29 August 2014

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-57



Kemerdekaan merupakan hak mutlak sesebuah negara. Tanpa kemerdekaan, kita akan hidup sebagai seorang hamba. Seorang hamba itu hanya menjalankan arahan daripada tuannya sahaja tanpa punya pilihan untuk membantah. Sebagai seorang warga merdeka kita juga bebas membuat pilihan dalam menentukan arah tuju hidup kita. Begitulah lunaknya erti sebuah kemerdekaan. Hakikatnya generasi muda (termasuk AR) tidak tahu betapa getirnya kehidupan mereka yang dijajah sekiranya tidak membaca buku. Generasi pasca merdeka hanya merasai kesenangan dalam hidup tanpa perlu berusaha untuk membebaskan diri daripada cengkaman penjajah. Hal inilah yang menyumbang kepada ketidaksyukuran terhadap keamanan dan kemerdekaan yang dikecapi. Persoalannya bagaimanakah kita mahu membentuk generasi yang tahu bersyukur kerana dilahirkan di bumi Malaysia yang merdeka ini?
Mulanya Tanah Melayu ini terjajah ialah apabila Feringgi (Portugis) mengalahkan Kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1511. Hampir 250 tahun Kerajaan Melayu Melaka mengecap kejayaan dan kemewahan. Rupa-rupanya kejayaan menakluk kerajaan di Nusantara ini serta rezeki yang melimpah ruah hasil penaklukan dan perdagangan di kota Melaka telah melalaikan pemerintah (sultan), golongan pembesar dan rakyat jelata. Lihat sahaja kemungkaran dan kezaliman sultan yang memerintah hatta terhadap pahlawan terbilang mereka sendiri dihukum tanpa perbicaraan yang adil. Golongan pembesar pula sibuk mengumpul kekayaan dan berpuak-puak tanpa ada perpaduan. Rakyat pula tidak ada yang berani bersuara atau berilmu (memang bukan salah rakyat kerana sudah sistem kesultanan dahulu menjurus ke arah itu) maka jadilah itu sebagai penyumbang kepada tumbangnya Kerajaan Melayu Melaka yang begitu gah dan terkenal di seluruh pelosok dunia.
Generasi muda harus mengambil iktibar. Sejarah bagaimana hancurnya sebuah kerajaan yang begitu hebat tidak mustahil akan berulang di bumi Malaysia. Usah kita leka. Rakyat Malaysia sewajarnya berganding bahu bagi mengekalkan keamanan dan memastikan kemerdekaan negara terus terjaga. Sejarah itu mengajar kita. Hayati dan bacalah buku-buku sejarah serta buku-buku cerita berkenaan dengan perjuangan para pejuang kita semoga kesedaran ini nanti dapat menjadi banteng daripada kita terus alpa mengecap kemewahan hidup ini. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Negara Malaysia Yang Ke-57.

No comments: