12 January 2015

Pengalaman Membantu Mangsa Banjir

Semua sedia maklum malapetaka banjir yang dahsyat telah melanda beberapa buah negeri di Malaysia pada akhir Disember 2014. Kejadian air pasang besar, angin kuat, ombak tinggi dan hujan turun tanpa henti telah mengakibatkan banjir besar di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Dikatakan malapetaka kerana memang kebisaan berlakunya banjir di negeri-negeri ini setiap kali tibanya musim tengkujuh namun pada akhir Disember 2014 kejadian bah itu memang luar biasa. Lihat sahaja apa yang dilaporkan oleh mangsa yang terlibat atau sukarelawan yang pergi membantu mangsa ini. Gambar rumah hilang, jalan runtuh, jambatan roboh dan keadaan mangsa semuanya menceritakan keadaan sebenar yang dialami oleh mangsa ini.
Pada 4 Januari 2015 (Ahad), AR berkesempatan pergi ke Temerloh, Pahang untuk membantu mangsa banjir di sana. Seminggu sebelum itu AR telah berpakat dengan isteri untuk membantu mangsa banjir. Alhamdulillah Syarikat Asiah Perabot sudi meminjamkan sebuah lori untuk tujuan digunakan sebagai kenderaan mengangkut bantuan ini. Lebih bersyukur lagi apabila Syarikat Perniagaan Ambah yang beroperasi di Masjid Tanah terus menghulurkan bantuan dengan menyerahkan barangan yang berharga hampir dua ribu ringgit untuk diberikan kepada mangsa banjir. Orang perseorangan yang lain juga turun membantu menghulurkan bantuan. Akhirnya setelah dikumpulkan barangan yag diperoleh....sungguh luar biasa. AR terpaksa mendapatkan sebuah lori lagi kerana terlalu banyak barang yang didermakan oleh masyarakat Masjid Tanah. Allah ingin menolong kami, Syarikat Katering & Kanopi Zali turut bermurah hati membantu usaha murni ini. Kami juga mendapat bantuan daripada IPM, UITM, HALUAN dan beberapa pertubuhan lain untuk menjayakan program ini.
Kami bertolak ke Temerloh dan mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir yang terlibat di Kampung Guai dan Kg Berhala Gantang. Rasa sedih amat kami rasakan apabila melihat penderitaan dan kemusnahan yang dihadapi oleh penduduk kampung yang terlibat.
Sesungguhnya sebagai seorang penulis AR dapat merasai sendiri pahit getir dan segala susah payah yang dideritai oleh penduduk Temerloh yang terlibat dengan musibah banjir ini. Namun betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Semoga pengalaman membantu mangsa banjir ini akan lebih mematangkan lagi kita dalam menempuh kehidupan yang singkat ini.


No comments: