09 January 2010

Tarikan Terbaru Kuala Sungai Baru, Melaka.






Inilah tarikan terbaru yang terdapat di Kuala Sungai Baru. Bagi mereka yang ingin menikmati makanan laut, anda boleh berkunjung ke Medan Ikan Bakar Terapung Kuala Sungai Baru. AR sebenarnya ingin merehatkan diri setelah seminggu bertungkus lumus bekerja dan melayani keperluan sekolah untuk anak-anak. Hujung minggu biasanya masa yang paling baik untuk menulis novel, untuk itu AR perlu punya rehat yang cukup. Bagi menenangkan fikiran maka AR singgah di Pekan Kuala Sungai Baru yang terletak 10 minit perjalanan dari rumah AR. Tempatnya sungguh menarik kerana dapat menikmati pemandangan laut yang mengasyikkan. Terdapat kemudahan surau (terapung di atas air), menara tinjau, padang permainan kanak-kanak, tempat letak kereta yang luas, sunyi kerana jauh daripada kesibukan kenderaan dan banyak lagi kemudahan yang terdapat di situ. Sesekali terdapat bot nelayan yang memasuki kuala sungai. Walaupun baru lima hari dibuka terdapat ramai orang yang berkunjung ke situ. Bagi mereka yang ingin bermalam, terdapat banyak chalet di kawasan kampung nelayan. Kepada kaki pancing, anda boleh mencuba nasib di sini. Bukankah ada pepatah mengatakan di mana ada air, di situ ada ikan!