20 July 2012

Selamat Menyambut Ramadhan al Mubarak

Alhamdulillah, dipanjangkan umur dapat kita mengecap sekali lagi nikmat yang tidak terhingga iaitu bertemu dengan Ramadhan yang mulia. Sedar atau tidak antara Ramadhan yang telah lepas dengan Ramadhan yang tiba ini telah ramai yang pergi meninggalkan kita. Ada antara mereka yang meninggal dunia itu dikatakan sudah tua, ada yang masih muda malahan ada juga kanak-kanak yang telah pergi mendahului kita. Kesimpulannya kematian tidak mengenal usia. Pada kesempatan Ramadhan yang kunjung tiba ini hendaknya sama-samalah kita pertingkatkan amal ibadat kita kepadaNya. Ibadat juga harapnya bukan hanya disempit kepada berpuasa dan sembahyang terawih semata-mata kerana konsep ibadat dalam Islam ini cukup luas. Menulis juga suatu ibadat. Selamat Berpuasa.

10 July 2012

Baca Puisi Di Rumah PENA- Di Ambang Ramadhan





Kebetulan AR ada program ke Bukit Mahkota pada petang Jumaat jadi pada malam Sabtu 6 Julai pergilah menyaksikan Malam Baca Puisi PENA-ITBM di Rumah Pena. Acara dijalankan secara santai dengan moderator yang mampu menghidupkan suasana. Antara yang membaca sajak ialah Sasterawan Negara KEMALA, Dr. A.Halim Ali (UPSI), Umar Sutong (orang veteran yang masih kuat semangatnya biarpun terpaksa bertongkat) dan lain-lain lagi. Biarpun dijalankan sebulan sekali namun pada AR acara ini amat penting. Acara ini penting untuk memberi pendedahan kepada penyair kita. Bukan senang nak tampil di hadapan pentas biarpun pentas terbuka. Sekurang-kurangnya acara ini dapat memberi pengalaman kepada pemuisi kita. Alangkah bagus jikalau acara ini ada di Melaka. Apa kata diadakan dua bulan sekali, sekurang-kurangnya orang Melaka boleh mengasah bakat terutamanya golongan muda. Jikalau tiada pendedahan bagaimanalah kita hendak bersaing dengan pemuisi dari seberang sana.

01 July 2012

Program Bersama Anak-Anak Yatim

Pada 1JULAI 2012, AR telah mengadakan program bersama anak-anak yatim di Taman Krubong, Melaka. Bukanlah tujuan AR untuk menunjuk-nunjuk tetapi dengan harapan ikhlas agar lebih ramai lagi membuat program bersama anak-anak yatim ini. Ingatlah rezeki yang kita peroleh sebenarnya untuk dikongsi bahagiannya untuk mereka yang benar-benar memerlukannya di luar sana. Program berlangsung selama lebih kurang 2 jam. Mulanya AR berkongsi pengalaman mengenai dunia penulisan sebab AR percaya mungkin ada bintang yang tersembunyi dalam kalangan anak-anak yatim ini. Kebiasaannya mereka yang berjaya dalam bidang penulisan ialah mereka yang pernah menghadapi saat kesusahan dalam hidup. Kesusahan inilah yang bakal mencetus suatu tenaga dalaman bagi memandu diri untuk menulis, itupun sekiranya mereka tahu bagaimana untuk menulis dan bagaimana untuk memastikan hasil yang ditulis itu sampai kepada pembaca. Biarpun anak-anak yatim ini masih di bangku sekolah rendah namun siapa tahu jikalau Allah SWT hendak membuka hati seseorang, 'kun fayakun', dengan takdirnya terbit rasa ingin menulis dalam diri anak-anak ini sehingga berjaya menjadi penulis tersohor suatu hari nanti, insyaAllah. AR beritahu anak-anak itu iaitu salah satu cara untuk berjinak-jinak dengan bidang penulisan sewaktu kecil ialah kena mulakan dengan penulisan diari hidup dan pastikan terbit rasa seronok dengan setiap pekerjaan yang kita ingin lakukan. Inilah mungkin panduan untuk si cilik bergiat dalam bidang penulisan. AR perhatikan dalam masyarakat kita memang ramai yang boleh bercakap panjang tetapi bila tiba saat menulis hmm... susah. Jadi kena biasakan menulis sewaktu kecil dan penulisan diari hidup mungkin sebagai langkah pertama.
Dalam majlis itu AR juga memberikan dua set buku AR iaitu satu untuk rumah anak-anak lelaki dan satu lagi untuk rumah anak-anak perempuan. Semoga mereka dapat membaca buku-buku AR itu dan tercetus pula cita-cita untuk menceburkan diri dalam bidang bisnes. Ini kerana empat buah buku AR bersama PTS berkisar mengenai usahawan cilik iaitu novel Taman Botani Harapan, Homestay Bayu, Kerepek AF dan Jutawan 3R.


