17 December 2011

Kajian Sarjana Terhadap Novel Kasih Seharum Manisah


AR telah menerima satu email daripada seorang pelajar Universiti Sains Malaysia. Pelajar universiti ini ingin membuat kajian ilmiah terhadap Novel Kasih Seharum Manisah. Alhamdulillah dan ini amat dialu-alukan oleh AR sebagai seorang penulis. Semoga lebih ramai lagi penyelidik membuat kajian ilmiah seperti ini....kecil tapak tangan nyiru AR tadahkan.
Inilah email yang telah dikirimkan itu.

Assalamualaikum...

Saya XXXXXXXXXXXX merupakan pelajar tahun akhir PJJ Usm Pulau Pinang. Tujuan saya mengirim email ini adalah untuk mengetahui tentang latar belakang En. A. razak sama ada dari segi latar belakang pendidikan sertamaklumat peribadi secara lebih terperinci kerana saya telah memilih Novel Kasih Seharum Manisah sebagai bahan untuk tesis di tahun akhir. Untuk itu saya amat berbesar hati jika En. razak dapat memberikan kerjasama dan membantu saya dalam merealisasikan kajian yang telah saya jalankan .Jika En. A.razak sudi menolong saya sila jawab ya nanti saya akan hubungi lagi. Sekian .Terima kasih.

04 December 2011

Menanti giliran untuk mengucup Hajar Aswad




Inilah pengalaman yang tidak boleh dilupakan iaitu saat ingin mengucup batu Hajar Aswad(batu dari syurga)di Kaabah. Gambar ini dirakam oleh AR sendiri menggunakan telefon bimbit sebab itulah agak pelik gambarnya. Kopiah....hilang sewaktu berebut hendak mengucup batu itu. Alhamdulillah, hajat dimakbulkanNya. Sebenarnya ini kali kedua AR dapat mengucup batu Hajar Aswad. Pertama ketika membuat ibadat umrah pada 2008 dan kedua sewaktu melaksanakan ibadat haji ini. Orang kata musim haji sukar untuk mengucup batu ini tapi AR dapati ada cara untuk kita mengucupnya. Bukankah Allah SWT suruh kita sabar, sabar dan sabar. Sembahyang hajat, minum air zam-zam sambil berdoa semoga diberikan kekuatan dan kesenangan untuk mengucup Hajar Aswad dan terus menuju ke Kaabah. Ikutlah laluan orang yang sedang beratur di sisi atas (1 kaki) dinding Kaabah itu insyaAllah akan berjaya.

Hari Terakhir di Jeddah




Hari terakhir AR berada di Jeddah, AR berpeluang berkunjung ke masjid terapung di Laut Merah. Pasangan di dalam gambar ini merupakan rakan AR sewaktu di Jeddah.

09 October 2011

Ibadat Haji

InsyaAllah AR akan menunaikan ibadat haji pada tahun ini. AR akan bertolak menggunakan KT36 pada 10.10.2011 hingga 24.11.2011. Pada kesempatan ini AR ingin memohon ampun dan maaf sekiranya ada melakukan sebarang kesalahan dan doakan semoga AR dan isteri memperoleh haji mabrur.

01 October 2011

Bicara Karya

Hari ini AR mengikuti acara bedah karya di Dewan Tun Fatimah, IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka. Dewan penuh sesak dengan peserta yang ingin mendengar atau mendapatkan pengalaman bagaimana acara bedah karya itu dijalankan. Terdapat dua golongan peserta iaitu orang muda yang terdiri daripada penuntut IPG dan orang lama yang terdiri daripada ahli-ahli persatuan penulis iaitu IPM dan PENAMA yang agak ramai juga menghadirkan diri. Sekalung tahniah atas usaha penganjur majlis ini.
Karya pertama yang terpilih ialah Antologi Puisi Iga yang ditulis oleh Zaen Kasturi pada 2005. Karya ini telah dibicarakan oleh Pensyarah UPM iaitu Shamsuddin Othman.(maaf sebab sebelum ini berlaku kesilapan ejaan, terima kasih kepada pembaca blog yang peka dan sudi memaklumkan kepada AR)
Karya kedua yang terpilih ialah Antologi Cerpen Masitah yang ditulis oleh Mawar Shafie. Karya ini telah dibicarakan oleh bekas peguam merangkap penulis iaitu Puan Nisah Haron.
Karya ketiga ialah Novel Wajah Rahsia yang ditulis oleh Puan Hanita Hassan. Karya beliau telah dibicarakan oleh pensyarah IPG Melaka iaitu Mohamad Musip.
Secara keseluruhannya AR agak berpuas hati dengan cara bicara karya itu berjalan tambahan pula mendapat sentuhan pengerusi majlis yang berpengalaman iaitu Tn Hj Mohd Zazmi Mohd Zin iaitu Ketua Bahagian Rancangan Radio Malaysia Melaka FM. Semoga acara ilmu ini lebih kerap diadakan di Melaka.

27 September 2011

Sajak AR terbit dalam Dewan Sastera Sept 2011

Alhamdulillah sajak hasil penulisan AR bertajuk 'JENDELA' telah diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera keluaran September 2011. AR sungguh gembira dan hati begitu teruja kerana sajak ini berjaya memaut hati editor DS. Bukan senang untuk sesuatu hasil sastera itu menembusi majalah DS yang AR anggap sungguh luar biasa. Mungkinkah ini langkah pertama? Jikalau pembaca budiman sekalian ingin menikmati sajak ini maka jangan lupa dapatkan majalah Dewan Sastera September 2011. Selamat membaca.

30 August 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Pada kesempatan ini AR ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI MAAF ZAHIR BATIN. AR ingin memohon maaf sekali lagi kerana agak lama menyepi. Biasanya AR update blog 2 minggu sekali tapi ini sudah berlanjutan sebulan. AR sebenarnya kena menyiapkan manuskrip novel untuk dihantar kepada pihak MASTERA dan penerbit. Apabila kena siapkan mengikut tarikh akhir maka AR kenalah bertungkus lumus untuk menyiapkannya. Alhamdulillah manuskrip itu telah pun siap tetapi malangnya pihak penerbitan tidak bersetuju untuk menerbitkannya. Kenapa ye? Inilah pengajarannya iaitu apabila kita menulis sesebuah cerita maka kita harus menghantar manuskrip itu kepada penerbit yang sesuai. Oleh kerana cerita AR bertemakan sosiobudaya maka kenalah cari penerbit yang boleh menerbitkan novel yang sebegitu rupa. Kesimpulannya AR akan mencari penerbit lain untuk menerbitkan manuskrip novel ini.