10 May 2010
Apakah idea yang boleh dijual
Pernah atau tidak anda mengalami keadaan sebegini :
i). “benda ini aku sudah fikirkan dahulu lagi kenapa dia dapat buat”. Atau
ii). “Kalau aku buat benda ini dahulu pasti aku sudah terkenal tetapi sekarang ini dia sudah buat dahulu dan aku terpaksa menjadi penonton sahaja (sambil melihat orang itu menikmati hasil ciptaannya). Atau
iii) “Eh, samalah idea dia dengan idea yang ada dalam otak aku”.
Ketiga-tiga situasi ini berlaku akibat kelalaian kita. Bukan sahaja disebabkan kelalaian tetapi juga akibat kelemahan kita menguruskan diri. Akibatnya maka kita sentiasa berada di dalam kerugian.
Kita lemah kerana tidak yakin akan kemampuan diri kita. Akibatnya maka kita hanya mampu melihat orang mencipta kejayaan kerana orang itu dapat merealisasikan idea tersebut sedangkan kita hanya berputih mata.
Bagaimanakah cara untuk kita merealisasikan idea kita dalam bidang penulisan? Selalunya penerbit buku takut untuk menanggung risiko. Penerbit buku lebih selesa menerbitkan buku yang sudah tersedia acuannya. Sebab itulah apabila novel cinta laris di pasaran maka berlumba-lumbalah penerbit buku yang lain memasuki pasaran novel cinta. Kita tidak nafikan sebab hakikatnya penerbit mengejar bisnes. Manalah ada orang bisnes yang hendak melihat bisnesnya lingkup! Situasi ini menyebabkan pembaca disajikan dengan konsep buku yang sama sahaja.
Persoalan utama ialah bagaimanakah kita hendak menulis buku berkonsep baru? Untuk menjayakannya maka kita harus membuat kajian. Cuba lihat trend pembaca. Atau jikalau perlu cuba buat soal selidik ringkas tentang konsep baru yang cuba kita buat. Melalui soal selidik ini kita akan dapat lihat keputusannya. Cara mudah ialah melihat pasaran luar negara. Idea baru di sana mungkin boleh diguna pakai di Malaysia. Sebab itulah apabila diadakan pesta buku di luar negara maka penerbit berlumba-lumba menghantar deligasi ke sana. Rasanya peniruan konsep ini tidak salah kerana ia mampu menyajikan sesuatu yang baru kepada pembaca kita dan secara tidak langsung pembaca kita turut sama mengikut trend bahan bacaan dunia.
Berbalik kepada persoalan tadi iaitu bagaimanakah kita mampu menjadi pencipta idea dan bukannya menjadi peminjam atau peniru idea luar dalam mengetengahkan konsep baru bahan bacaan? Ini merupakan suatu cabaran kepada penulis dan penerbit di Malaysia. AR sendiri berasa teruja apabila membaca sebab PT Gramedia dari Indonesia melesenkan buku ‘Usahawan Cilik’ termasuk Novel Kerepek AF.
Cabaran paling utama mengeksport judul ke Indonesia adalah kualiti buku.
Rahsia kejayaan siri "Usahawan Cilik" dilesenkan ke Jakarta adalah pada konsep di sebalik siri itu.
Konsep fiksyen remaja yang tujuannya adalah mendorong pembaca remaja menjadi usahawan sejak masih kecil adalah amat menarik bagi PT Gramedia. Siri seperti itu belum ada di Indonesia. (www.pts.com)
Sebab yang diberikan oleh PT Gramedia ialah konsep atau idea mendidik melalui bahan bacaan untuk menjadikan kanak-kanak berminat menjadi usahawan sejak kecil merupakan suatu idea yang baru dan tiada lagi di Indonesia. Sebab itulah pihak Indonesia bersetuju untuk melesenkan buku-buku siri ‘Usahawan Cilik’. Sebab itulah bagi AR disamping kita menulis maka kita juga harus menjadi pengeksport idea. Semoga dengan kemampuan kita menjadi pengeksport idea baru maka kita mampu untuk membangunkan masyarakat dunia bersama-sama, insyaAllah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment