Punyalah penat....punyalah banyak masa yang terbuang akhirnya manuskrip itu dipulangkan semula oleh editor! Mungkin ini pasti akan menimbulkan kemarahan pada semua penulis. Hal yang sama juga berlaku kepada AR. Manuskrip novel CBDM yang telah ditulis hampir 4 bulan telah dipulangkan semula. Mana hendak letak muka! Tapi kita kena fikir positif.
Memanglah ibarat membuat rumah, buat rumah baru lebih senang berbanding hendak mengubahsuai rumah lama. Hal yang sama berlaku kepada novel CBDM. Apabila AR cuba membuat refleksi tentang apa yang telah dilakukan oleh AR maka AR dapat mengenalpasti kenapa hal ini terjadi,
a) AR menulis dalam keadaan tergesa-gesa.
b) masa AR telah banyak habis untuk mengambil dan menghantar anak yang akan menduduki UPSR pada tahun ini (keluar rumah jam 6.40, ambil anak jam 6.15, hantar anak jam 7.40 malam dan ambil anak jam 10.00 malam) ini menjadi rutin hampir setiap hari.
c) AR terus menulis tanpa sempat menghubungkan imej di dalam minda. Kebiasaannya AR ambil masa untuk termenung sambil memikirkan hubungan antara watak dan peristiwa yang akan ditulis nanti. Apabila tiada proses untuk termenung (kerana kesuntukan masa) maka ia ibarat penulisan tanpa berfikir maka ceritanya seperti bangunan yang dibuat tanpa pelan.
d) AR juga banyak membaca novel lain sewaktu proses penulisan berjalan dan ini secara tidak langsung menyebabkan seolah-olah AR terpengaruh dengan cara penulisan pengarang novel tersebut.
Biarpun manuskrip ini perlu dirombak semula namun AR akan cuba untuk memperbaikinya semula. Banyak masa yang telah dihabiskan untuk menulis novel ini dan banyak mesej yang ingin dibawakan oleh AR melalui novel ini. Sekali kita melangkah usah kita cepat melatah dan usah cepat mengundur diri. Maju dan terus maju.
10 July 2010
02 July 2010
Ikatan Persuratan Melayu (IPM)

(Gambar kedua Majlis Anugerah Sasterawan Melaka diambil dari blog Tuan Hj Razali Endon)
IKATAN PERSURATAN MELAYU (IPM)
IPM telah ditubuhkan pada November 1950. IPM ditubuhkan selepas penubuhan ASAS 50. Dasar atau tujuan penubuhan IPM sebagaimana di dalam perlembagaan badan ini ialah,
a) menyatukan ahli-ahli persatuan dan ahli-ahli seni Melayu.
b) meninggikan taraf persuratan dan kebudayaan Melayu.
c) mempelajari penerbitan yang membawa kepada kemajuan aliran fikiran (melalui persuratan) yang berdasar peri kemanusiaan.
d) menjaga hak dan kepentingan ahli-ahli serta mencari jalan perundingan dengan badan-badan penerbitan.
e) mengadakan perpustakaan serta menggalakkan supaya gemar dengan pembacaan yang sihat dan membina.
f) berikhtiar mengadakan penerbitan.
g) mengadakan perhubungan dengan segala pertubuhan lain yang bercorak persuratan dan kesenian.
IPM telah mengadakan Mesyuarat Agung Ke-54 pada 20 Jun 2010.
Mesyuarat ini telah diadakan di Hotel Straits Meridian. Selain mesyuarat agung, jamuan makan untuk meraikan Tuan Haji Mokhtar Md.Yasin yang telah dianugerahkan Tokoh Sasterawan Negeri Melaka 2010 serta Tuan Haji Abdul Rani Embi yang mendapat pingat PJK daripada Kerajaan Negeri Melaka turut diadakan.
Pada pandangan peribadi AR, IPM mampu bertindak sebagai suatu badan pemikir dalam bidang persuratan Melayu. Biarpun keanggotaannya masih belum ramai tetapi AR dapati ahli-ahlinya mampu memberikan idea-idea bernas dan matang dalam memajukan bidang persuratan melayu tanah air.
Jawatankuasa Pengelola Ikatan Persuratan Melayu (IPM) bagi tahun 2010/2012 adalah seperti berikut;
Ketua Satu : Haji Mokhtar Md.Yasin
Ketua Dua : Haji Razali Endun
Setiausaha Satu : Haji Husin Embi
Setiausaha Dua : Haji Abdul Rani Embi
Bendahari : Haji Osman Md Derus
AJK :Encik Ramli Abu
Encik A Razak Adam
Encik Osman Dol
Encik Aladin Mohamad
Haji Safran Ismail
Encik Othman Hashim
Haji Arif Haji Mohamad
Pemeriksa Kira-Kira : Puan Siti Khairiah Haji Jaafar
Hajah Rusiah Haji Ismail
28 June 2010
25 June 2010
Jemputan Ke Majlis Pelancaran Novel AR


Pada 27.6.2010 jam 8.30 malam akan diadakan majlis pelancaran novel AR di Dataran Sungai Melaka. Majlis ini diadakan bersempena dengan Sambutan Pesta Sungai Melaka 2010. Majlis akan disempurnakan oleh Datuk Wira Othman Mohammad iaitu Speaker Kerajaan Negeri Melaka. Dua buah novel AR yang akan dilancarkan ialah 'Kasih Seharum Manisah' dan 'Jutawan 3R'. Antara pengisian program ini ialah persembahan program puisi "Suara Di Muara : Sungai Dan Pantai Di Hati Kita." Antara yang akan membacakan sajak ialah Dr. Hj Harun Kidam, Prof. Madya Dr. Samsudin Osman, Aladin Muhamad, Hj Borhan Md Zain, Md Nor Md Zam, kumpulan Nazam Durian Tunggal dan bacaan gurindam. Majlis ini diadakan dengan kerjasama PENAMA(Persatuan Penulis Melaka), DBP Wilayah Selatan, PERZIM, Jabatan Kebudayaan Melaka serta Perbadanan Pantai dan Sungai Melaka.
14 June 2010
Pameran Buku AR Di Menara Petronas



