31 January 2013

Kelebihan Apabila Menyertai Pertandingan Menulis.

Alhamdulillah akhirnya dapat juga AR menyiapkan manuskrip novel, sebuah antologi cerpen (mengandungi 10 buah cerpen) dan sebuah antologi puisi (mengandungi 33 buah puisi). Kesemua manuskrip ini AR hantar untuk pertandingan menulis yang dianjurkan oleh sebuah institusi. Tarikh tutup pertandingan itu jatuh pada hari ini. AR bersyukur sangat sebab dapat menyiapkan ketiga-tiga genre tersebut. AR tidak malu untuk berkongsi pengalaman dengan khalayak pembaca blog kerana inilah juga tujuan kewujudan blog ini. Bagi AR kalah menang itu soal kedua namun usahanya perlu ada pada diri mereka yang ingin menjadi penulis.
Apakah kelebihan mereka yang mengikuti sesuatu pertandingan menulis?
Kelebihannya ialah mereka dapat mengetahui akan kemampuan diri dalam bidang tersebut. Ini bukan bermaksud mereka yang kalah harus mengundur diri tetapi mereka yang kalah harus berusaha bermuhasabah diri memperbaiki hasil penulisan mereka. Banyak faktor yang menyumbang kepada kegagalan kita dan cuba renung sejenak apakah sebab kita kalah dan kita cuba perbaiki kelemahan tersebut.
Selain itu apabila menyertai pertandingan dan menang pula maka itu dikira sebagai merit untuk mempromosi diri bagi memastikan hasil penulisan kita dapat diterbitkan. Ramai penulis yang merungut kerana manuskrip yang dihantar 'liat' sangat untuk diterbitkan. Nah, apabila kita menang manuskrip yang menang itu mempunyai potensi besar untuk diterbitkan oleh pihak penganjur. Paling tidak pun kita boleh masukkan dalam resume dan menguatkan biodata diri kita untuk mendapat kepercayaan yang lebih daripada penerbit.
Masuk pertandingan menulis juga akan mengajar kita untuk mendisiplinkan diri. Ramai penulis yang tahu menulis tetapi tidak mendisiplinkan diri untuk mengikut keperluan pihak penganjur. Apabila kita mengikuti sesuatu pertandingan maka kita tertakluk kepada apakah kehendak pihak penganjur untuk menang. Cara ini mengajar kita untuk menepati masa, mengikut keperluan penganjur dan bersedia untuk bekerjasama.
Melalui pertandingan menulis juga akan mengajar kita untuk matang dalam bidang penulisan. Sebenarnya ilmu itu amat luas ibarat setitis air di lautan tak bertepi jadi bersedialah untuk menimba ilmu tersebut.

2 comments:

precious cla said...

saya suka menulis namun tulisanku belum berkualiti lagi..mohon tunjuk ajar.. :) salam kenal

A. Razak Adam said...

Leods. Kualiti penulisan itu akan hadir hasil daripada penulisan yang berterusan(aktif),kehendak diri untuk berubah, kerajinan membaca bahan berkualiti, dan sentiasa berfikir positif tentang penulisan kita itu yang bertujuan untuk kebaikan khalayak pembaca.