30 August 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Pada kesempatan ini AR ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI MAAF ZAHIR BATIN. AR ingin memohon maaf sekali lagi kerana agak lama menyepi. Biasanya AR update blog 2 minggu sekali tapi ini sudah berlanjutan sebulan. AR sebenarnya kena menyiapkan manuskrip novel untuk dihantar kepada pihak MASTERA dan penerbit. Apabila kena siapkan mengikut tarikh akhir maka AR kenalah bertungkus lumus untuk menyiapkannya. Alhamdulillah manuskrip itu telah pun siap tetapi malangnya pihak penerbitan tidak bersetuju untuk menerbitkannya. Kenapa ye? Inilah pengajarannya iaitu apabila kita menulis sesebuah cerita maka kita harus menghantar manuskrip itu kepada penerbit yang sesuai. Oleh kerana cerita AR bertemakan sosiobudaya maka kenalah cari penerbit yang boleh menerbitkan novel yang sebegitu rupa. Kesimpulannya AR akan mencari penerbit lain untuk menerbitkan manuskrip novel ini.

31 July 2011

Selamat Menyambut Ramadhan





AR telah mengikuti LDP di Hutan Rekreasi Sungai Udang, Melaka pada hari Sabtu. Kami telah meredah laluan di hutan sejauh 2.4km. Rupanya ada beratus nama pokok kayu balak yang kekadang kita sukar percaya bahawa itu nama pokok kayu balak. Antara nama pokok itu ialah petaling, antoi, kandis, kelat, nyatuh, keruing, kelulut, sentul, merbau, balau, bintangor, seraya dan seribu satu nama lagi. Pak Ahmad Tohari (penulis terbaik Indonesia 2008) menyatakan seseorang penulis novel harus sedar bahawa manusia tidak hidup keseorangan di dunia ini. Kita berkongsi ruang dengan makhluk Allah yang lain.
Salam ceria dan Selamat Menyambut Ramadhan Yang Mulia.

09 July 2011

Bengkel Penulisan MASTERA di Bogor

Bermula esok 10.7.2011 hingga 18.7.2011, AR akan berbengkel di Bogor Indonesia. Sudah lama AR mengidam untuk mengikuti bengkel MASTERA ini. Bengkel ini menghimpunkan penulis-penulis dari Negara Malaysia, Indonesia, Brunai dan Singapura. Peserta program ini terdiri daripada mereka yang novelnya pernah diterbitkan (syarat asas). Para peserta yang ingin memohon mengikuti bengkel ini juga dikehendakki menulis sebuah manuskrip novel yang belum pernah diterbitkan untuk dinilai oleh sebuah jawatankuasa penilai. Manuskrip itulah yang menentukan layak atau tidak seseorang itu mengikuti bengkel ini. Alhamdulillah AR terpilih melalui manuskrip novel berjudul "Tujuh Keturunan". Manuskrip ini nanti juga khabarnya akan diperdebatkan di dalam bengkel itu nanti dan setelah diedit maka manuskrip ini akan diterbitkan sebagai sebuah novel. Tujuan utama AR mengikuti bengkel itu dengan nawaitu untuk menimba ilmu pengetahuan. AR rasa walaupun sudah 7 buah novel AR diterbitkan namun masih banyak lagi yang ingin AR pelajari. Ilmu ini semakin banyak digali maka semakin banyak kita jumpa dan semakin kerdil kita di sisiNya.
Antara peserta dari Malaysia yang turut sama bersama AR nanti ialah nama-nama besar dalam bidang penulisan novel seperti Nisah Haron (peguam, penceramah bidang kreatif, cerpenis dan novelis yang tidak asing lagi di tanah air kita), Kusyairi (seorang guru MRSM di utara tanah air yang novelnya pernah memenangi suatu pertandingan menulis novel), Baharuddin Bekri (Bintang besar dari PTS), Hafizah (wartawan merangkap penulis novel dari Berita Harian), Arif (pensyarah bidang pendidikan kreatif UPSI yang sedang menyambung PhD di UM, juga seorang novelis) serta seorang penulis novel dari Jejari Seni. AR berharap AR akan memperoleh ilmu yang bermanfaat yang akan membantu AR untuk menulis novel yang lebih baik pada masa hadapan.

18 May 2011

Antologi Cerpen Aduhai Peningnya... Diterbitkan



Sebuah lagi antologi cerpen yang memuatkan karya cerpen AR diterbitkan. Antologi Cerpen Aduhai Peningnya... telah dilancarkan oleh Pengarah Pelajaran Melaka di Auditorium Politeknik Merlimau pada 18 MEI 2011. Tajuk cerpen AR ialah Pen Merah Pen Biru. Antologi ini memuatkan 18 cerpen mengenai cabaran dihadapi golongan pentadbir dan guru di sekolah dalam berhadapan dengan masalah sewaktu mentadbir. Apakah jalan penyelesaian yang telah diambil oleh mereka sewaktu berhadapan dengan kerenah ini? Cerpen ini amat berguna sebagai panduan kepada pendidik.

15 May 2011

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU 2011


“Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”

Dedikasi untuk semua guru

GURU OH GURU
Karya : Usman Awang

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
USMAN AWANG
1979


TERIMA KASIH CIKGU

08 May 2011

SELAMAT MENYAMBUT HARI IBU


Pada hari ini diadakan sambutan hari ibu. Tanpa ibu, siapalah kita. Sewajarnya setiap orang menghargai ibu apatah lagi ibu sendiri. Sifat makhluk bernama manusia seringkali ingin bertangguh dan akhirnya menjadi lupa. Mereka ingin bertangguh untuk meraikan ibu dan akhirnya menjadi lupa tanpa menyedari ibunya menghampiri usia senja. Beruntunglah orang yang masih diberikan kesempatan oleh Allah untuk meraikan hari ibu ini bersama ibu yang tersayang. Pesan AR semoga sementara punya masa dan kesempatan ini maka raikanlah hari ibu ini bersama ibu tercinta.