05 June 2010

Hari Alam Sekitar Sedunia


Tanggal 5 Jun telah dipilih sebagai Hari Alam Sekitar Sedunia. Apakah signifikannya kita menetapkan hari ini sebagai suatu hari yang diiktiraf sebagai hari alam sekitar? Manusia dijadikan khalifah di muka bumi ini. Sebagai khalifah maka menjadi tanggung jawab kita untuk memastikan kelangsungan hidup yang baik buat makhlukNya. Ayat itu bukannya bermaksud kita merampas kuasa daripada Tuhan tetapi kita harus menyedari fungsi manusia. Kita harus sedar akan saling bergantungan antara makhluk di muka bumi ini. Ia bukan sekadar untuk memastikan harimau tidak pupus atau memastikan badak sumbu tidak berkurangan tetapi jauh daripada itu sebagai pengiktirafan bahawa manusia itu semulia-mulia makhluk Allah.
Jikalau kita renungkan apa yang kita lihat kepada alam persekitaran kita 30 tahun dahulu dan membandingkannya dengan keadaan pada masa sekarang maka nampak jelas akan perbezaannya. 30 tahun dahulu masih banyak kawasan hutan yang menghijau. Memanglah tanaman kelapa sawit pun menghijau juga tetapi tidak sama. Kadar serapan air oleh pokok kelapa sawit berganda banyaknya berbanding pokok spesies hutan lain dan sebagai akibatnya kawasan paya dan sungai yang dapat menampung air kian berkurangan. Akibatnya ekosistem kita terganggu. Bayangkanlah apa akan terjadi 30 tahun daripada sekarang andainya keadaan ini tidak diatasi. Mampukah kita melihat lagi akan hutan yang menghijau?
Tujuan Kempen Kitar Semula dilaksanakan adalah untuk menyelamatkan bumi. Malangnya program ini tidak mendapat sambutan yang menyeluruh. Sementara satu pihak berusaha menjayakan kempen ini tetapi ada pihak lain yang menggagalkannya. Kempen ini amat penting. Kita terpaksa memusnahkan hutan untuk mendapatkan kertas. Melalui program kitar semula kertas maka hutan dapat diselamatkan. Begitu juga dengan plastik, logam dan banyak lagi barangan yang boleh dikitar semula. Sekiranya semua pihak mengambil peluang untuk sama-sama turut serta menjayakan kempen ini maka kita optimis bahawa suatu hari nanti usaha anda ini akan dapat membuahkan hasilnya ke arah matlamat bumi hijau. AR berpendapat melalui Novel JUTAWAN 3R, kita akan dapat membentuk sikap prihatin terhadap alam sekitar di dalam jiwa anak-anak. Ingatlah bahawa alam ini adalah milik kita bersama maka sama-samalah kita menjayakan usaha ke arah menyelamatkan bumi yang kita cintai ini.

No comments: