01 May 2012

IPM & Sambutan Melaka 750 Tahun

Sudah agak lama AR menyepi iaitu lebih kurang 35 hari. Antara isu yang tertinggal ialah mengenai Hari Sastera Nasional yang diadakan di Melaka. Diadakan di negeri Melaka bersempena dengan sambutan Melaka 750 tahun (ahli sejarah mengatakan Melaka dibuka pada tahun 1212 Masehi). AR sempatlah menghadiri acara pembentangan kertas kerja yang diadakan di Seri Negeri. Biarpun tidak dijemput (setiap persatuan kalau tak silap AR yang diundang ahlinya cuma 4 orang sahaja). Selalunya AR menolak untuk menghadiri Hari Sastera Nasional ini(di negeri lain) kerana AR bekerja namun bila diadakan di negeri sendiri kenalah jenguk-jengukkan muka. Malang sekali ramai orang luar dari orang Melaka. Entah manalah ghaibnya orang Melaka. Jikalau dihimpunkan guru yang mengajar BM dan KM di Melaka paling tidakpun 3,000 orang. Mungkin aspek publisiti perlu diberi perhatian (AR pun terpaksa bertanya rakan untuk mengetahui perjalanan program tersebut). Hmm ini melibatkan maruah orang Melaka jadi slogan Melaka Maju kenalah dipertahankan agar kemajuan itu diserlahkan dalam apa jua bentuk penganjuran yang dibuat.Apapun tahniah juga kepada pihak penganjur, setidak-tidaknya program ini berjaya juga dijalankan biarpun ada kekurangannya di sana sini. Berkaitan dengan Sambutan Melaka 750 Tahun, AR baru sahaja menghadiri mesyuarat AJK Ikatan Persuratan Melayu yang diadakan di Hotel Seri Malaysia, Ayer Keroh pada hari Ahad lepas. Antara yang akan dijalankan ialah Pertandingan Menulis Cerpen dan Sajak Sempena Sambutan Melaka 750 Tahun. Acara ini terbuka kepada warga Malaysia. Temanya mengenai Sejarah Melaka. Butiran lanjut akan diumumkan oleh IPM (jangan marah AR beritahu dahulu kerana AR teruja juga tapi malang sebab mungkin AR tak boleh sertai pertandingan ini kerana AR AJK IPM). Jadi kepada penulis di luar sana buatlah persediaan awal. Bengkel Penulisan Skrip Drama Radio & TV serta Teater anjuran IPM dengan kerjasama DBP juga akan menyusul pada 23 Jun 2012 ini bertempat di Melaka. Bengkel ini akan dijalankan oleh pengarah filem terkenal dari ibu kota. Penyertaan adalah terhad kepada 30 orang sahaja. Bayaran RM50 untuk awam dan RM30 untuk pelajar. Fokusnya kepada adaptasi novel ke layar perak. Rugi jikalau tidak sertai bengkel ini. Jadi daftarlah awal-awal. Program 'Bicara Buku' juga akan dijalankan tapi tarikhnya belum dapat dipastikan. Jikalau tak silap salah sebuah buku yang terpilih ialah buku AR bertajuk 'Kasih Seharum Manisah' akan dibualbicarakan dalam majlis itu. Mesyuarat Agung Dwitahunan IPM akan diadakan pada 17 Jun di Hotel Strait Meridian. Mungkin akan ada pemilihan pucuk kepimpinan IPM pada tahun ini namun tidaklah sehangat persatuan penulis lain. AR mengharapkan agar lebih ramai penulis atau pencinta persuratan dapat mendaftarkan diri sebagai ahli IPM. Ada orang beranggapan dia tidak tahu menulis cerita sebab itulah dia tidak mahu sertai persatuan penulis seperti IPM. Itu tanggapan yang salah. Asalkan ada minat dan ada perasaan sayang kepada bahan bacaan berbahasa Melayu maka anda dialu-alukan untuk mendaftarkan diri sebagai ahli IPM. Saranan ini AR tujukan khusus untuk golongan muda. Sekiranya anda berminat sila emelkan nama, alamat, no k.p dan no telefon kepada razak_adam07@yahoo.com

No comments: