22 April 2010
Mencipta Wang Dan Kesejahteraan Hidup Melalui Jutawan 3R
Apa itu sampah? Sampah didefinisikan sebagai “1. benda-benda yang dibuang, kotoran (daun-daun kering, kertas-kertas kotor, dll). 2. sesuatu (benda atau orang) yang tidak berharga atau berguna” Kamus DBP Edisi Keempat 2005 m/s 1380. Pokoknya sampah itu benda yang hina sebab sampah merupakan benda yang dibuang dan bersifat kotor. Apakah maksud sampah itu sesuatu yang tidak berharga atau tidak berguna lagi? Ia bermaksud benda yang tiada nilai. Benarkah begitu?
Mungkin tafsiran bahawa sampah itu benda yang tidak berharga atau berguna lagi harus diubah mengikut arus perubahan semasa. Sebagai contoh perut ikan (setelah ikan disiang), kulit udang dan sisa makanan itu dahulu dibuang kerana boleh mendatangkan bau busuk. Tahukah kita bahawa perut ikan, kulit udang dan sisa makanan boleh dibuat baja tanaman? Ini secara tidak langsung menjimatkan perbelanjaan kita. Itu bermakna duit kita akan semakin banyak.
Bersempena dengan kelahiran Novel Jutawan 3-R ini maka AR ingin jadikan blog ini sebagai suatu forum untuk kita berkongsi maklumat. AR ingin berkongsi apa sahaja maklumat yang diketahui oleh pembaca mengenai sampah. Kita boleh bertukar-tukar pendapat mengenai jenis-jenis sampah, kegunaan semula sampah, proses kitar semula, gambar-gambar sampah, salah laku orang awam terhadap sampah serta apa sahaja mengenai sampah. Pembaca juga boleh meluahkan pendapat mengenai isu-isu yang berkaitan dengan sampah, tenaga atau menukar sampah menjadi duit. Apakah matlamat ruangan ini? Ruangan ini bermatlamat
a. menjadikan bumi kita selamat untuk diduduki,
b. kita boleh hidup dengan aman dan tenteram,
c. memanjangkan jangka hayat bumi,
d. memperoleh sumber pendapatan daripada aktiviti kitar semula,
e. memperoleh pendapatan melalui aktiviti guna semula dan
f. mendapat pendapatan melalui aktiviti penjimatan penggunaan barangan.
Antara pengisian ruangan ini ialah melalui sesi soal jawab, menulis esei, menulis pantun, syair, cerpen atau bertukar-tukar pendapat mengenai aktiviti yang dijalankan.
Jikalau para pembaca ada pendapat atau buah fikiran maka pembaca budiman bolehlah memberikan pendapat itu melalui blog ini. Segala sumbangan anda amat dihargai demi memastikan kesejahteraan bumi kita yang kita cintai.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment