14 February 2017

Catatan Perjalanan Ke Tokyo

Pada 14 hingga 23 Disember lepas, AR berkesempatan ke Tokyo. Bercuti bersama keluarga sambil melihat budaya orang Tokyo. Kami menaiki Thai Airways. Jangan kata kami tak sayang negara dengan tidak menaiki pesawat MAS. Pasal selisih tambangnya lebih daripada seribu ringgit seorang jadi kalau didarab 5 orang....hmmm besar juga jumlah tu. Soal makanan halal di dalam pesawat jangan risau. Yang penting maklumkan sewaktu buat tempahan kita perlu makanan halal. Antara tempat yang kami kunjungi ialah stesyen keretapi Shibuya, Yokohama dan bermain ski di Gala Yuzawa.
Apa yang penting ingin dikongsikan di sini ialah soal sikap dan budaya orang Jepun. Benarlah kata orang untuk melihat budaya Islam kita kena pergi ke negara bukan Islam. Maksudnya kali ini tentulah ke Jepun.
Budaya orang Jepun
1. tandas bersih- mungkin lantai tandas kering (tidak basah) itu menandakan bersih bagi orang Jepun. Pantang mereka jikalau lantai tandas basah. Sebelum keluar dari pintu tandas mereka akan lihat ke belakang. Mereka hendak pastikan tandas itu bersih untuk digunakan oleh pengguna berikutnya. Masa turun dari kapal terbang di KLIA AR terserempak dengan orang Jepun yang naik penerbangan yang sama. Dalam keadaan tergesa-gesa dia pergi ke tandas di KLIA. Sampai di pintu tandas terus dia tak jadi masuk. Rupa-rupanya dia tak jadi masuk sebab tandas di KLIA itu lantainya basah. Mati hajatnya nak lepaskan hajat.
2. Masa- kita selalu melaungkan masa itu emas namun sekadar laungan sahaja. Tapi orang Jepun bersungguh-sungguh menghargai masa. Ciptaan teknologinya digerakkan supaya rakyat dapat  kenikmati masa berharga itu dengan semaksimum mungkin. Teknologi pembuatan kereta api dan stesyen keretapi serta sistem pengangkutan disepadukan agar rakyat tidak terbazir masa. Setiap saat amat berharga bagi mereka.
3. Kesihatan- selagi boleh berjalan mereka akan berjalan walaupun sudah bongkok 3! Mereka suka berjalan ke stesyen kereta api kecuali jikalau sudah terpaksa menggunakan kerusi roda(itupun bergerak sendiri tanpa bantuan orang lain). Berjalan dapat memastikan aliran darah bergerak lancar dan kita dapat menghirup udara segar.
4. Usah menganggu orang lain- dalam kereta api masing-masing buat hal masing-masing. Sesedap mana pun muzik itu cuma kita dengar sendiri. Tidak perlu kuatkan volume telefon untuk dikongsikan dengan orang lain. Orang lain perlu berehat atau menenangkan fikiran jadi usah ganggu orang lain.
5. Berbaik sangka- Jikalau anak kita umur 13 tahun tidak perlu kita kata umurnya 12 tahun. Jikalau kita kata 12 tahun semata-mata kerana nak dapatkan diskaun harga maka petugas itu tetap percaya anak kita itu umurnya 12 tahun kerana orang Jepun amat berbaik sangka (AR tak buat ya).
6. Ikut peraturan- jangan buang sampah....sungainya pun bersih. Tak ada tilam lama atau plastik sampah seperti di Sungai Gombak atau sungai-sungai di Malaysia!
Entah bilalah Malaysia hendak jadi seperti negara Jepun ni.

1 comment:

Unknown said...

salam.....
Met baru jumpa blog ini. nak baca dulu apa yg ada. juga nak tahu tentang Penama. met juga suka membaca dan menulis.