Sajak Dirgahayu Bangsaku
Karya: Ahmad Sarju
Tempatmu di singgahsana
hati nurani bangsaku
warga yang berbudi
setia dan amanah.
Bahasa itu maruah bangsa
yang mesti dipelihara martabatnya
agar tetap kukuh dan ampuh
melayari lautan bijaksana
salam ikatan mesra dan teguh.
Cekal dan waja semangat pejuangku
hak bangsaku memilikimu
hak bangsaku mendaulatkanmu
di bumi bertuah ini
merentas dunia tak bertepi.
Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan
ke barat dan ke timur menjalin persaudaraan
gagah pelautku membelah lautan
ke utara dan ke selatan bahasaku mencengkam
dari pulau ke pulau menggilap mutiara silam.
Dirgahayu bahasaku
di arena antarabangsa suaramu tumbuh
menusuk kalbu lagu bahasamu
bahasamu bahasa minda
mudah akrab dan bertatasusila
daripada bangsa yang bernama Melayu
menempa kejayaan di alaf baru.
Maksud Setiap Rangkap
Rangkap pertama sajak mengungkapkan kedudukan bahasa Melayu yang dinisbahkan kepada singgahsana, iaitu tempat bersemayam raja-raja. Bahasa dikaitkan dengan hati nurani bangsa sebagai warga yang berbudi, setia dan amanah. Ketinggian bahasa digambarkan seperti berikut:
Tempatmu di singgahsana
hati nurani bangsaku
warga yang berbudi
setia dan amanah.
Rangkap kedua sajak memberi penegasan terhadap martabat bahasa sebagai maruah bangsa yang mesti dipelihara. Bahasa hendaklah dipastikan tetap kukuh dan ampuh sebagai wahana ilmu (lautan bijaksana) dan sendi perpaduan (salam ikatan mesra dan teguh). Penyajak menurunkan mesej berkenaan menerusi bait puisinya:
Bahasa itu maruah bangsa
yang mesti dipelihara martabatnya
agar tetap kukuh dan ampuh
melayari lautan bijaksana
salam ikatan mesra dan teguh.
Rangkap ketiga memberi fokus tentang peranan pejuang bahasa dalam mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai milik bangsa dan negara dalam mengharungi era globalisasi. Semangat cekal dan waja para pejuang bahasa akan memastikan bahawa hak bangsa bagi mempertahankan bahasa Melayu terjamin. Ujar penyajak:
Cekal dan waja semangat pejuangku
hak bangsaku memilikimu
hak bangsaku mendaulatkanmu
di bumi bertuah ini
merentas dunia tak bertepi.
Rangkap keempat merakamkan sejarah kegemilangan bahasa Melayu yang pernah megah sebagai bahasa perdagangan serantau (khususnya pada era empayar Melaka, penulis blog). Urusan diplomatik dan pelaut dilaksanakan tanpa masalah menerusi perantaraan bahasa Melayu. Penyajak menitipkan:
Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan
ke barat dan ke timur menjalin persaudaraan
gagah pelautku membelah lautan
ke utara dan ke selatan bahasaku mencengkam
dari pulau ke pulau menggilap mutiara silam.
Rangkap kelima dan terakhir merumuskan fungsi bahasa Melayu di arena antarabangsa bagi menempa kejayaan pada alaf baru. Bahasa Melayu sangat unik kerana lenggoknya yang menusuk kalbu (meresap di jiwa), mengungkapkan perasaan dan fikiran (bahasa minda), menjurus kepada persaudaraan dan sopan santun (mudah akrab dan bertatasusila). Bahasa Melayu dihadiahkan oleh bangsa Melayu untuk nusa Malaysia.
Dirgahayu bahasaku
di arena antarabangsa suaramu tumbuh
menusuk kalbu lagu bahasamu
bahasamu bahasa minda
mudah akrab dan bertatasusila
daripada bangsa yang bernama Melayu
menempa kejayaan di alaf baru.
*Ubahsuai daripada beberapa laman blog terpilih.
No comments:
Post a Comment