Pada 1JULAI 2012, AR telah mengadakan program bersama anak-anak yatim di Taman Krubong, Melaka. Bukanlah tujuan AR untuk menunjuk-nunjuk tetapi dengan harapan ikhlas agar lebih ramai lagi membuat program bersama anak-anak yatim ini. Ingatlah rezeki yang kita peroleh sebenarnya untuk dikongsi bahagiannya untuk mereka yang benar-benar memerlukannya di luar sana. Program berlangsung selama lebih kurang 2 jam. Mulanya AR berkongsi pengalaman mengenai dunia penulisan sebab AR percaya mungkin ada bintang yang tersembunyi dalam kalangan anak-anak yatim ini. Kebiasaannya mereka yang berjaya dalam bidang penulisan ialah mereka yang pernah menghadapi saat kesusahan dalam hidup. Kesusahan inilah yang bakal mencetus suatu tenaga dalaman bagi memandu diri untuk menulis, itupun sekiranya mereka tahu bagaimana untuk menulis dan bagaimana untuk memastikan hasil yang ditulis itu sampai kepada pembaca. Biarpun anak-anak yatim ini masih di bangku sekolah rendah namun siapa tahu jikalau Allah SWT hendak membuka hati seseorang, 'kun fayakun', dengan takdirnya terbit rasa ingin menulis dalam diri anak-anak ini sehingga berjaya menjadi penulis tersohor suatu hari nanti, insyaAllah. AR beritahu anak-anak itu iaitu salah satu cara untuk berjinak-jinak dengan bidang penulisan sewaktu kecil ialah kena mulakan dengan penulisan diari hidup dan pastikan terbit rasa seronok dengan setiap pekerjaan yang kita ingin lakukan. Inilah mungkin panduan untuk si cilik bergiat dalam bidang penulisan. AR perhatikan dalam masyarakat kita memang ramai yang boleh bercakap panjang tetapi bila tiba saat menulis hmm... susah. Jadi kena biasakan menulis sewaktu kecil dan penulisan diari hidup mungkin sebagai langkah pertama.
Dalam majlis itu AR juga memberikan dua set buku AR iaitu satu untuk rumah anak-anak lelaki dan satu lagi untuk rumah anak-anak perempuan. Semoga mereka dapat membaca buku-buku AR itu dan tercetus pula cita-cita untuk menceburkan diri dalam bidang bisnes. Ini kerana empat buah buku AR bersama PTS berkisar mengenai usahawan cilik iaitu novel Taman Botani Harapan, Homestay Bayu, Kerepek AF dan Jutawan 3R.
AR telah dihiburkan dengan persembahan nasyid yang menyentuh perasaan. Sebuah lagu oleh anak-anak lelaki dan satu lagi daripada anak-anak perempuan. Terima kasih AR ucapkan dan ingatlah tiap-tiap kesusahan itu pasti akan disertai dengan kesenangan.
No comments:
Post a Comment