17 August 2010
Yang Patah Sukar Untuk Tumbuh Kembali.
Rasanya tidak terlalu lewat untuk AR ucapkan selamat berpuasa pada bulan Ramadhan yang mulia ini. AR lambat mengemaskinikan blog ini kerana kekangan masa tambahan pula AR perlu mengedit semula manuskrip yang telah dipulangkan untuk diperbaiki. Sedar atau tidak Ramadhan ini banyak menguji kesabaran kini. Biarpun ada pepatah yang berbunyi 'patah tumbuh hilang berganti' tetapi kali ini AR ingin menyinggung banyak benda yang hilang tanpa ada penggantinya. Antara yang hilang ialah budaya bertukar-tukar juadah sesama jiran iaitu juadah berbuka puasa. AR amat rindu akan budaya ini. Bukan AR tidak mampu untuk membeli tetapi kemesraan akibat budaya ini yang menyebabkan AR merinduinya. Kekadang 'lain padang lain belalang dan lain tempat lain orangnya'. Kehidupan di kampung berbeza dengan kehidupan di taman perumahan. Selain daripada itu sikap sabar juga semakin terhakis dari sanubari umat bergelar Islam. Cuba kita perhatikan pemandu-pemandu kereta dan motosikal, sukar sangatkah untuk kita bersabar? Tanpa mempedulikan perasaan orang lain maka hon kenderaan dibunyikan sebagai tanda protes. Tambah-tambah jikalau sudah hampir dengan waktu berbuka puasa, lagi cepat pemandu kita menjadi marah. Kita selalu diingatkan tentang bersabar namun kesabaran itu hanya ditulis di dalam buku sahaja sedangkan kita tidak mempraktikkannya. Cubalah kita berbaik sangka terhadap semua manusia maka kita akan mendapat kesan yang berbeza dalam hidup kita nanti, insyaAllah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment