15 April 2010

Malam Gema Puisi




Perjalanan jauh untuk menyaksikan dainosour yang hampir pupus agak berbaloi juga. Tiba di Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka jam 8.45 malam. Perjalanannnya mengambil masa 1 jam untuk jarak 40 km.Hati teruja melihat dewan penuh dengan penonton dan hampir sahaja terpaksa berdiri di luar dewan. Mujur ada kenalan yang berusaha mencarikan kerusi kosong. AR dapat kerusi di bahagian hadapan, alhamdulillah. Usai deklamasi sajak daripada Pengarah DBP Wilayah Selatan maka AR sudah boleh buat kesimpulan. Pasti ada yang tidak kena kerana microphone buat hal. Diikuti oleh persembahan Prof Rahman Shaari dari UM siap dengan lakonan bersahaja Hang Jebat dengan Hang Kasturi. Disusuli pula persembahan dondang sayang oleh Tuan Haji Yassin. Suaranya sungguh merdu tapi sayang sebab hadirin bukan hendak dengar contoh tetapi sebuah persembahan dondang sayang yang sebenar. Alangkah bagus sekiranya sebuah persembahan lengkap dondang sayang dapat ditunjukkan. Hadirin kemudiannya dipersembahkan dengan persembahan burdah oleh Tuan Haji Muhammad Salehuddin Aman. AR sendiri berasa terpegun mendengar burdah dinyanyikan dan terus terang AR katakan iaitu AR boleh beri A+ kepada Tuan Haji Muhammad Salehuddin Aman. Persembahan oleh Kumpulan Kebudayaan IPPM menarik tetapi dek terlalu lama (lebih 25 minit) maka persembahan itu jadi hambar ditambah pula oleh mutu audio yang mengecewakan. Saudara Roslan Madun tampil dengan bongai (lagu rakyat dari Negeri Sembilan) dan ini amat memukau hadirin. Hadiri sungguh seronok dan ikut serta dengan Roslan Madun menyanyikan bongai yang dinyanyikan. Saudara Aripin Yuzir mendendangkan nazam dan diikuti Munsyi Mohammad Musip yang mantap mebawakan syair. Pujian juga harus diberikan kepada Saudara Rani Embi yang membawakan rejang. Mungkin kita pertama kali mendengar perkataan rejang ini. AR sempat menemubual dengan saudara Rani dan beliau menyatakan rejang ini diperoleh hasil kajian beliau (terpaksa masuk kampung dan berjumpa dengan orang-orang tua) di Jasin, Melaka. Diikuti pula persembahan gurindam oleh Rohaya Abu. AR rasa bertuah dapat hadir pada malam itu dan sekalung pujian harus diberikan kepada pihak IPPM KPM dan DBP Wilayah Selatan kerana cuba mengetengahkan kembali Puisi Melayu Tradisional. Usah kita biarkan Puisi Melayu Tradisional kita pupus sebagaimana pupusnya dainesour!

No comments: