26 June 2014

Kelip-Kelip Dan Budaya Bangsa Kita

Kelip-kelip di Sungai Kuala Selangor sama sahaja dengan kelip-kelip di sungai lain di Malaysia. Tahukah kita bahawa akibat kepesatan pembangunan, pokok berembang habis ditebang. Apakah kesannya kepada kehidupan kita? Sama ada kita sedar ataupun tidak kita sebenarnya hidup dalam satu lingkaran ekosistem yang amat berhubungan sesama makhluk. Manusia memerlukan ruang untuk hidup lalu kawasan tebing sungai diterangkan atau manusia memerlukan kayu bakau untuk dibuat 'piling' bangunan dan sebagai akibatnya kayu bakau itu ditebang. Untuk mendapatkan kayu bakau atau ruang ini maka terpaksalah kayu berembang ini ditebang sama. Tanpa kita sedari apabila kita menebang pohon berembang maka serangga kelip-kelip ini juga akan merasa tempiasnya. Kelip-kelip yang bergantung harap pada pokok berembang untuk kelangsungan hidupnya akan turut pupus apabila pohon berembang pupus. Sewaktu AR kecil dahulu memang biasa melihat kelip-kelip pada malam hari tetapi sekarang ini rasanya dah berpuluh tahun AR tidak melihat kelip-kelip di kawasan tempat tinggal AR.
Nasib kelip-kelip ini sama sahaja dengan nasib budaya kita. Dengan nama pembangunan maka yang menjadi mangsa ialah budaya kita. Sekarang ini sesiapa sahaja yang tidak berpaut atas tiket pembangunan negara maka akan dicop sebagai penentang pembangunan. Natijahnya tiket pembangunan itu turut menghalalkan sama pembasmian budaya bangsa kita yang dipertahankan sejak sekian lama. Dengan nama pembangunan maka berapa banyak rumah-rumah tradisional kita yang terpaksa dirobohkan demi memberi laluan kepada pembangunan negara. Sama ada sedar atau pun tidak atas nama pembangunan kita terpaksa akur kepada cara hidup baharu yang kononnya penting untuk kita 'berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah' dengan bangsa-bangsa yang lain. Kesannya apabila budaya bangsa kita terhakis maka ia turut menghakis sama nilai hidup bangsa kita. Dan akhirnya kita ini akan menjadi seperti Lebai Malang yang dikejar tidak dapat dan yang dikendong keciciran.



No comments: