02 August 2010
Kita Sudah Merdeka?
31 hb Ogos 2010, negara Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan Ke-53. Ini bererti sudah 53 kali kita mengadakan sambutan hari kemerdekaan. Apakah maksud perayaan hari kemerdekaan? Ini bermaksud kita cuba mengadakan aktiviti yang dapat menyatakan tentang kegembiraan kita kerana kita sudah bebas daripada belenggu penjajah. Sedar ataupun tidak sudah 53 tahun kita merdeka. Kita merdeka daripada penjajah Inggeris. Sewaktu kita dijajah, segala hasil mahsul kita seperti bijih timah, getah, dan barang-barang berharga kita dirampas dan dibawa lari ke negara Britain. Katanya kita rakyat pribumi tidak tahu memerintah negara pada waktu itu. Mereka mencorakkan sosio budaya negara ini. Buruh-buruh asing dari negara China dibawa ke lombong-lombong bijih timah manakala buruh-buruh dari negara India dibawa ke estate-estate untuk menoreh getah. Orang-orang dari Negara China membawa budaya mereka termasuklah kewujudan kongsi-kongsi gelap seperti Gee Hin dan Hai San. Orang-orang dari negara India juga membawa budaya mereka ke sini. Manakala orang-orang Melayu ditempatkan di kampung-kampung untuk bekerja di sawah-sawah padi. ‘Peta budaya’ yang dilakarkan oleh pihak British nampaknya berjaya untuk memecahbelahkan masyarakat kita kerana masing-masing berjuang berpaksikan negara masing-masing pada masa dahulu. Inilah yang menyukarkan kita untuk bersatupadu kerana masing-masing ada perasaan curiga mencurigai antara satu kaum dengan kaum yang lain. Dalam hal ini cuma bahasa Melayu sahajalah yang dapat dilihat sebagai satu-satunya cara terpenting untuk penyatuan semua bangsa di Malaysia. Penggunaan bahasa Melayu dalam urusan di pejabat kerajaan, swasta, sekolah, pusat pengajian tinggi ataupun ketika berkomunikasi di mana sahaja akan dapat mengikat suatu persefahaman bahawa kita duduk dan tinggal di Malaysia. Malangnya setelah 53 tahun kita merdeka, kita gagal untuk memastikan rakyat Malaysia 100% menguasai bahasa Melayu (Prof. Teo Kok Seng). Apabila rakyat kita tidak dapat menguasai bahasa Melayu maka kita gagal untuk membentuk kesepaduan bangsa Malaysia. Biarpun kita maju dari segi teknologi namun dari segi jati diri, patriotisme, dan sayang akan bangsa Malaysia kita gagal. Ini dapatlah diibaratkan seperti pokok yang tampak hebat di luar (kerana ketinggian dan daunnya yang menghijau) namun batangnya mereput dan menunggu masa untuk tumbang. Kita sesungguhnya percaya dan penuh yakin bahawa bahasa Inggeris itu penting tetapi kita harus lebih yakin bahawa bahasa Melayu itu teramat penting. Kepentingan bahasa Melayu itu melebihi kepentingan bahasa Inggeris kerana ia dapat memastikan perpaduan kaum serta keharmonian penduduk Malaysia akan tercapai. Apabila perpaduan dan keharmonian ini tercapai maka teras kemajuan negara Malaysia akan kukuh maka disitulah maksud sebenar kemerdekaan negara Malaysia. Kesempatan AR berkunjung ke UK dapat menunjukkan kepada AR betapa UK itu berkembang maju kerana hasil bijih timah dan getah yang telah ‘dirompak’ oleh negara itu. Hasil bumi kita ‘dirompak’ dan dibawa pulang untuk kemakmuran negara mereka. Apa yang tinggal kini ialah sisa-sisa yang jikalau tidak diuruskan dengan betul maka sisa-sisa penjajah ini akan menjadi racun yang akan menghancurkan negara kita. Apakah kita sudah merdeka?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment