21 April 2011

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011

Esok bermulalah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011. Pesta buku ini akan bermula pada 22.4.2011 hingga 1.5.2011. Diam tak diam pesta ini menyambut ulang tahunnya yang ke-30! AR akan mengunjungi pesta buku ini pada hari Rabu (27.4.2011) jam 2.00 hingga 6.00 petang. Kali ini AR akan pergi bersama 40 orang ahli PSS dengan menaiki bas.
Pesta buku ini merupakan tempat pertemuan langsung penjual/penerbit buku dengan pembeli. Di sini kebiasaannya penjual akan memberikan promosi diskaun buku yang besar. Pembeli pula akan membeli secara borong kerana harga buku yang ditawarkan pada pesta buku amat murah.
AR amat menggalakkan ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka berkunjung ke pesta buku ini kerana inilah cerminan diri kita. Kita seringkali menyuruh anak-anak kita membaca buku tetapi bagaimanalah rupa agaknya sekiranya kita sendiri tidak berminat kepada buku? AR percaya sekiranya ibu bapa membawa anak-anak ke pesta buku ini maka ia akan dapat menyuntik pengalaman indah dalam jiwa anak-anak kita tentang betapa bernilainya sesebuah buku itu.

16 April 2011

Majlis Diskusi Buku



Majlis diskusi buku telah diadakan di Bilik Seminar PERZIM, Banda Hilir, Melaka pada 16 April 2011. Majlis ini telah diadakan oleh PENAMA dengan kerjasama PERZIM. Dua buah novel karya Sastri Bakri telah didiskusikan iaitu novel Kekuatan Cinta serta novel Hatinya Tertinggal Di Gaza. Pembentang kertas kerja terdiri daripada Hj. Djazlam Zainal (Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Melaka) dan Dr.Hermayulis (ATMA, UKM). Pemudah cara ialah Encik Mohamad Hj. Musip (IPG Melaka)
AR pun masih belum dapat membaca novel ini dan tadi sempatlah AR beli dari penulisnya sendiri iaitu Sastri Bakri. Novel Hatinya Tertinggal Di Gaza setebal 200 muka surat dijualnya RM50! Rasanya AR memperoleh ilmu yang bermanfaat apabila menghadiri majlis diskusi ini. Antaranya ialah usaha keras yang perlu ada pada setiap penulis untuk berjaya selain kepentingan ilmu dalam menghasilkan sesuatu bahan penulisan biarpun novel.
Biarpun majlis agak hambar dengan kehadiran cuma beberapa kerat peserta namun AR fikir sekiranya program ini diaturkan dengan lebih baik lagi pada masa hadapan maka mungkin khalayak akan lebih ramai. Sebagai contoh majlis diskusi ini boleh dimasukkan ke dalam kalender program dan dengan cara ini perancangan yang lebih teliti akan dapat dibuat. Seeloknya elakkan program yang diadakan pada saat-saat akhir kerana ini akan memberikan kesan yang besar kepada peserta yang hadir. Program yang diadakan pada saat-saat akhir pastilah akan menyebabkan maklumat tidak dapat sampai kepada khalayak (strategi iklan tidak akan berkesan) dan ini akan menyebabkan peserta yang menghadirinya sedikit. Apabila peserta sedikit maka kesannya ialah masyarakat akan mengatakan program sastera tiada sambutan (dan dengan senangnya kita katakan jikalau artis pastilah jumlah penontonnya ramai). AR rasa sudah sampai masanya majlis-majlis ilmu ini dirancangkan dengan baik dan diwujudkan kalender program semoga nanti tidak menjadi seperti Bangau Oh Bangau lagi.

19 March 2011

Cerpen & Sajak Terbaru AR diantologikan




Alhamdulillah. Inilah dia pembuka tirai 2011. Cerpen dan sajak hasil tulisan AR telah dimuatkan dalam Antologi Ombak & Pantai. Antologi ini telah diselenggarakan oleh Ikatan Persuratan Melayu (IPM) bersempena dengan sambutan Jubli Intan 60 Tahun penubuhan IPM dan 40 Tahun Gapena. Antologi setebal 350 muka surat ini dijual dengan harga RM25. Jikalau tuan-tuan dan puan-puan berminat menulis cerpen atau sajak maka tidak rugi untuk memiliki antologi ini.Antologi ini akan dirasmikan secara gilang gemilang pada 7 Mei 2011 di Melaka dan akan dibualbicarakan dalam satu majlis diskusi ilmu.

Mencari Maklumat Bahan Penulisan di Kedutaan Besar Indonesia


Pada hari Khamis 17.3.2011, AR berkesempatan untuk ke Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur. AR ke sana dengan dua tujuan iaitu untuk menguruskan pasport amah yang sudah hampir tamat dan untuk mendapatkan maklumat mengenai bahan penulisan yang sedang AR usahakan. AR percaya ramai antara kita yang takut untuk berurusan terutama dengan pihak kedutaan maklumlah melihatkan pagar dan 'guard'nya pun sudah menakutkan bagaimanakah nanti hendak masuk. AR terus berjumpa 'guard'nya dan maklumkan bahawa AR seorang penulis yang ingin mendapatkan maklumat untuk bahan penulisan AR nanti. Dengan senang hati 'guard' itu memberikan kebenaran dan menemukan AR dengan pegawai kedutaan. AR diketemukan dengan Pak Diani iaitu seorang pegawai yang sudah 3 tahun berkhidmat di Malaysia. Sebenarnya AR ingin mendapatkan maklumat mengenai Bukit Siguntang Mahameru yang terletak di Palembang, Indonesia. Alhamdulillah misi AR agak berjaya. Hasil perjumpaan ini maka AR lebih yakin untuk menulis. Kita semua harus ingat iaitu maklumat yang kita tulis harus sahih biarpun kita menulis sebuah novel atau cerpen.

24 February 2011

Program Perkampungan Penulis Muda Negeri Melaka 2011





Alhamdulillah, program Perkampungan Penulis Muda peringkat Negeri Melaka bagi tahun 2011 telah dapat dijalankan dengan jayanya. Para peserta yang terdiri daripada 40 orang pelajar tingkatan 4 hingga 6 telah duduk berkampung selama tiga hari dua malam di Ismah Beach Resort, Padang Kemunting, Melaka. Program ini telah dianjurkan oleh DBP Wilayah Selatan dengan kerjasama JPN Melaka.Para peserta telah didedahkan teknik menulis sajak dan cerpen oleh penceramah yang berwibawa. Harapan AR agar ilmu yang diperoleh oleh para peserta ini dapat dimanafaatkan untuk menghasilkan sajak, cerpen, drama, novel atau apa sahaja genre penulisan. AR sendiri pun sebagai fasilitator telah dapat manafaatnya secara tidak langsung. Barulah AR faham bahawa cerpen yang ditulis itu harus akur dengan CEPADAT. Apa itu CEPADAT?

21 February 2011

Peraduan Menulis Cerita Sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2011

Peraduan Menulis Cerita Kanak-Kanak Sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2011

Kementerian Pelajaran Malaysia akan menganjurkan Peraduan Menulis Cerita Kanak-Kanak Sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2011.

Syarat-Syarat Umum Peraduan
1. Tema cerita ‘Terima Kasih Cikgu’
2. Tajuk skrip penulisan adalah bebas.
3. Peserta hanya boleh menyertai 1 kategori sahaja .
4. Panjang cerita
Kategori Guru TIDAK lebih daripada 3,000 patah perkataan.
Kategori Sekolah Menengah TIDAK lebih daripada 1,000 patah perkataan.
Kategori Sekolah Menengah Rendah TIDAK lebih daripada 500 patah perkataan.
Kategori Sekolah Rendah TIDAK lebih daripada 250 patah perkataan.
5. Jumlah perkataan mestilah dicatatkan dengan tepat pada penghujung bawah sebelah kanan hasil karya.
6. Halaman muka surat mestilah ditaip pada setiap halaman skrip.
7. Hasil karya hendaklah ditaip atas kertas saiz A4 dalam jarak langkau dua dan menggunakan huruf jenis Arial saiz 12 poin.
8. Hasil karya hendaklah merupakan hasil penulisan asli bukan ciplak atau terjemahan dan belum pernah disiarkan atau diterbitkan .
9. Hasil karya tidak boleh mengandungi unsur-unsur negatif yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan politik. Latar belakang cerita hendaklah berdasarkan masyarakat Malaysia yang berfokuskan kehidupan harmoni dan bersatu dalam kalangan pelbagai kaum. Nilai-nilai murni harus diterapkan.
10. Penulis hendaklah menghantar hasil karya yang asal.
11. Kementerian Pelajaran Malaysia berhak untuk menyunting hak cipta, menerbit, mencetak dan mengedar karya-karya yang diterima.
12. Hasil karya yang dihantar tidak akan dikembalikan dan akan menjadi hak milik Kementerian Pelajaran Malaysia
13. Maklumat penyertaan hendaklah ditulis pada Lampiran BBT III.
14. Penulisan skrip adalah untuk bahan bacaan sekolah rendah dan menengah.
15. Hasil karya hendaklah sampai ke Jabatan Pelajaran Negeri sebelum atau pada tarikh 1 Mac 2011 (Selasa).
16. Penyertaan yang gagal mematuhi mana-mana syarat yang ditetapkan di atas tidak akan dinilai.
17. Keputusan panel hakim adalah muktamad. Sebarang surat- menyurat berkaitan dengan peraduan tidak akan dilayan.

