09 October 2012

Proses Penciptaan Dan Mengenal Puisi

Terdapat beberapa proses sewaktu kita menghasilkan puisi. Sama ada kita sedar atau tidak kita sebenarnya mengikuti proses-proses ini. Proses tersebut ialah,

1. Proses konsentrasi.
Dalam proses ini segenap unsur puisi iaitu unsur musikalitas, korespondensi dan unsur bahasa dipusatkan kepada satu permasalahan atau kesan tertentu. Dalam proses intensifikasi, unsur-unsur puisi itu berusaha menjangkau segala masalah/permasalahan atau hal yang lebih mendalam atau mendasarinya. Kadang kala proses ini menyebabkan sesebuah puisi menjadi sebegitu pelik sehingga lebih sukar difahami jikalau dibandingkan dengan prosa.

2. Proses pengimejan (imagery).
Segala unsur puisi (musikalitas, korespondensi dan bahasa) berfungsi untuk mencipta atau membangunkan sesuatu imej atau citra tertentu. Bunyi dan rima, hubungan satu baris dengan baris yang lain atau satu bait dengan bait yang lain, dan pilihan kata serta idiom-idiomnya, kesemuanya berfungsi membangunkan imej atau gambaran tertentu yang terkesan oleh puisi itu. Imej inilah kemudian yang melahirkan makna utuh terhadap sesebuah puisi.

Proses penciptaan puisi juga akan terlihat melalui pemilihan perkataan, baris, dan bait yang diciptakan penyair. Prof. Mursal Esten menyatakan terdapat tiga proses dalam penciptaan puisi, proses itu adalah :
  1. Proses Konsentrasi
    Konsentrasi bermaksud pemusatan. Si penyair akan mengalami proses konsentrasi dalam menciptakan puisinya. Dalam proses konsentrasi, setiap komponen dalam puisi harus terpusat, tertumpu, dan terfokus kepada suatu permasalahan atau satu kesan sahaja. Proses konsentrasi dapat dilihat dalam pemilihan kata, penyusunan baris, dan pembentukan bait yang diperhatikan dengan cermat untuk mengungkapkan satu permasalahan atau satu kesan. Oleh karena itu, pemakaian kata dalam setiap puisi selalu cermat dan padat, tidak ada satu perkataan pun yang membazir. Tambahan pula, dengan sengaja penyair melakukan pelanggaran terhadap tatabahasa tertentu (lisentia poetica) untuk tujuan mengkonsentrasikan puisi yang dihasilkan pada satu permasalahan atau satu kesan.
  2. Proses Intensifikasi
    Proses intensifikasi adalah pengungkapan satu permasalahan secara mendalam, mendasar, dan substansial. Semua komponen yang ada dalam puisi saling menunjang dalam pengungkapan tersebut. Semua permasalahan diungkap secara intensif dan mendalam sebagai hasil daripada suatu perenungan.
  3. Proses Pengimejan
    Imej bererti  citra. Jadi, pengimejan disebut juga pencitraan yang bermaksud pembentukan gambaran tentang sesuatu di dalam fikiran penyair. sebuah puisi itu mencerminkan adanya proses pengimejan. Ertinya semua komponen puisi mulai dari rima, bunyi, baris, dan pilihan kata berfungsi untuk membangun suatu imej atau gambaran tertentu yang terbentuk dalam fikiran pembaca. Penyair membentuk imej dengan menggunakan kata konkrit dan abstrak,  idiom, serta gaya bahasa tertentu.
Kesannya

Sesuatu perkataan di dalam prosa lebih cenderung mengikuti makna denotatif (harfiah). Perkataan di dalam puisi pula lebih cenderung untuk meninggalkan makna denotatif tersebut membentuk makna yang bersifat konotatif. Perkataan 'putih' di dalam prosa akan berbeza maksudnya dengan 'putih' di dalam puisi.

Oleh kerana puisi berbeza dengan prosa, maka tentu terdapat perbezaan dalam proses pemahaman dan membaca masing-masing karya tersebut. Oleh kerana puisi dibina melalui proses intensifikasi maka seseorang yang ingin memahami puisi juga harus melakukan proses itu pula. Mereka harus berkemampuan  menemukan makna yang terdapat dalam setiap kata, frasa, baris, bait ataupun imej-imej yang terdapat dalam puisi itu. Seseorang pembaca puisi yang baik harus mampu menangkap makna yang terjauh dari sesuatu kata atau baris (berdasarkan makna konotatif yang mungkin dimiliki oleh kata atau baris tersebut).
Pemahaman terhadap puisi-puisi moden akan lebih pelik lagi. Ini kerana makna yang terkandung semakin tersembunyi. Sifat ambiguiti (mengandungi dwi atau kepelbagaian makna) menjadi semakin menonjol.

                              (Dipetik dan diubahsuai : Buku Memahami PUISI oleh Prof. Dr. Mursal Esten dan Blog Berbagi Ilmu)

08 October 2012

Selamat Menempuh Peperiksaan PMR 2012

Selamat menduduki peperiksaan PMR kepada calon-calon PMR 2012. AR ingin mendoakan kejayaan anda semua. Semoga kecemerlangan menjadi milik anda semua. AR cukup yakin jikalau anda seorang yang minat membaca tidak mustahil untuk anda berjaya dengan cemerlang. Banyak tokoh-tokoh yang luar biasa menyatakan kunci kejayaan mereka ialah membaca. Sekiranya anda suka membaca maka bukanlah sesuatu yang luar biasa jikalau anda berjaya dengan cemerlang. Selain itu banyak kunci lain untuk mengecap kejayaan cemerlang ini dan salah satu daripadanya ialah doa ibu bapa. Mintalah restu ibu bapa anda kerana itulah kunci kejayaan seseorang anak. Anda telah berusaha, anda telah berdoa dan yang selebihnya bertawakallah kepada Allah. Selamat menempuh alam peperiksaan PMR.

01 October 2012

Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Tahun 2012

Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai sayembara deklamasi puisi silalah ambil borang yang AR sediakan ini. Sayembara ini hanya terbuka bagi mereka yang berumur 15 tahun ke atas, anak tempatan Melaka, pemastautin, bekerja atau belajar di Melaka. Peserta yang terpilih akan mewakili  Melaka ke pertandingan peringkat kebangsaan yang dijadualkan diadakan pada 20 dan 21 Oktober 2012. Tarikh tutup penyertaan pada 5 hb Oktober 2012. Saringan akan diadakan pada 9 Oktober 2012 jam 9 pagi di Auditorium RTM, Jalan Taming Sari Melaka. Sayembara ini dianjurkan oleh GAPENA dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia. Selamat mencuba.

17 September 2012

Novel Sebagai Medium Dakwah.

        "Saya dah lama beli novel Kasih Seharum Manisah. Kalau tak salah dah setahun setengah saya beli tapi tak pernah baca. Cuma masa bulan Ramadhan lepas saya cuba belek-belek novel ni dan cuba baca. Seronok juga bila baca maklumlah dah lama tak baca novel. Rupanya dalam tu tulisannya ada kisah cara ibadat. Maknanya novel ni boleh jadi cara untuk seru orang ke jalan kebaikan. Tak perlu kita tulis dengan cara formal cuma cara bercerita pun boleh kita sampaikan dakwah ...." 
 Itulah lebih kurang pengakuan seorang rakan AR sewaktu menghadiri jamuan majlis rumah terbuka. Beliau seorang guru berlatar belakang pendidikan sains. Hmm AR tidak hairan iaitu ramai membeli novel atau buku tetapi tiada kesempatan membacanya (banyak sangat kekangan yang dicipta). Akhirnya bila dah baca baru tahu nikmatnya. Memanglah hasil tulisan juga boleh menjadi suatu medium untuk berdakwah. Biarpun Kasih Seharum Manisah dikategorikan sebagai novel cinta islami namun kandungannya dapat menyeru ke arah kebaikan dan menghindar dari kemungkaran, amar makruf nahi mungkar. Selamat membaca.

09 September 2012

Cara Menghantar Cerpen Ke Majalah Dewan Sastera

Kepada sesiapa yang berminat untuk menghantar hasil penulisan mereka ke Majalah Dewan Sastera silalah lihat lampiran yang AR sediakan ini. Pada lampiran ini tertera syarat-syarat yang diperlukan oleh editor Dewan Sastera. Sebelum bulan Ramadhan AR berkesempatan mendengar taklimat yang disampaikan oleh editor Dewan Sastera iaitu Tuan Fadli di Melaka. Beliau sendiri yang memberikan lampiran ini. Eloklah tuan-tuan atau puan-puan cetak dan buat salinan jikalau berhasrat mahu karya diterbitkan oleh Dewan Sastera. Penuhilah syarat-syarat yang ditetapkan. Kadang kala kita memang pandai dan kreatif menulis namun dek kerana mengambil sikap sambil lewa dalam memenuhi kehendak editor maka karya kita tidak disiarkan. AR harap lampiran ini berguna buat anda semua.

06 September 2012

Bengkel Penulisan Cerpen

Pada hari Sabtu (8 September 2012), AR diundang untuk menjadi penceramah bagi sebuah bengkel penulisan. AR diminta memberikan ceramah bagi bengkel penulisan cerpen. Bengkel ini akan diadakan di SMK Ghafar Baba, Melaka.  AR dimaklumkan 10 orang pelajar tingkatan dua dan 10 orang pelajar tingkatan empat akan terlibat dalam bengkel ini. Program tersebut akan diadakan pada ketetapan berikut;

Program     : Bengkel Penulisan Cerpen
Tarikh         : 8 hb September 2012
Masa          : 9.00 - 11.00 pagi
Tempat       : Pustaka Bahasa SMK Ghafar Baba.

AR rasa seronok untuk berkongsi pengalaman dengan adik-adik. AR tidaklah pandai untuk mengajar sekadar ingin berkongsi pengalaman apa salahnya. Mungkin ada antara peserta kursus ini nanti yang bakal menjadi penulis suatu hari nanti, InsyaAllah. Apa pun AR harap mereka yang ingin mengikuti kursus penulisan harus membuat bacaan dahulu mengenai genre yang diminati agar kehadiran kursus akan menjadi lebih bermakna.

KURSUS PENULISAN SKRIP FILEM DAN TEATER

Para penulis atau bakal penulis  dipelawa untuk mengikuti Kursus Penulisan Skrip Filem dan Teater anjuran Ikatan Persuratan Melayu (IPM) dengan kerjasama DBP Kuala Lumpur pada 15 September 2012 (Sabtu). Kursus tersebut akan dikendalikan oleh 2 orang pembimbing terkenal.
a) Ceramah asas Penulisan Skrip Filem
Penceramah : Puan Siti Jasminah Binti Ibrahim.
b) Ceramah asas Penulisan Skrip Teater
Penceramah : Che Shamsudin Bin Che Othman (Dinsman)

Kursus akan diadakan bermula 9.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Hang Tuah City Hotel, Melaka. Peserta yang bukan ahli IPM dikenakan bayaran sebanyak RM30.00. Maklumat lanjut boleh berhubung dengan Hj Husin Embi (0176709911).