27 May 2014

Keputusan Sayembara Menulis Cerpen dan Sajak Sejarah Melaka

Alhamdulillah semalam telah berlangsung majlis penyampaian hadiah Sayembara Menulis Cerpen dan Sajak Sejarah Melaka bersempena sambutan Melaka Bandaraya Bersejarah ke-11. Majlis tersebut telah dilangsungkan di Hotel Permaisuri, MITC, Melaka. Yang Berhormat Ahli Parlimen Masjid Tanah merangkap Ketua Puteri UMNO Malaysia telah sudi untuk hadir dan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah tersebut. Alhamdulillah cerpen bertajuk KERANAMU FATIMAH yang telah ditulis oleh AR berjaya menduduki tangga kedua.
Mengikut ulasan panel penilai, cerpen KERANAMU FATIMAH agak unik kerana cerpen ini ditulis menggunakan sudut pandangan seorang sultan. Kebiasaannya cerpen sejarah ditulis berdasarkan sudut pandangan rakyat biasa sebab itulah apabila cerpen ini diolah dari sudut pandangan sultan maka ia dapat memukau ahli panel penilai. Sebenarnya untuk menghasilkan cerpen ini, AR telah membaca dan menyelidik buku di bawah selama lebih kurang seminggu. Biarpun AR pernah mengkaji buku ini 27 tahun dulu namun untuk mendapatkan 'semangatnya' AR terpaksa membaca semula. AR cuba dapatkan gambaran sebenar kerana untuk menulis cerpen sejarah bukannya mudah. Selain bahasa, faktanya juga harus dijaga kerana itulah agak sukar menulis cerpen sejarah ini. Alhamdulillah kerana cerpen KERANAMU FATIMAH berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan ini.





No comments: