20 May 2014

Keputusan Kembara Sastera

Sebagaimana yang dirancang oleh pihak Jawataankuasa IPM akhirnya tepat jam 9.00 pagi kami yang seramai 35 orang telah menaiki bot menuju ke destinasi yang telah ditetapkan. Kami menyewa sebuah bot besar yang boleh memuatkan 50 penumpang. Alhamdulillah kami bersyukur kerana ramai ahli IPM yang membawa keluarga mereka bersama. Ini boleh juga diibaratkan sebagai sebuah keluarga IPM yang besar.
Kami melewati Pulau Lalang kemudian terus menuju ke Pulau Dodol. Selepas Pulau Dodol kami ingin menuju ke Pulau  Undan namun pemandu bot memaklumkan kami tidak boleh berhenti di Pulau Undan biarpun ada jeti di sana. Di Pulau Undan terdapat kemudahan radar pihak berkuasa APMM iaitu pihak berkuasa maritime Malaysia sebab itu kawasan itu menjadi kawasan larangan. Kami kemudiannya menuju ke Pulau Nangka. Pulau Nangka yang menjadi bualan ramai kami lewati dengan penuh minat dan tanda Tanya. Bukankah Pulau Nangka menjadi perhatian ramai sejak beberapa bulan yang lepas? Di pulau ini dikatakan tersimpan khazanah harta Kerajaan Melayu Melaka yang bernilai berbilion dollar. Pihak kerajaan Negeri Melaka telah melantik sebuah syarikat swasta bagi menguruskan kerja-kerja penggalian Tanah di kawasan Pulau Nangka bagi mencari harta Karun tersebut. Kami pula telah diingatkan mengenai status kawasan tersebut sebagai kawasan larangan jadi amat mustahil untuk kami singgah di pulau itu. Kami kemudiannya terus menuju ke Pulau Besar. Setibanya kami di Pulau Besar, kami disambut dengan hujan lebat yang turun membasahi bumi. Kami kemudian mengadakan acara baca sajak di jeti Pulau Besar. Antara peserta yang membaca sajak ialah Sasterawan Melaka, Puan Saadiah, Haji Husin Embi, Haji Abd Razak Adam, Haji Osman Dol, Lily (dari Indonesia), Kartiney (dari Muar), Cikgu Zubaidah, serta peserta cilik iaitu Abdul Hakim Abd. Razak (10 tahun) dan anak Puan Saadiah.
Selesai acara baca sajak kami menaiki van mengelilingi Pulau Besar. Antara yang kami lawati ialah kawasan chalet dan pusat pelancongan. Kami juga dibawa melawat makam 7 beradik, perigi nenek kebayan, kawasan makan serta muzium Pulau Besar. Di dalam muzium ini terdapat banyak informasi buat kami yang ingin menghasilkan karya kreatif. Sesungguhnya kembarabini amat berfaedah buat kami warga penulis



dan ahli IPM.

No comments: