Sajak Kecek – (V)
Awang Abdullah
1
seorang pengarah
membuka akaun semasanya
di sebuah bank ternama
tetapi dalam diam
dia mencantumkan
kemiskinan
orang lain
ke dalam amanahnya
yang telah lama pecah.
2
di kampung
seorang petani
membuka akaun kemiskinannya
di ruang kedaifan
dengan mengunci sedozen anak-anaknya
di dalam pagar sengsara
tetapi dia tidak pernah mencantum
kekayaan oang lain
ke dalam getirnya
yang sudah lama
berumbi.
3
di pantai
seorang nelayan
membuka akaun sengsaranya
di rahang laut ternganga
dan mengurung sederet anak-anaknya
di bawah pusaran nasib
tapi dia tidak pernah mengumpul
kesenangan orang lain
ke dalam kegusarannya
yang telah sekian musim
berlumut
di papan hidupnya.
4
Tuhan tidak pernah mungkir
mencatatkan setiap angka
dan nilai hitungan paling kecil
ke dalam akaun-Nya
Di rumah keadilan.
Maksud Setiap Rangkap
Rangkap 1
Seorang yang berjawatan pengarah dalam sebuah bank sibuk mengumpul kekayaan dengan hasil simpanan pelanggan. Semasa menjalankan tugas dia begitu licik pecah amanah dan menggelapkan wang. Perbuatan jenayah itu telah lama dilakukan.
Rangkap 2
Di kampung pula, seorang petani hidup dalam serba daif dan kekurangan. Dia tabah dalam membesarkan anak-anak dan menyara keluarga. Namun dia tidak pernah mengambil hak orang lain dalam usaha untuk keluar dari belenggu kemiskinan.
Rangkap 3
Di kawasan pantai, seorang nelayan juga terus dibelenggu kemiskinan. Anak-anaknya turut dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan. Namun dia juga tidak pernah menggunakan hasil titik peluh orang lain sepanjang meniti kehidupan yang semakin lama semakin menghimpit.
Rangkap 4
Setiap dosa dan pahala, kebaikan dan kejahatan setiap individu itu akan dicatatkan. Mereka akan mendapat pembalasan dari Tuhan seperti yang telah dijanjikan.
Tema
Sikap amanah. Dalam mencari rezeki kita perlu amanah kerana wang yang diperoleh digunakan untuk menyara keluarga. Golongan yang berjawatan didapati seringkali pecah amanah untuk hidup mewah berbanding golongan yang berpendapatan rendah.
Persoalan
1. Persoalan sikap pecah amanah oleh golongan berjawatan tinggi.
2. Persoalan golongan miskin terus dibenggu kemiskinan dan hidup susah.
3. Persoalan setiap perbuatan pasti mendapat balasan seperti yang dijanjikan oleh Allah
Diubahsuai daripada ulasan Cikgu Zainuddin
No comments:
Post a Comment