06 May 2009



Pada 6.5.2009, saya telah diundang ke majlis 'Sepetang Bersama Penulis'. Hmm...sayalah penulisnya. Majlis ini telah diadakan di SMK Hang Kasturi, Melaka. Di dalam majlis ini peserta telah berkongsi pengalaman dengan penulis mengenai novel-novelnya yang terkini serta proses penulisan novel itu secara sepintas lalu. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah deklamasi sajak, tayangan slaid LCD dan membaca petikan novel. Usai acara ini maka telah diadakan sesi soal jawab. Antara soalan yang diajukan peserta ialah mengenai cara-cara menulis novel, royalti dan pembahagian masa untuk menulis. Pn Hayati Mawi selaku guru PSS berharap agar satu program dapat dijalankan oleh penulis iaitu 'cara-cara menulis novel'. Ibarat kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Terima kasih kepada pihak sekolah SMKHK, peserta dan Pn Hayati Mawi.

03 May 2009



Ini dia gambar penulis ngetop dari Indonesia. Taufik Rahman namanya. Beliaulah yang menulis novel Munajat Cinta. Setakat ini beliau sudah menghasilkan 120 buah cerita. Bertugas sebagai pensyarah universiti di Indonesia. Beliau menyatakan "Usah dicari ilham itu. Ilham itu bersifat suci dan datangnya daripada Allah S.W.T. Semakin kita cari ilham itu maka semakin tidak keruan kita jadinya. Semakin banyak kita menulis maka semakin banyaklah ilham yang datang, insyaAllah. Untuk menulis maka disarankan kita berwudhu dan berdoa serta hindari diri daripada melakukan sebarang dosa kecil mahupun dosa besar." Usah kita lalai atau melambatkan sembahyang kerana itu dengan sendirinya menjarakkan diri kita dengan Allah S.W.T. Jika kita menyambillewakan sembahyang maka semakin sukar ilham itu untuk hadir ke dalam diri kita.

Benarlah kata Sasterawan Negara kita iaitu Datuk A Samad Said ketika melancarkan Novel Cinta Islami di PWTC iaitu 'semoga kehadiran Pak Taufik akan memantapkan bidang penulisan di negara ini'.

Pada 26.4.2009 saya telah diundang oleh PTS untuk mengikuti Majlis Pelancaran Novel Cinta Islami. Majlis ini telah diadakan di PWTC. Dua orang tetamu didatangkan khas dari Indonesia iaitu Pak Taufik dan Tere-Liye. Majlis ini telah dilancarkan oleh Datuk A Samad Said. Antara ucapan yang terkesan ialah semoga kehadiran tetamu ini memantapkan bidang penulisan di Malaysia. Taufik Rahman sedang popular dengan Novel Munajat Cinta manakala Tere-Liye terkenal dengan Bidadari-Bidadari Syurga. Dalam gambar di atas kelihatan Norhayati Ibrahim selaku moderator majlis sedang mewawancara Taufik Rahman dan Tere-Liye. Pak Taufik menyatakan ilham itu datang dari Pencipta dan bersifat suci. Pengarang harus menjauhkan diri dari melakukan dosa kecil mahupun besar kerana ini akan menyebabkan halangan terhadap ilham itu untuk hadir ke dalam diri pengarang. Tere-Liye pula menyatakan sebelum menulis maka disarankan untuk berwudhu. Tere-Liye sudah menulis 'terlalu banyak buku' tapi cuma 4 terbit setakat ini (itupun meletup-letup). Beliau tidak kisah sama ada buku beliau terbit atau tidak kerana tanggungjawab beliau hanya menulis. Terserah kepada penerbit untuk menerbitkannya atau tidak.

24 April 2009


Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 memberikan satu dimensi baru kepada saya. Ramai pengunjung yang hadir. Gerai PTS diserbu peminat. Mereka datang dari seluruh pelusuk negara. Tahniah juga kepada ibu bapa yang ikut serta membawa anak-anak mereka berkunjung ke pesta buku ini. 'Zaman sudah berubah', itulah ungkapan tepat. Jikalau dahulu anak-anak sukar membeli buku tetapi kini ibu bapa sudah mula ada kesedaran. Biarpun ekonomi gawat namun ramai ibu bapa masih membelikan buku untuk anak-anak. Buktinya pesta buku dibanjiri orang ramai di tengah-tengah kegawatan ekonomi negara.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 sedang berlangsung. Pada 17.4.2009 saya telah berada di Gerai PTS untuk acara 'sesi bersama penulis'. Hari pertama dan penulis pertama di gerai PTS nampaknya meriah dengan pengunjung. Tahniah kepada adik Ali Marzuki yang telah berjaya membawa pulang kotak jati ajaib. Adik Ali Marzuki telah membeli buku Taman Botani Harapan, Kerepek AF dan Homestay Bayu. Sementara lapan orang pembeli bertuah telah berjaya membawa pulang ole-ole berupa tempat letak telefon bimbit daripada kayu.

10 April 2009

Pesta Buku Antarabangsa 2009


Pesta Buku 2009

Sesi bersama penulis ( A Razak Adam) akan diadakan pada;

Tarikh : 17.4.2009(Jumaat)
Masa : 4.00-5.00 petang
Tempat : Boot PTS Publication, PWTC.
Acara : Bicara buku baru bertajuk "Taman Botani Harapan"

Hadiah misteri berupa Kotak Kayu Jati menanti anda (didatangkan khas dari Pulau Jawa, Indonesia). Gambar di atas cuma gambar hiasan. Kotak Kayu Jati sebenar dapat disaksikan pada pesta buku itu nanti.

Novel Hanya Tuhan Yang Tahu

Alhamdulillah,
novel pertama saya bersama PTS bertajuk Hanya Tuhan Yang Tahu akhirnya masuk di dalam carta. Kedudukan menunjukkan naskah paling banyak terjual dan yang menerima nilai jualan RM75 ribu(Untuk 50 buku ngetop terjual) untuk tahun 2008. Apa yang lebih membanggakan lagi ialah buku itu diterbitkan pada Julai 2008. Kiraan dibuat untuk Julai-Disember 2008. Terima kasih untuk semua. Rujuk www.universitipts.com.