Pertandingan ini dibahagikan kepada kategori berikut iaitu;

1. Bahasa Malaysia
a. Kategori Guru
b. Kategori Murid Sekolah Rendah (Tahun 4 – 6)
c. Kategori Murid Sekolah Menengah Rendah(Tingkatan 1 – 3)
d. Kategori Murid Sekolah Menengah Atas (Tingkatan 4 – 5)

2. Bahasa Inggeris
a. Kategori Guru
b. Kategori Murid Sekolah Rendah (Tahun 4 – 6)
c. Kategori Murid Sekolah Menengah Rendah(Tingkatan 1 – 3)
d. Kategori Murid Sekolah Menengah Atas (Tingkatan 4 – 5)

Syarat-Syarat Khusus Peraduan

Kategori Guru
i. Peraduan ini terbuka kepada semua guru yang sedang mengajar di sekolah bantuan penuh kerajaan seluruh Malaysia.
ii. Cerita hendaklah ditulis sama ada dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.
iii. Peserta hanya boleh mengemukakan SATU hasil karya dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.
iv. Hasil karya TIDAK lebih daripada 3,000 (tiga ribu) patah perkataan.
v. Jumlah perkataan mestilah dicatatkan dengan tepat pada penghujung karya, bahagian bawah di sudut kanan.
vi. Muka surat mestilah dicatat pada setiap helaian.
vii. Hasil karya hendaklah ditaip atas kertas saiz A4 dalam jarak langkau dua dan menggunakan huruf jenis Arial saiz huruf 12.
viii. Hasil karya hendaklah hasil penulisan asli dan bukan ciplak atau terjemahan belum pernah disiarkan atau diterbitkan.
ix. Hasil karya tidak boleh mengandungi unsur-unsur negatif yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan
politik.
x. Latar belakang cerita hendaklah berdasarkan masyarakat Malaysia yang berfokuskan kehidupan harmoni dan bersatu dalam kalangan pelbagai kaum. Nilai-nilai murni harus diterapkan.
xi. Penulis hendaklah menghantar hasil karya yang asal.
xii. Hasil karya yang dihantar tidak akan dikembalikan dan akan menjadi hak milik Kementerian Pelajaran Malaysia.
xiii. Kementerian Pelajaran Malaysia berhak menerbit, mencetak dan mengedar karya-karya yang diterima.
xiv.Maklumat penulis hendaklah diisi dengan lengkap pada LAMPIRAN BBT III yang disertakan.
xv. Tajuk/Tema/Jenis Cerita
- Tajuk cerita bebas.
- Tema cerita ialah ‘Terima Kasih Cikgu’.
- Jenis cerita adalah untuk bacaan murid sekolah rendah dan sekolah menengah.

Kategori Murid
i. Peraduan ini terbuka kepada semua murid yang sedang belajar di sekolah bantuan penuh kerajaan di seluruh Malaysia.
ii Cerita hendaklah ditulis sama ada dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.
ii. Peserta hanya boleh mengemukakan SATU hasil karya dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.
iii. Hasil karya bagi murid adalah seperti berikut:
- Sekolah Menengah Atas TIDAK lebih daripada 1000 (seribu) patah perkataan.
- Sekolah Menengah Rendah TIDAK lebih daripada 500 (lima ratus) patah perkataan.
- Sekolah Rendah TIDAK lebih daripada 250 (dua ratus lima puluh) patah perkataan.
iv. Jumlah perkataan mestilah dicatatkan pada penghujung hasil karya.
v. Muka surat mestilah dicatat pada setiap helaian.
vi. Hasil karya hendaklah ditaip atas kertas saiz A4 dalam
jarak langkau dua dan menggunakan huruf jenis
Arial, saiz huruf 12.
vii. Hasil karya hendaklah hasil penulisan asli bukan ciplak
atau terjemahan dan belum pernah disiarkan atau
diterbitkan.
viii. Hasil karya tidak boleh mengandungi unsur-unsur
negatif yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan
politik.
x. Latar belakang cerita hendaklah berdasarkan
Masyarakat Malaysia yang berfokuskan kehidupan
harmoni dan bersatu dalam kalangan pelbagai kaum.
Nilai-nilai murni harus diterapkan.
xi. Penulis hendaklah menghantar hasil karya yang asal.
xii. Hasil karya yang dihantar tidak akan dikembalikan
dan akan menjadi hak milik Kementerian Pelajaran
Malaysia.
xiii. Kementerian Pelajaran Malaysia berhak menerbit, mencetak dan mengedar karya-karya yang diterima.
xiv. Maklumat penulis hendaklah diisi dengan lengkap pada LAMPIRAN BBT III yang disertakan.
xv. Tajuk/Tema/Jenis Cerita
- Tajuk cerita bebas.
- Tema cerita ialah ‘Terima Kasih Cikgu’.

- Jenis cerita adalah untuk bacaan murid sekolah rendah dan sekolah menengah.
Penyertaan yang gagal mematuhi mana-mana syarat yang telah ditetapkan di atas tidak akan dipertimbangkan.
Keputusan panel hakim adalah muktamad. Sebarang surat-menyurat tidak akan dilayan.
(Bukti penghantaran bukan bukti penerimaan dan penyertaan)
Pemenang Pertama akan dijemput untuk menerima hadiah pada Majlis Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2011.
Catatan:
Sekolah Pendidikan Khas hendaklah menyerahkan hasil karya dalam bentuk cetakan biasa mengikut format dan syarat yang ditetapkan di atas.

Peringkat Negeri
i. Hasil karya mestilah dihantar kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) masing-masing sebelum atau pada 1 Mac 2011( Selasa, jam 4.00 petang ) .
ii. JPN akan mengendalikan Peraduan Peringkat Negeri sebelum menghantarnya ke Bahagian ini.
iii. Hanya 5 (lima) karya terbaik bagi setiap kategori perlu dikemukakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri ke Bahagian ini sebelum atau pada
7 Mac 2011 (Isnin, jam 4.00 petang) di alamat berikut:
Peraduan Menulis Cerita Sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2011
Bahagian Buku Teks,
Kementerian Pelajaran Malaysia,
Aras1-3, Blok E 15, Kompleks Kerajaan Parcel E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62604 Putrajaya.
(u.p: Encik Krishnan a/l Ponnusamy)
iv. Penyertaan yang gagal mematuhi mana-mana syarat yang telah ditetapkan di atas tidak akan dipertimbangkan.
v. Keputusan panel hakim adalah muktamad. Sebarang surat-menyurat berkaitan dengan peraduan tidak akan dilayan.
vi. Bukti penghantaran bukan bukti penerimaan atau penyertaan.
vii. Sekiranya ada sebarang pertanyaan sila hubungi Puan Hajah Siti Natrah binti Mukhtaram di talian 03-88844485 atau Encik Ahmad Yusri b. Yaacob di talian 03-88844387.

Maklumat Brosur Pertandingan (sila layari pautan berikut)
http://www.moe.gov.my/upload/galeri_awam//2011/1296464354.pdf

Maklumat Syarat Peraduan (sila layari pautan berikut)
http://www.moe.gov.my/upload/galeri_awam//2011/1296464400.pdf

Maklumat Borang Penyertaan (sila layari pautan berikut)
http://www.moe.gov.my/upload/galeri_awam//2011/1296464426.pdf

Sumber : Laman Web Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia (www.moe.gov.my) pada 4 februari 2011

19 February 2011

Fasilitator Perkampungan Penulis Muda DBP

Pada 22,23 dan 24 Februari 2011 ini AR telah diundang untuk menjadi fasilitator bagi menjayakan Program Perkampungan Penulis Muda Sekolah Menengah Peringkat Negeri Melaka Tahun 2011. Program ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Melaka. Program ini akan diadakan di Ismah Beach Resort. Program ini diadakan bertujuan melahirkan penulis-penulis berwibawa suatu hari nanti. Ibaratnya "Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya". AR sendiri pun tidak pernah ikuti atau didedahkan dengan program seperti ini namun AR percaya program ini amat besar manafaatnya kepada mereka yang ingin menjadi penulis.
Pada 22 hingga 23 Februari 2011 juga AR telah diminta untuk memberi ceramah dalam Bengkel Penulisan Cerita Kanak-Kanak bagi guru dan pelajar dari Negeri Melaka yang ingin menyertai Peraduan Menulis Cerita Kanak-Kanak sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2011. Inilah usaha Jabatan Pelajaran Melaka sebagai sebuah negeri maju untuk merealisasikan impian mereka. AR pernah mendapat hadiah saguhati peringkat kebangsaan bagi pertandingan ini pada tahun 2007. Tahniah kepada PPD Jasin sebagai uru setia kerana mengadakan program seperti ini.