Kalau dahulu kita sering dengar cerita-cerita di awan biru. Benda yang berharga mesti berada di puncak gunung. Sebagai contohnya pokok herba yang boleh merawat raja cuma ada di atas puncak gunung itu sahaja. Dan sekarang ini apabila orang hendak membuat rumah maka mesti di kawasan tanah tinggi. Jikalau tidak dapat di puncak Gunung Ledang pun sekurang-kurangnya di atas kawasan bukit di Ampang, atau di Ulu Yam, Bukit Antarabangsa dan pelbagai tempat lagi. Apa yang pasti kawasan tanah tinggi merupakan kawasan idaman untuk sesuatu aktiviti. Apa yang ingin AR kongsikan bukanlah berkenaan dengan rumah di kawasan tanah tinggi. AR ingin kongsikan pengalaman AR sewaktu berjalan-jalan di Menara Berkembar Petronas. AR masuk ke sebuah kedai buku besar iaitu Kinokuniya di tingkat 4. Sedang AR membelek-belek buku di situ rupa-rupanya buku-buku hasil penulisan AR ada dijual di situ. Antara buku-bukuna ialah Kasih Seharum Manisah, Kerepek AF, Taman Botani Harapan, Jutawan 3R dan Homestay Bayu. AR cubalah ambil gambar buku-buku itu. "Maaf encik di sini tidak boleh ambil gambar," perlahan sahaja petugas berbangsa cina itu memberitahu. Nasib baiklah telefon bimbit AR tidak dirampas. Jadi jikalau tuan-tuan dan puan-puan atau adik-adik berjalan-jalan di Menara Berkembar Petronas itu bolehlah singgah melihat-lihat buku AR di Kedai Buku Kinokuniya.
10 June 2010
Kenapa Lelaki Lebih Parah Apabila Putus Cinta Berbanding Perempuan?
Lelaki diangggap sebagai manusia yang gagah dan kuat. Namun apabila berhadapan dengan persoalan cinta maka kesannya berbeza. Kenapakah lelaki lebih menderita apabila berhadapan dengan persoalan putus cinta berbandng dengan perempuan? Inilah persoalan yang terjadi dan dialami oleh watak utama dalam novel terbaru yang ditulis oleh AR. AR telah menghantar manuskrip ini dua minggu lepas. Tadi AR bertanyakan kepada editor perolehan, alhamdulillah manuskrip itu sekarang ini sedang berada di tangan editor luar untuk diedit. Jikalau tiada aral melintang mungkin sebelum akhir tahun ini maka akan berada di pasaran. AR sebenarnya risau juga dengan apa yang AR tuliskan. Risau sebab memikirkan bahawa manuskrip itu membawakan bendera novel cinta islami. Tidak dinafikan setiap orang bercinta namun untuk membawa obor cinta islami di dalam novel yang ditulis agak sukar dan sangat mencabar. Semoga maksud yang tersurat dan tersirat di dalam novel ini nanti dapat ditanggapi pembaca kelak, insyaAllah. Doakanlah semoga novel ini akan dapat berada di pasaran pada masa yang ditetapkan tanpa menghadapi banyak masalah.
Kembar Jamal Seekor Buaya

Pagi tadi AR bersarapan di tepi laut. Jam 8.00 pagi AR sudah sampai ke Pantai Pengkalan Balak. Hajat di hati ingin menikmati angin pagi sambil menenangkan fikiran. Sambil makan roti telur dan minum nescafe tarik, AR memandang ke arah laut. Dua hari lepas heboh di dalam surat khabar mengenai orang pantai yang melihat 3 ekor ikan lumba-lumba (tidak pernah sepanjang 30 tahun yang diketahui ada ikan lumba-lumba di situ). AR bertanya kepada Kak Pah (bukan nama sebenar) mengenai kesahihan cerita ini. Kak Pah kata itu bukan ikan lumba-lumba tetapi buaya tembaga, ada 2 ekor buaya tembaga di situ. Katanya buaya tembaga ini berasal dari Sungai Rambai. Pada tahun 1978, seekor buaya telah ditembak mati. Buaya itu merupakan kembar kepada pak cik Jamal. Buaya itu kulitnya licin bersih ketika ditemui(sebenarnya orang ramai telah menegah buaya ini daripada ditembak tetapi pihak berkenaan tidak mahu dengar). Doktor telah cuba menjalankan bedah siasat (walaupun telah ditegah warisnya) tetapi tetap dijalankan juga dan doktor itu mati. Selepas itu berlaku ribut badai yang kuat melanda kawasan itu. Sekarang ini pak cik Jamal sudah tua dan kembarnya sudah tiada lagi tetapi suku sakatnya masih ada lagi. Jikalau waris pak cik Jamal ingin berkahwin dan apabila mendapat alamat di dalam mimpi maka pasangan pengantin itu perlu bersanding di tepi laut kerana warisnya (buaya) di dalam laut ingin melihat waris keturunannya berkahwin. Itu ikut kata Kak Pah yang telah lama berniaga di tepi pantai Pengkalan Balak.
Sebenarnya orang-orang di kawasan Masjid Tanah pernah dengar cerita ini. Pada suatu ketika dahulu ada ibu yang melahirkan anak kembar iaitu seorang manusia dan satu lagi buaya. Benarkah cerita perihal manusia dan buaya kembar ini?
Subscribe to:
Posts (Atom)