kekuatan penuturnya dari sudut ekonomi berkait dengan bilangan penutur dan mutu bahasanya. Jatuh bangun atau kuatnya sesuatu bahasa itu amat berkaitan dengan keikhlasan atau kesungguhan penuturnya untuk menggunakan bahasa tersebut. Keikhlasan dan kesungguhan penutur jatinya menggunakan bahasa itu mampu menarik pengguna lain untuk menggunakan bahasa tersebut bagi melaksanakan urusan yang berkaitan. Sesuatu bahasa itu juga harus mampu mengungkapkan ilmu yang saban hari bertambah dengan pelbagai disiplin ilmu baharu yang wujud untuk menjadikan bahasa itu bernilai ekonomi. Dengan yang demikian kesungguhan penutur dan kemampuan serta sifat bahasa itulah yang akan menentukan sama ada bahasa itu mampu dinobatkan sebagai bahasa yang mempunyai nilai ekonomi ataupun tidak. Untuk membuktikan bahasa Melayu mempunyai nilai ekonomi, kita harus melihat dari perspektif sejarah dari dahulu sehingga kini dan peluang yang mampu ditawarkan oleh bahasa tersebut sebagai bahasa bernilai ekonomi dalam mendepani cabaran ilmu pada masa akan datang.
Bahasa Melayu t e l a h berkembang sejajar dengan peralihan zaman dan agama yang dianuti penduduk alam Nusantara ini. Sebagai bukti, prasasti Batu Bersurat Terengganu yang ditulis sekitar abad ke-14 menunjukkan terdapat peningkatan dari segi jumlah perkataan Melayu berbanding dengan perkataan Sanskrit yang banyak digunakan dalam prasasti yang dijumpai sebelumnya. Hal ini menunjukkan bahawa agama Hindu dan seterusnya agama Islam yang dianuti oleh orang Melayu telah membawa bersama-samanya kemajuan.
Kemajuan ini dapat dilihat dalam aspek ilmu yang dipunyai oleh orang Melayu setelah mereka hidup beragama. Agama Islam yang menekankan keperluan terhadap ilmu dalam kehidupan umat telah masuk ke alam Melayu dan turut membawa perbendaharaan kata bagi mengayakan bahasa Melayu yang sedia ada. Kosa kata bahasa Melayu telah berkembang pesat. Banyak perkataan baharu telah tercipta bagi mengungkapkan konsep tasawuf, tauhid, undang-undang dan syariah.........
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2013.