Apabila sebut berkenaan hari raya maka tidak sah kalau tidak dikaitkan dengan rumah terbuka. Konsep rumah terbuka merupakan suatu konsep baru bagi menyambut hari raya. Apabila ada rumah terbuka maka barulah sahabat handai berani berkunjung ke rumah rakan-rakannya. Dahulu kita bebas berkunjungke rumah sahabat handai tetapi sekarang ini bagaikan suatu dilema apabila hendak berkunjung ke rumah sahabat handai. Takut tuan rumah tidak bersedia! Sepatutnya pengunjung menikmati apa sahaja yang disediakan walaupun sekadar adanya sahaja. Pada tahun ini dek terlalu sibuk menulis maka tidak banyak rumah yang sempat dikunjungi. Satu buku sudah siap dan akan diemail kepada editor sebentar lagi manakala satu buku lagi tinggal 40 muka surat. Editor kedua sudah mula menghantar email. Nasib baik dapat editor yang begitu memahami maka dapatlah menulis dengan tenang.
04 October 2009
20 September 2009
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
Ucapan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI ini ditujukan kepada semua pembaca halaman blog ini. Ucapan ini juga ditujukan kepada peminat, pembaca, sahabat handai serta kepada semua yang mengenali saya. Hari raya pada kali ini saya mendapat cuti yang agak panjang jadi kesempatan cuti ini bolehlah digunakan untuk menulis. Dua buah cerita harus disiapkan menjelang ketibaan Oktober. Satu untuk Usahawan Cilik dan satu lagi untuk novel Manisah. Semoga peminat dapat mendoakan kejayaan saya menghasilkan novel-novel ini menjelang Oktober nanti.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN.
04 September 2009
Rezeki Bulan Ramadan
Kata orang rezeki bulan Ramadan ini datang bergolek-golek. Bukan sahaja peniaga pasar Ramadan yang dapat rezeki melimpah ruah, penulis juga ada kalanya begitu. Dalam waktu terdekat saya terpaksa mengejar date line untuk 2 novel. Satu novel remaja dan satu lagi untuk awal remaja. Kedua-dua editor berkehendakkan agar manuskrip dihantar sebelum Syawal. Bagaimana hendak atasi masalah ini sedangkan bulan Syawal lagi 15 hari?
30 August 2009
Selamat Menyambut Hari Merdeka
Saya baru melihat Inside di National Geografi. Cerita ini mengisahkan bagaimana tahanan di Penjara Guantanamo dilayan (kisah ini sudah banyak kali didengar). Tentera Amerika dengan rasa bangga menyatakan bahawa mereka rasa bangga melakukan keadilan dengan menahan tahanan ini. Tahanan ini ditahan tanpa dibicarakan. Ada tahanan yang sudah menjangkau 7 tahun berada di sini. Bagaimanakah agaknya jika kita tiba-tiba ditahan? Sudahlah kita tidak tahu akan kesalahan kita dan kita pula tidak diberikan peluang untuk mendapat keadilan. Bukankah itu kejam namanya. Sebagai rakyat yang merdeka adalah penting untuk kita dilayan sebagai seorang manusia. Semoga roh dan semangat kemerdekaan ini meresap jauh ke dalam setiap jiwa rakyat Malaysia.
Di bawah ini sajak hasil nukilan beberapa orang pelajar tingkatan 2. Sajak ini ditulis sebagai salah satu aktiviti kumpulan sempena bulan kemerdekaan. Tema sajak yang ditulis ialah kemerdekaan. Sama-samalah kita hayati pandangan mereka tentang erti sebuah kemerdekaan.
Jasa Pejuang Kemerdekaan.
Penulis : Hiew Wei Hong
Hatiku ingin kulelong
tapi aku makan hati berulam jantung
dan jasa sebesar gunung
ingin aku tetap kendong.
Jikalau ada paku yang patah
segenggam jua dapat kuratah
kerana jasa pejuang
akan tetap aku kenang
merdeka! merdeka! merdeka!
MALAYSIA TANAH AIRKU
PENULIS : FARAH
Di tanah ini
bekas tumpah darah
begitu ramai pejuang
yang sanggup menggadaikan nyawa demi warga tercinta.
Penjajah
disebabkan engkau
ramai pejuang terkorban
Tuk Janggut, Mat Kilau, Tuk Gajah
dan sekian banyak nama tak terhingga
sehingga menimbulkan kacau bilau
menggugat keamanan negara.
Marilah
marilah sekalian rakyat Malaysia
kita bersatu menegak panji-panji negara
bagi kemajuan nusa dan bangsa.
KEMERDEKAAN HAKIKI
Penulis : Wahida
Setahun hanya sekali
sambutan merdeka akan tiba dan pergi
bulan merdeka yang aku nanti-nanti
akhirnya menjelang lagi.
Setahun hanya sekali
hari kemerdekaan adalah kenanganku
lalu ia bersemi di hati dan sanubari.
Setahun hanya sekali
aku meraikan kemerdekaan ini
dengan menyahut merdeka! merdeka! merdeka!
Di hari bersejarah ini
aku berasa bersemangat
kerna negaraku telah bebas
bebas dari penjajah
merdeka! merdeka! merdeka!
KEMERDEKAAN
Penulis : Huzaimi
Naik Basikal pergi ke pekan
pergi ke kedai beli belacan
31 Ogos merdeka
tiga kali kita laungkan
merdeka! merdeka! merdeka!
Zaman Jepun zaman penjajah
ramai terbunuh kerna membela nusa
Tunku Abdul Rahman Bapa Kemerdekaan
jasamu akan aku sanjung sepanjang zaman.
ERTI KEMERDEKAAN
Penulis: Azwan
Dahulu kala kita dijajah
Kini sekarang kita merdeka
Tunku Abdul Rahman tokoh terbilang
menjadi sanjungan sepanjang zaman.
Penjajah itu sifatnya kejam
menyiksa, menafi hak warga
lahir Tun Abdul Razak Bapa Pembangunan
cuba hapuskan kesengsaraan.
Sudah lama hidup dalam kegelapan
seawal abad 16 hingga tahun 57
kini api sinar mula membahang
semangat juang semakin kukuh.
Baru kini aku mengerti
mengapa hari merdeka harus dihayati
betapa bersyukur akan kebebasan ini
aku bebas membuat pilihan sendiri.
Terima kasih buat pejuang
sekalung budi buat kalian
hanya Tuhan tempat aku pohonkan
moga roh pejuang akan tetap tersimpan
syurga abadi buat kalian.
28 August 2009
Kerepek AF dibeli PNM

Alhamdulillah rezeki bulan Ramadan. Semalam dapat panggilan dari pegawai PNM. Buku cerita Kerepek AF telah terpilih untuk pembelian PNM. PNM akan membeli sebanyak 1089 buah buku cerita ini. Dana pembelian untuk penulis ini diilhamkan oleh Dato' Seri Rais Yatim. Dengan dana ini maka PNM akan membeli secara terus buku terpilih tanpa melalui penerbit. Tapi penulis kena juga berbaik dengan penerbit sebab penulis bukan ada kilang percetakan. PTS yang bertindak sebagai penerbit nampaknya begitu prihatin juga. Sama prihatinnya dengan menteri ini. PTS memberikan imbuhan yang besar bagi buku-buku yang dibeli oleh PNM. Bagi penulis, pembelian ini merupakan suatu pengiktirafan terhadap hasil penulisan. Terima kasih PTS. Terima kasih PNM. Terima kasih juga kepada pembaca semua.
22 August 2009
Selamat Menyambut Bulan Ramadan
Selamat menyambut bulan Ramadan kepada semua pembaca. Bulan Ramadan merupakan bulan yang mulia.Bulan penuh keberkatan. Pada bulan inilah diturunkan al-Quran. Ayat pertama ialah 'Iqra' bermaksud bacalah. Dengan membaca maka ilmu dapat ditambah. Dengan membaca ilmu itu dapat diperluaskan. Bangsa membaca merupakan bangsa berjaya. Bangsa berjaya itu ialah bangsa yang dapat mengawal dunia. Ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W di gua Hirak iaitu agar baginda membaca (walaupun baginda tidak tahu membaca) merupakan seruan secara langsung oleh Allah S.W.T kepada umatNya. Suatu seruan agar menjadikan aktiviti membaca itu sebagai suatu tugas yang perlu diutamakan. Boleh juga dikatakan suatu tanggungjawab kepada setiap umatNya agar membaca. Dengan membaca kita boleh mencapai matlamat diri, keluarga dan keperluan ummah kita.
Kepada rakan penulis, jadikan bulan Ramadan ini sebagai suatu bulan bonus untuk menulis. Menulis sambil beribadat atau beribadat sambil menulis. Bukankah pada bulan yang mulia ini segala amalan baik digandakan oleh Allah S.W.T. Apa yang penting ialah kita pasangkan niat kita.... kerana Allah.
Kepada rakan penulis, jadikan bulan Ramadan ini sebagai suatu bulan bonus untuk menulis. Menulis sambil beribadat atau beribadat sambil menulis. Bukankah pada bulan yang mulia ini segala amalan baik digandakan oleh Allah S.W.T. Apa yang penting ialah kita pasangkan niat kita.... kerana Allah.
19 August 2009
WS RENDRA
'Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama', itulah yang dapat diibaratkan kepada WS RENDRA atau MERAK EMAS. Beliau meninggal dunia pada 6 Ogos 2009 pada usia 74 tahun. Tokoh sastera tersohor ini punya gaya tersendiri dalam penulisannya. Banyak karya beliau yang bersifat kritikan terhadap pemerintah. Tidak hairan beliau beberapa kali dimasukkan ke dalam penjara. Namun perjuangan melalui penulisannya akhirnya mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Indonesia.
Hasil penulisan WS RENDRA banyak berkisar kepada perjuangan untuk hak rakyat bawahan. Ini sebenarnya dilakukan sebagai suatu wadah untuk memberitahu pemerintah apa sebenarnya yang berlaku kepada rakyat. Pemerintah pula haruslah anggap wadah itu sebagai suatu pemberitahuan situasi sebenar yang dialami oleh rakyat biasa. Ini bukan bermaksud untuk menjatuhkan sesuatu pemerintahan. Ini harus dilihat sebagai suatu bentuk pertolongan kepada golongan pemerintah. Anggap sahaja penulis itu sebagai kawan bukannya lawan. Bukankah ada pepatah yang mengatakan mata pena itu lebih tajam berbanding mata pedang!
Subscribe to:
Posts (Atom)