10 May 2010
Mohon Restu Wanita Bergelar Ibu
“Ibu, ibu engkaulah ratu hatiku. Bila kuderita engkau hiburkan selalu. Ibu, ibu engkaulah ratu hatiku.” Itulah antara lirik lagu sebuah iklan.
Hari ibu disambut dengan pelbagai cara. Ada yang berkemampuan membawa ibunya ke hotel. Ada juga yang membawa ibunya makan di kedai. Ada memberikan hadiah. Semua ini dilakukan untuk mengenangkan jasa ibu.
Pada malam minggu, AR berkesempatan berkunjung ke Mahkota Parade, Banda Hilir, Melaka bersama keluarga. Sewaktu AR lalu di sebuah kedai makanan segera terlihat seorang pemuda cina (sekitar 45 tahun) memapah ibu dia yang sudah tua untuk duduk dan makan di situ. AR berasa terharu. Tersentuh hati dan perasaan AR melihatkan peristiwa itu. Hanya mereka berdua sahaja di situ (mungkin pemuda itu belum berkahwin lagi). AR perhatikan ibu dia sungguh gembira makan sambil sesekali mulut dia dilapkan oleh si anak dengan menggunakan tisu.
AR juga membawa ibu AR keluar tetapi pada minggu lepas. Kami sekeluarga membawa ibu makan di restoran ikan bakar di tepi laut (Sebab ibu tidak suka makan ayam). Kebetulan pula hari jadi ibu yang ke-75 tahun hampir dengan ‘Hari Ibu’ jadi AR memutuskan untuk menyambutnya secara serentak. Ibu AR sungguh gembira biarpun kekadang dia kata ‘buat apalah membazir’. Tapi bagi AR tidak mengapalah sebab yang penting dapat mengembirakan hati ibu.
Menghormati ibu amat penting. Kepentingan itu bukan sahaja bersebab kita ini beragama islam tetapi jauh dari itu sebagai seorang manusia. Fitrah manusia seharusnya disertakan dengan sifat kasih sayang terhadap seorang ibu. Binatang pun tahu menghormati ibu yang melahirkannya apatah lagi kita manusia yang dikurniakan akal fikiran. Doa ibu bapa kita mustajab sebab itulah setiap kali mendapat kejayaan maka AR tidak akan lupa untuk memberikan ucapan terima kasih kepada ibu. Sebagai penulis maka doa ibu (termasuk isteri) amat penting kerana inilah yang akan menentukan kelancaran pengaliran idea kita. Hormatilah ibu bapa dan sesiapa sahaja yang bergelar ibu semoga doa mereka akan mengiringi kejayaan kita walau dalam apa jua lapangan yang kita ceburi. Selamat Hari Ibu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment