23 April 2010

Sambutan Hari Buku Dan Hak Cipta Sedunia





Tanggal 23 April seluruh dunia mengadakan sambutan Hari Buku Dan Hak Cipta Sedunia. Perpustakaan Negara Malaysia telah merancang aktiviti pada 23 April di Perpustakaan Negara Malaysia. Hari buku ini dipilih pada 23 April bersempena dengan kematian penulis agung berbangsa Spanyol iaitu Miguel de Cervantes yang meninggal pada tahun 1923. Pada tahun kematian penulis agung ini juga berlakunya kematian penulis-penulis tersohor yang lain seperti William Shakespeare, Inca de Garsilaso la Vega serta Jesep Pla. Pada tahun itu juga lahir Maurice Druon, Vladimir Nabokov, Manuel Mejia Vallejo dan Halldor Laxness (petikan dari Peace Generation).
Ada juga pertanyaan kenapakah kita yang beragama Islam tidak membuat sambutan tersendiri untuk sambutan hari buku ini? Ada juga saranan agar Hari Buku Sedunia disambut bersempena dengan kelahiran surah pertama iaitu Surah Al-‘Alaq. Surah pertama iaitu Surah Al-‘Alaq diterima oleh Nabi Muhammad S.A.W ketika baginda sedang bersendirian di Gua Hira. Terjemahannya.

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya………(Surah Al-‘Alaq).

Pada pendapat AR, persoalan tarikh itu bukanlah apa sangat. Kemunduran umat Islam sendiri harus dijadikan fokus. Budaya membaca ini merupakan budaya Islam. Allah S.W.T sendiri menurunkan surah pertamanya yang menyeru Umat Islam membaca (Nabi Muhammad S.A.W sebagai contoh). Membaca itu Islam dan Islam itu membaca harus dijadikan satu slogan. Slogan itu bukan hanya menjadi slogan tetapi harus direalisasikan. Merealisasikan slogan itu menjadi tugas dan tanggungjawab semua umat Islam. Baik guru, ibu bapa, penghulu, doktor dan sesiapa jua yang beragama Islam menjadi kewajipan kepada mereka untuk melaksanakan. Usah sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’ sahaja. Anggap sahaja sebagai suatu kewajipan sebagaimana kita diwajibkan untuk mempertahankan kesucian agama Islam itu sendiri. Setiap umat Islam wajib menyuruh orang bawahannya membaca. Ini kerana kita tahu iaitu teras untuk kemajuan ialah membaca buku. Buku itu sebagai sumber ilmu. Biarpun pada masa sekarang maklumat disimpan di dalam komputer tetapi hakikatnya buku itu harus juga menjadi keutamaan. Kaedah menggalakkan pelajar membaca buku juga harus diberikan nafas baru. Kaedah itu harus menarik sehingga mampu bersaing dengan keseronokkan melepak, bermain permainan komputer, berchatting, berfacebook dan bermacam-macam lagi yang melalaikan. Apakah buku terbaru yang anda baca hari ini?

*Gambar menunjukkan Gua Hira dan kereta angkasa di Studio Disney, Perancis(Gambar koleksi peribadi....harap tidak diupload tanpa kebenaran)

No comments: