30 April 2010

Alhamdulillah, Novel Kerepek AF Dilesenkan Ke Indonesia.



Seri Kecil-Kecil Jadi Pengusaha Sukses: Keripik Krisspi
Penulis : A. Razak Adam
Penerbit : Gramedia Pustaka Utama
Harga : Rp 33.000,- *
Ukuran : 12.5 x 19 cm
Tebal : 164 halaman
Terbit : April 2010
Soft Cover


Sahar adalah anak transmigran. Karena hidup sederhana, beberapa teman sekelas sering mengejeknya. Hal itu tidak membuat Sahar kecil hati. Dia malah bersemangat membantu orangtuanya mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

Pada suatu hari, Allah memberikan jalan. Sebagai pengurus toko koperasi, Sahar dikirim mewakili SMP-nya mengikuti kursus. Dari sana dia mendapat ide mengolah singkong hasil kebunnya menjadi keripik agar harga jualnya lebih tinggi.

Bagaimana kisah Sahar selanjutnya? Berhasilkah dia membantu keluarganya keluar dari kesulitan?

ISBN : 978-979-22-4982-8; 20401100061

Terima kasih atas kerja keras Cik Ann, para editor dan staff PTS yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam usaha melesenkan novel ini ke Indonesia.Terima kasih tidak terhingga buat pembaca budiman yang memberikan sokongan terhadap novel-novel hasil tulisan AR. AR anggap ini sebagai suatu pengiktirafan kepada penulis.

27 April 2010

Sepetang AR Bersama Pelajar SMK Long Ghafar, Kota Bharu





Bertempat di Hutan Rekreasi Ayer Keroh, Melaka telah diadakan Program Sepetang AR Bersama Pelajar SMK LOng Ghafar, Kota Bharu. Ketibaan mereka disambut dengan hujan rahmat yang turun mencurah-curah. Mujur juga peserta sudah berada di bawah dewan sewaktu hujan turun. Para peserta terpaksa berkongsi dengan pengunjung hutan rekreasi yang lain yang terpaksa menumpang berteduh. Mereka turut sama mendengar sesi penerangan yang dibuat oleh AR. Seramai 84 orang pelajar SMK Long Ghafar serta 7 guru pengiring terlibat dalam program ini. Program ini telah dapat berlangsung dengan jayanya. AR telah memberikan penerangan mengenai proses penulisan novel, novel-novel yang dihasilkan serta perkembangan terkini diri AR dalam bidang penulisan. Turut diadakan ialah sesi 'screan test' untuk dialog Novel Homestay Bayu. Program ini telah dapat berlangsung selama sejam bermula 4.00-5.00 petang. Semoga sesi ini dapat mengeratkan hubungan AR dengan peminat/pembaca. Terima kasih buat Cikgu Rafi, Cikgu Rafaie, Cikgu Fauzi, Cikgu Normah dan beberapa orang guru pengiring serta tidak lupa kepada pelajar yang terlibat kerana menjayakan program ini.

25 April 2010

PENAMA

Hari ini AR menghadiri Mesyuarat Agung Ke-26 PENAMA (Persatuan Penulis Melaka).

Tarikh : 25 hb April 2010
Masa : 9.00 pagi
Tempat : Taman Budaya Negeri Melaka.

Senarai Nama AJK PENAMA Sesi 2009-2010

Ketua 1 : YB Datuk Wira Hj Othman B Muhamad
Ketua 2 : Yn Hj. Mohd Raus B Hj. Md Sam

Setiausaha 1 : En Ahmad Zauawi B Hj Che Cob
Setiausaha 2 : En Hasan B Mohd Nor

Bendahari : En Mohd Nasir B Mahmud

AJK : Datin Halimah Binti Baba
Ab.Rahim B Ab Rauf
En Mohd Arshad B Ami
En Ibrahim B Idris
En Zainal Abidin B Hamzah
En Mohamed Noor B Idris
Tn.Hj. Mat Yusuf B Mat Yatim

Dilantik : En Mohd Isa B Maarof
Pn Masdura Bt Selamat
En Razali B Mohd

Pemeriksa Kira-kira : En Salleh B Ahmad
Tn Hj Safian B Mohd Shah.

*Salah satu yang dibincangkan di dalam mesyuarat ini ialah Pelancaran Novel Jutawan 3R pada bulan Jun nanti. Tunggulah perkembangannya nanti.

23 April 2010

Sambutan Hari Buku Dan Hak Cipta Sedunia





Tanggal 23 April seluruh dunia mengadakan sambutan Hari Buku Dan Hak Cipta Sedunia. Perpustakaan Negara Malaysia telah merancang aktiviti pada 23 April di Perpustakaan Negara Malaysia. Hari buku ini dipilih pada 23 April bersempena dengan kematian penulis agung berbangsa Spanyol iaitu Miguel de Cervantes yang meninggal pada tahun 1923. Pada tahun kematian penulis agung ini juga berlakunya kematian penulis-penulis tersohor yang lain seperti William Shakespeare, Inca de Garsilaso la Vega serta Jesep Pla. Pada tahun itu juga lahir Maurice Druon, Vladimir Nabokov, Manuel Mejia Vallejo dan Halldor Laxness (petikan dari Peace Generation).
Ada juga pertanyaan kenapakah kita yang beragama Islam tidak membuat sambutan tersendiri untuk sambutan hari buku ini? Ada juga saranan agar Hari Buku Sedunia disambut bersempena dengan kelahiran surah pertama iaitu Surah Al-‘Alaq. Surah pertama iaitu Surah Al-‘Alaq diterima oleh Nabi Muhammad S.A.W ketika baginda sedang bersendirian di Gua Hira. Terjemahannya.

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya………(Surah Al-‘Alaq).

Pada pendapat AR, persoalan tarikh itu bukanlah apa sangat. Kemunduran umat Islam sendiri harus dijadikan fokus. Budaya membaca ini merupakan budaya Islam. Allah S.W.T sendiri menurunkan surah pertamanya yang menyeru Umat Islam membaca (Nabi Muhammad S.A.W sebagai contoh). Membaca itu Islam dan Islam itu membaca harus dijadikan satu slogan. Slogan itu bukan hanya menjadi slogan tetapi harus direalisasikan. Merealisasikan slogan itu menjadi tugas dan tanggungjawab semua umat Islam. Baik guru, ibu bapa, penghulu, doktor dan sesiapa jua yang beragama Islam menjadi kewajipan kepada mereka untuk melaksanakan. Usah sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’ sahaja. Anggap sahaja sebagai suatu kewajipan sebagaimana kita diwajibkan untuk mempertahankan kesucian agama Islam itu sendiri. Setiap umat Islam wajib menyuruh orang bawahannya membaca. Ini kerana kita tahu iaitu teras untuk kemajuan ialah membaca buku. Buku itu sebagai sumber ilmu. Biarpun pada masa sekarang maklumat disimpan di dalam komputer tetapi hakikatnya buku itu harus juga menjadi keutamaan. Kaedah menggalakkan pelajar membaca buku juga harus diberikan nafas baru. Kaedah itu harus menarik sehingga mampu bersaing dengan keseronokkan melepak, bermain permainan komputer, berchatting, berfacebook dan bermacam-macam lagi yang melalaikan. Apakah buku terbaru yang anda baca hari ini?

*Gambar menunjukkan Gua Hira dan kereta angkasa di Studio Disney, Perancis(Gambar koleksi peribadi....harap tidak diupload tanpa kebenaran)

22 April 2010

Mencipta Wang Dan Kesejahteraan Hidup Melalui Jutawan 3R



Apa itu sampah? Sampah didefinisikan sebagai “1. benda-benda yang dibuang, kotoran (daun-daun kering, kertas-kertas kotor, dll). 2. sesuatu (benda atau orang) yang tidak berharga atau berguna” Kamus DBP Edisi Keempat 2005 m/s 1380. Pokoknya sampah itu benda yang hina sebab sampah merupakan benda yang dibuang dan bersifat kotor. Apakah maksud sampah itu sesuatu yang tidak berharga atau tidak berguna lagi? Ia bermaksud benda yang tiada nilai. Benarkah begitu?
Mungkin tafsiran bahawa sampah itu benda yang tidak berharga atau berguna lagi harus diubah mengikut arus perubahan semasa. Sebagai contoh perut ikan (setelah ikan disiang), kulit udang dan sisa makanan itu dahulu dibuang kerana boleh mendatangkan bau busuk. Tahukah kita bahawa perut ikan, kulit udang dan sisa makanan boleh dibuat baja tanaman? Ini secara tidak langsung menjimatkan perbelanjaan kita. Itu bermakna duit kita akan semakin banyak.
Bersempena dengan kelahiran Novel Jutawan 3-R ini maka AR ingin jadikan blog ini sebagai suatu forum untuk kita berkongsi maklumat. AR ingin berkongsi apa sahaja maklumat yang diketahui oleh pembaca mengenai sampah. Kita boleh bertukar-tukar pendapat mengenai jenis-jenis sampah, kegunaan semula sampah, proses kitar semula, gambar-gambar sampah, salah laku orang awam terhadap sampah serta apa sahaja mengenai sampah. Pembaca juga boleh meluahkan pendapat mengenai isu-isu yang berkaitan dengan sampah, tenaga atau menukar sampah menjadi duit. Apakah matlamat ruangan ini? Ruangan ini bermatlamat
a. menjadikan bumi kita selamat untuk diduduki,
b. kita boleh hidup dengan aman dan tenteram,
c. memanjangkan jangka hayat bumi,
d. memperoleh sumber pendapatan daripada aktiviti kitar semula,
e. memperoleh pendapatan melalui aktiviti guna semula dan
f. mendapat pendapatan melalui aktiviti penjimatan penggunaan barangan.

Antara pengisian ruangan ini ialah melalui sesi soal jawab, menulis esei, menulis pantun, syair, cerpen atau bertukar-tukar pendapat mengenai aktiviti yang dijalankan.
Jikalau para pembaca ada pendapat atau buah fikiran maka pembaca budiman bolehlah memberikan pendapat itu melalui blog ini. Segala sumbangan anda amat dihargai demi memastikan kesejahteraan bumi kita yang kita cintai.

17 April 2010

Menulis Berdasarkan Pengalaman Kemalangan Maut



Ingatan masih segar lagi tatkala mengimbau kemalangan ini. Pemandunya hidup atau mati? Kemalangan ini berlaku sekelip mata dan AR merupakan orang pertama yang tiba di tempat kejadian. AR berhentikan kereta di tepi jalan. Asap keluar dari bahagian hadapan kereta. Mujur pemandu dia dapat keluar dari cermin yang dipecahkan di pintu sebelah. AR menjerit agar pemandunya segera keluar kerana AR takut kereta itu akan meletup. AR papah pemandu itu ke seberang jalan dan segera menghubungi polis. Ini kisah benar yang berlaku pada jam 4.45 petang Khamis 15 April 2010 di selekoh tajam selepas IKBN MT. AR ketika itu dalam perjalanan untuk mengambil anak di MT.
Apa yang ingin dinyatakan oleh AR ialah ini merupakan pengalaman berharga dan gambar ini juga amat bernilai buat penulis seperti AR. Pengalaman yang sebenar amat bernilai untuk penulis kerana penulis akan dapat menceritakan kejadian itu secara terperinci. Keadaan kaki kita yang menggigil, degup jantung yang kencang dan cara mengeluarkan mangsa akan membolehkan pengalaman ini diterapkan dalam cerita kita (di mana yang sesuai). Gambar pula amat penting agar kita dengan mudah dapat recall maklumat yang tersimpan di dalam otak. Gambar dapat menceritakan segala-galanya berbanding dengan catatan kita (walaupun kedua-duanya dianggap penting sebab ada benda yang tidak terakam di dalam gambar). Oleh yang demikian sebagai penulis maka kita harus bersedia dengan peralatan. Jikalau dahulu kita harus bersedia dengan kamera besar untuk menangkap gambar kini dengan adanya Nokia E71 maka segalanya telah siap sedia. Tangkaplah apa jua gambar kerana gambar ini boleh disimpan di dalam gmail kita. Tiba masa untuk menulis nanti maka tataplah gambar itu dan proses menulis kita akan menjadi pantas dan menyenangkan. Selamat mencuba.

15 April 2010

Malam Gema Puisi




Perjalanan jauh untuk menyaksikan dainosour yang hampir pupus agak berbaloi juga. Tiba di Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka jam 8.45 malam. Perjalanannnya mengambil masa 1 jam untuk jarak 40 km.Hati teruja melihat dewan penuh dengan penonton dan hampir sahaja terpaksa berdiri di luar dewan. Mujur ada kenalan yang berusaha mencarikan kerusi kosong. AR dapat kerusi di bahagian hadapan, alhamdulillah. Usai deklamasi sajak daripada Pengarah DBP Wilayah Selatan maka AR sudah boleh buat kesimpulan. Pasti ada yang tidak kena kerana microphone buat hal. Diikuti oleh persembahan Prof Rahman Shaari dari UM siap dengan lakonan bersahaja Hang Jebat dengan Hang Kasturi. Disusuli pula persembahan dondang sayang oleh Tuan Haji Yassin. Suaranya sungguh merdu tapi sayang sebab hadirin bukan hendak dengar contoh tetapi sebuah persembahan dondang sayang yang sebenar. Alangkah bagus sekiranya sebuah persembahan lengkap dondang sayang dapat ditunjukkan. Hadirin kemudiannya dipersembahkan dengan persembahan burdah oleh Tuan Haji Muhammad Salehuddin Aman. AR sendiri berasa terpegun mendengar burdah dinyanyikan dan terus terang AR katakan iaitu AR boleh beri A+ kepada Tuan Haji Muhammad Salehuddin Aman. Persembahan oleh Kumpulan Kebudayaan IPPM menarik tetapi dek terlalu lama (lebih 25 minit) maka persembahan itu jadi hambar ditambah pula oleh mutu audio yang mengecewakan. Saudara Roslan Madun tampil dengan bongai (lagu rakyat dari Negeri Sembilan) dan ini amat memukau hadirin. Hadiri sungguh seronok dan ikut serta dengan Roslan Madun menyanyikan bongai yang dinyanyikan. Saudara Aripin Yuzir mendendangkan nazam dan diikuti Munsyi Mohammad Musip yang mantap mebawakan syair. Pujian juga harus diberikan kepada Saudara Rani Embi yang membawakan rejang. Mungkin kita pertama kali mendengar perkataan rejang ini. AR sempat menemubual dengan saudara Rani dan beliau menyatakan rejang ini diperoleh hasil kajian beliau (terpaksa masuk kampung dan berjumpa dengan orang-orang tua) di Jasin, Melaka. Diikuti pula persembahan gurindam oleh Rohaya Abu. AR rasa bertuah dapat hadir pada malam itu dan sekalung pujian harus diberikan kepada pihak IPPM KPM dan DBP Wilayah Selatan kerana cuba mengetengahkan kembali Puisi Melayu Tradisional. Usah kita biarkan Puisi Melayu Tradisional kita pupus sebagaimana pupusnya dainesour!

04 April 2010

Black Widdow - Dargestan




Kak Engku menangis sewaktu mengacarakan majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009. Kak Engku teringatkan Ustaz Asri daripada Kumpulan Rabbani yang telah kembali ke Rahmatullah. Jikalau diikutkan apalah sangat hubungan Kak Engku dengan Arwah Ustaz Asri selain daripada sahabat di bidang yang sama. Apa yang AR ingin ceritakan ialah kisah yang berlaku di Russia. Letupan bom dalam stesyen keretapi bawah tanah yang membunuh berbelas orang serta letupan bom yang lain telah dilakukan oleh kumpulan 'Black Widdow'. Biasanya ungkapan yang kedengaran ialah 'usah campur dalam urusan orang lain'. Ungkapan itu digunakan sebagai tembok penghalang untuk campurtangan asing. Soalannya di manakah suara pejuang kebebasan barat dalam menyelesaikan isu pejuang Islam di banjaran Caucassus? Kita memang tidak menyokong keganasan dan pembunuhan terhadap orang awam tetapi kita harus lihat apakah punca permasalahan ini. 'Black Widdow' merupakan kumpulan wanita yang tertekan akibat kematian suami, ayah, anak dan saudara mara mereka yang mati dibunuh dengan kejam oleh tentera Russia. Kaum wanita pula diperkosa. Dunia seolah-olah melupakan kewujudan kisah-kisah ini. Barat seolah-olah bersuara dalam keadaan terpilih sahaja. Apa yang menguntungkan barat akan digembar gemburkan serta ditokok tambah manakala apa yang bakal menguntungkan dunia Islam akan dibakulsampahkan. Di manakah suara-suara Islam dalam mendepani isu ini? Kita hanya ditayangkan dengan kekejaman yang dilakukan oleh pejuang Chechen tetapi kita kurang didedahkan dengan kekejaman yang dilakukan oleh tentera Russia terhadap pejuang dan orang awam Chechen. Kekejaman dan layanan buruk Russia terhadap orang-orang Chechnya inilah yang menumbuhkan pemberontakan di sana. Gambar yang ditayangkan di atas diambil sewaktu perjalanan AR dari KL ke London. Gambar menunjukkan banjaran Caucassus. Bayangkan bagaimanakah kesengsaraan yang dihadapi oleh orang-orang Chechnya untuk mempertahankan negaranya dalam keadaan cuaca sejuk serta bentuk muka bumi yang bergunung ganang. Semoga kisah di Dargestan dan Chechnya ini memberikan pengajaran berguna buat kita semua.

02 April 2010

Malam Puisi Riong Di UTEM Melaka.



Kepada peminat seni jangan lupa untuk saksikan acara ini. Bukan selalu acara sebegini diadakan di Melaka.Ayuh kita gegar Dewan Besar UTeM.