26 June 2014

Kelip-Kelip Dan Budaya Bangsa Kita

Kelip-kelip di Sungai Kuala Selangor sama sahaja dengan kelip-kelip di sungai lain di Malaysia. Tahukah kita bahawa akibat kepesatan pembangunan, pokok berembang habis ditebang. Apakah kesannya kepada kehidupan kita? Sama ada kita sedar ataupun tidak kita sebenarnya hidup dalam satu lingkaran ekosistem yang amat berhubungan sesama makhluk. Manusia memerlukan ruang untuk hidup lalu kawasan tebing sungai diterangkan atau manusia memerlukan kayu bakau untuk dibuat 'piling' bangunan dan sebagai akibatnya kayu bakau itu ditebang. Untuk mendapatkan kayu bakau atau ruang ini maka terpaksalah kayu berembang ini ditebang sama. Tanpa kita sedari apabila kita menebang pohon berembang maka serangga kelip-kelip ini juga akan merasa tempiasnya. Kelip-kelip yang bergantung harap pada pokok berembang untuk kelangsungan hidupnya akan turut pupus apabila pohon berembang pupus. Sewaktu AR kecil dahulu memang biasa melihat kelip-kelip pada malam hari tetapi sekarang ini rasanya dah berpuluh tahun AR tidak melihat kelip-kelip di kawasan tempat tinggal AR.
Nasib kelip-kelip ini sama sahaja dengan nasib budaya kita. Dengan nama pembangunan maka yang menjadi mangsa ialah budaya kita. Sekarang ini sesiapa sahaja yang tidak berpaut atas tiket pembangunan negara maka akan dicop sebagai penentang pembangunan. Natijahnya tiket pembangunan itu turut menghalalkan sama pembasmian budaya bangsa kita yang dipertahankan sejak sekian lama. Dengan nama pembangunan maka berapa banyak rumah-rumah tradisional kita yang terpaksa dirobohkan demi memberi laluan kepada pembangunan negara. Sama ada sedar atau pun tidak atas nama pembangunan kita terpaksa akur kepada cara hidup baharu yang kononnya penting untuk kita 'berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah' dengan bangsa-bangsa yang lain. Kesannya apabila budaya bangsa kita terhakis maka ia turut menghakis sama nilai hidup bangsa kita. Dan akhirnya kita ini akan menjadi seperti Lebai Malang yang dikejar tidak dapat dan yang dikendong keciciran.



Perang Saudara Di Kuala Selangor

selama 4 hari 3 malam AR berkampung di Hotel Apps Kuala Selangor. AR terpilih sebagai Hakim Kebangsaan Bahas Ala Parlimen Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2014. jikalau pada tahun lepas AR berada di Sibu Sarawak untuk acara yang sama maka tahun ini di Kuala Selangor pula. Menariknya pada tahun lepas hotel tempat kami menginap terletak di tepi Sungai Rejang dan kali ini hotel kami teetak di tepi Sungai Kuala Selangor. Alhamdulillah AR dapat menikmati pemandangan hutan paya bakau yang menjadi habitat pelbagai spesies burung, ikan dan serangga.
Kami juga dibawa melawat Bukit Malawati yang terkenal dengan sejarah perang saudara. Kata pujangga jikalau kita hendak mengenal sejarah maka jangan lupa berkunjung ke muzium. Di atas Bukit Malawati ini terdapat sebuah muzium malahan dikhabarkan pelbagai kejadian mistik dan misteri menyelubungi kisah Bukit Malawati.


27 May 2014

Keputusan Sayembara Menulis Cerpen dan Sajak Sejarah Melaka

Alhamdulillah semalam telah berlangsung majlis penyampaian hadiah Sayembara Menulis Cerpen dan Sajak Sejarah Melaka bersempena sambutan Melaka Bandaraya Bersejarah ke-11. Majlis tersebut telah dilangsungkan di Hotel Permaisuri, MITC, Melaka. Yang Berhormat Ahli Parlimen Masjid Tanah merangkap Ketua Puteri UMNO Malaysia telah sudi untuk hadir dan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah tersebut. Alhamdulillah cerpen bertajuk KERANAMU FATIMAH yang telah ditulis oleh AR berjaya menduduki tangga kedua.
Mengikut ulasan panel penilai, cerpen KERANAMU FATIMAH agak unik kerana cerpen ini ditulis menggunakan sudut pandangan seorang sultan. Kebiasaannya cerpen sejarah ditulis berdasarkan sudut pandangan rakyat biasa sebab itulah apabila cerpen ini diolah dari sudut pandangan sultan maka ia dapat memukau ahli panel penilai. Sebenarnya untuk menghasilkan cerpen ini, AR telah membaca dan menyelidik buku di bawah selama lebih kurang seminggu. Biarpun AR pernah mengkaji buku ini 27 tahun dulu namun untuk mendapatkan 'semangatnya' AR terpaksa membaca semula. AR cuba dapatkan gambaran sebenar kerana untuk menulis cerpen sejarah bukannya mudah. Selain bahasa, faktanya juga harus dijaga kerana itulah agak sukar menulis cerpen sejarah ini. Alhamdulillah kerana cerpen KERANAMU FATIMAH berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan ini.





21 May 2014

Novel Lucah....salah siapa?

Terdapat pelbagai kategori novel dan salah satu daripadanya dikategorikan sebagai novel lucah. Di bawah ini merupakan keratan daripada akhbar Metro tahun 2007 yang dipetik dari sebuah blog.


Anak Leka 'Ulang Kaji' Novel Lucah


KUALA LUMPUR: Seorang bapa terkejut apabila 'buku' yang disangkakan novel sastera ketika memeriksa beg sekolah anak lelakinya adalah kompilasi cerita lucah yang dibeli dengan wang saku.Lelaki terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Yusoff, 44, berkata novel lucah bertajuk 'Gelora Nafsu 2' itu ditemuinya dalam beg sekolah anaknya, pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di Sentul, malam kelmarin.Juruaudit sebuah syarikat di Ampang itu berkata, pada mulanya dia menyangka anaknya khusyuk mengulang kaji pelajaran dalam bilik sebelum tiba-tiba berminat untuk melihat lebih dekat.
"Tanpa disedarinya, saya memantau dari belakang. Namun sebaik dihampiri, dia kelihatan cuba menyembunyikan sesuatu dalam beg sekolahnya."Tindakan itu menyebabkan saya mula rasa syak sebelum merampas dan memeriksa beg itu. Saya terkejut apabila menemui sebuah novel lucah yang disorok dalam buku teks," katanya.Menurutnya, dia kemudian meneliti kandungan novel lucah itu yang mengandungi kompilasi enam cerita panas, antaranya 'Sumpah Gadis Sunti', `Diri Dihantui Jin Belaan Bekas Kekasih', `Diri Menjadi Pemuas Wanita', `Melayar Nafsu Bersama Gadis Perantau' dan `Kerana Hati Binasa Badan'."Novel terbabit yang menyelitkan elemen percintaan cuba meracuni jiwa pembaca terutama pelajar dengan plot adegan seks keterlaluan."Ini terbukti apabila dalam cerita bertajuk `Diri Dihantui Jin Belaan Bekas Kekasih', penulis menceritakan secara terperinci adegan ranjang untuk membuatkan pembaca berahi," katanya.Yusoff berkata, anaknya memberitahu novel terbabit dibeli dari sebuah kedai menjual surat khabar dan majalah berhampiran Perhentian Bas Klang di sini."Dia beritahu novel berharga RM9.50 itu pernah dikeluarkan empat jilid dan menjadi kegilaan rakan-rakan sekolahnya."Justeru, saya menyiasat sendiri dakwaannya sebelum mendapati novel terbabit dijual secara terbuka di kedai itu," katanya.Dia yang kesal dengan tindakan pekedai itu membuat ad
uan kepada Harian Metro supaya perbuatan tidak bertanggungjawab itu didedahkan."Saya berharap pihak berkuasa merampas novel terbabit selain mengambil tindakan terhadap penerbit yang cuba mengaut keuntungan hasil penjualan buku tidak bermoral berkenaan," katanya.Wartawan Harian Metro yang turut meneliti kandungan novel terbabit mendapati ia jelas keterlaluan selain menyelitkan babak mangsa diperkosa yang boleh mempengaruhi fikiran pembaca terutama remaja.Selain itu novel 'Gelora Nafsu 3' yang turut diperoleh wartawan didapati mengandungi lima cerita pendek berunsur lucah.Pada kedua-dua buku lucah terbabit turut tertera nama editor dan ketua pengarang selain alamat syarikat di Taman OUG dan Taman Yarl di sini, menyertakan nombor telefon untuk dihubungi.Penerbit juga cuba menarik perhatian pembeli dengan sengaja menulis pada bahagian belakang buku 'jika helaian sudah dibelek demi dibaca, pasti kedua kelopak mata tidak akan lena sehingga ke lembaran muka surat terakhirnya'. Lambakan bacaan lucah di pasaran bukan isu baru berikutan Harian Metro pernah mendedahkan kewujudan majalah mini berunsur lucah yang turut dijual secara berleluasa.

Dan di bawah ini pula cerita pada 21 Mei 2014.  Persoalannya salah siapa? Isu hangat yang sudah begitu lama diperkatakan dan kini isu tersebut ditimbulkan kembali.

20 May 2014

Keputusan Kembara Sastera

Sebagaimana yang dirancang oleh pihak Jawataankuasa IPM akhirnya tepat jam 9.00 pagi kami yang seramai 35 orang telah menaiki bot menuju ke destinasi yang telah ditetapkan. Kami menyewa sebuah bot besar yang boleh memuatkan 50 penumpang. Alhamdulillah kami bersyukur kerana ramai ahli IPM yang membawa keluarga mereka bersama. Ini boleh juga diibaratkan sebagai sebuah keluarga IPM yang besar.
Kami melewati Pulau Lalang kemudian terus menuju ke Pulau Dodol. Selepas Pulau Dodol kami ingin menuju ke Pulau  Undan namun pemandu bot memaklumkan kami tidak boleh berhenti di Pulau Undan biarpun ada jeti di sana. Di Pulau Undan terdapat kemudahan radar pihak berkuasa APMM iaitu pihak berkuasa maritime Malaysia sebab itu kawasan itu menjadi kawasan larangan. Kami kemudiannya menuju ke Pulau Nangka. Pulau Nangka yang menjadi bualan ramai kami lewati dengan penuh minat dan tanda Tanya. Bukankah Pulau Nangka menjadi perhatian ramai sejak beberapa bulan yang lepas? Di pulau ini dikatakan tersimpan khazanah harta Kerajaan Melayu Melaka yang bernilai berbilion dollar. Pihak kerajaan Negeri Melaka telah melantik sebuah syarikat swasta bagi menguruskan kerja-kerja penggalian Tanah di kawasan Pulau Nangka bagi mencari harta Karun tersebut. Kami pula telah diingatkan mengenai status kawasan tersebut sebagai kawasan larangan jadi amat mustahil untuk kami singgah di pulau itu. Kami kemudiannya terus menuju ke Pulau Besar. Setibanya kami di Pulau Besar, kami disambut dengan hujan lebat yang turun membasahi bumi. Kami kemudian mengadakan acara baca sajak di jeti Pulau Besar. Antara peserta yang membaca sajak ialah Sasterawan Melaka, Puan Saadiah, Haji Husin Embi, Haji Abd Razak Adam, Haji Osman Dol, Lily (dari Indonesia), Kartiney (dari Muar), Cikgu Zubaidah, serta peserta cilik iaitu Abdul Hakim Abd. Razak (10 tahun) dan anak Puan Saadiah.
Selesai acara baca sajak kami menaiki van mengelilingi Pulau Besar. Antara yang kami lawati ialah kawasan chalet dan pusat pelancongan. Kami juga dibawa melawat makam 7 beradik, perigi nenek kebayan, kawasan makan serta muzium Pulau Besar. Di dalam muzium ini terdapat banyak informasi buat kami yang ingin menghasilkan karya kreatif. Sesungguhnya kembarabini amat berfaedah buat kami warga penulis



dan ahli IPM.

14 May 2014

KEMBARA SASTERA 'DARI PULAU KE PULAU'






Kembara Sastera Pulau ke Pulau di Melaka anjuran Ikatan Persuratan Melayu
Tarikh: 17 Mei 2014
Hari: Sabtu
Lokasi: Dari Jeti Muara Sungai Melaka, Banda Hilir
Objektif:
1. Memberi pendedahan kepada ahli IPM mengenai keindahan alam sekitar Melaka.
2. Memberi peluang kepada ahli IPM bagi mengasah bakat mencipta dan mendeklamasi sajak   
    bertemakan alam sekitar.
3. Mengeratkan tali silaturahim antara ahli IPM

Aktiviti seperti baca sajak  dan sembang karya. 
Pulau Besar adalah merupakan sebuah tempat yang banyak dikaitkan dengan kisah mistik dan lagendanya. Ianya merupakan satu tempat yang bersejarah khususnya dengan kisah awal penyebaran Agama Islam dinusantara. Ianya menjadi daya tarikan pelancong dalam dan luar negara. Kini, Kerajaan Negeri Melaka telah membina sebuah muzium yang memaparkan kisah-kisah awal dan lagenda Pulau Besar. Perbadanan Muzium Negeri Melaka (PERZIM)juga telah mengambil alih dan membaik pulih beberapa buah makam di pulau ini.
Selain dari menziarahi Makam Sultanul Ariffin Sheikh Ismail, terdapat banyak lagi makam-makam dan tempat-tempat yang menjadi tarikan utama di sini, antaranya :-

  • Makam Syarifah Rodziah
  • Makam Tok Janggut
  • Makam Tok Putih
  • Perigi di Kaki Pulau
  • Batu Belayar@Batu Penambat Kapal
  • Batu Tengkorak
  • Pokok Disula
  • Tasik Biawak
  • Batu Belah
  • Keramat Masin Tawar
  • Istana Bunian
  • Perkampungan Bunian
  • Tasik Bunian
  • Gua Yunus
  • Keramat Ular
  • Makam Nenek Kebayan
  • Perigi Tempayan Pecah
  • Makam Tujuh Beradik
  • Makam Seribu
  • Makam Nisan Satu
  • Perigi Nenek Musallimah
  • Tapak Kaki Sultanul Aarifeen
  • Batu Lesung
* dipetik dan diubahsuai daripada laman IPM

30 April 2014

Program Pembinaan Bakat Penulisan DBP


Program Pembinaan Bakat Tunas Muda 1Malaysia Peringkat Negeri Melaka 2014 telah diadakan di  Kompleks Falak al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka. Program ini telah dianjurkan oleh DBP Wilayah Selatan dengan kerjasama JPN Melaka. Seramai 27 orang pelajar sekolah rendah dan 30 orang pelajar sekolah menengah dari seluruh negeri Melaka telah berpeluang mengikuti program ini. Program ini telah dirangka khusus untuk melahirkan pelapis dalam bidang penulisan fiksyen dan non fiksyen. Para peserta telah didedahkan dengan ceramah dan bengkel teknik penulisan cerpen, puisi dan berita. Program ini telah berlangsung selama tiga hari dua malam. AR telah diberi tanggungjawab untuk membimbing peserta Tunas Muda bagi bahagian cerpen. 8 orang peserta yang terpilih akan mewakili Melaka ke peringkat kebangsaan iaitu 4 orang kategori sekolah rendah dan 4 orang kategori sekolah menengah. Para peserta telah menunjukkan kesungguhan bagi mempelajari selok belok bidang penulisan yang telah dibimbing oleh AR, Cikgu Mohammad Nor, Encik Azahar, Cikgu Kasim Mahmud, dan Cikgu Rohaya. Kami juga telah dibantu oleh Cikgu Soufrie dan Cikgu Norliza. Harapan kami semoga para peserta kursus akan menjadi penulis yang berwibawa serta prolifik suatu hari nanti. Terima kasih juga kepada pihak DBP Wilayah Selatan yang sudi mengadakan program seperti ini. Sememangnya kita amat yakin bakat muda jikalau diasah dan dipandu pasti akan menjadi penulis yang berjaya suatu hari nanti, insya-Allah.