AR telah dihiburkan dengan persembahan nasyid yang menyentuh perasaan. Sebuah lagu oleh anak-anak lelaki dan satu lagi daripada anak-anak perempuan. Terima kasih AR ucapkan dan ingatlah tiap-tiap kesusahan itu pasti akan disertai dengan kesenangan.

18 June 2012

Pertandingan Menulis Cerpen


PENGENALAN

Pertandingan Menulis Cerpen DBP 2012 merupakan peraduan yang julung kali diadakan khusus untuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan  Swasta (IPTS) serta Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu. Sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam mengembangkan bahasa dan sastera kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa memainkan peranan yang aktif untuk menggalakkan penghasilan karya sastera kreatif yang bermutu dalam bahasa kebangsaan. Tujuan Pertandingan Menulis Cerpen DBP 2012 ini diadakan adalah untuk melahirkan lebih ramai pelapis dalam kalangan generasi muda pelbagai kaum yang menulis karya kreatif dalam bahasa kebangsaan. Dengan demikian, peserta dapat menonjolkan nilai-nilai murni dan positif berkaitan budaya dan kepercayaan masing-masing kepada khalayak pembaca agar dapat difahami oleh kaum-kaum yang lain.

SYARAT-SYARAT PENYERTAAN

1.       Peraduan ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu dan sedang menuntut di IPTA, IPTS dan IPGM.

2.     Peserta mestilah berumur 18 tahun ke atas pada atau sebelum tarikh tutup penyertaan dan sedang menuntut di peringkat diploma atau ijazah pertama.

3.     Cerpen yang dihasilkan mestilah sesuai untuk bacaan rakyat berbilang kaum di negara ini dengan tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum, kepercayaan atau agama.

4.       Setiap peserta dibenarkan menghantar tidak melebihi dua buah cerpen sahaja.

5.       Cerpen yang dihantar mestilah bertaip di atas kertas A4 sebelah muka surat dengan jarak langkau dua baris dan jenis tulisan Arial fon 12.

6.       Panjang teks cerpen adalah antara 1,800 hingga 2,000 patah perkataan (10 hingga 15 halaman).

7.       Karya mestilah dihantar dalam dua (2) salinan. Satu salinan karya yang bercetak, dengan nama dan judul karya ditulis pada halaman pertama cerpen dihantar bersama-sama dengan satu salinan dalam bentuk CD atau melalui e-mel dengan melabelkan nama dan judul karya pada bahan tersebut.

8.       Cerpen yang dihantar mestilah asli, bukan saduran, adaptasi, penyesuaian atau apa-apa sahaja yang membawa pengertian karya itu bukan karya asli dan belum pernah tersiar atau diterbitkan oleh mana-mana pihak.

9.       Sekiranya cerpen yang dihantar ternyata melanggar mana-mana syarat, penyertaan akan dibatalkan dan jika telah memenangi pertandingan ini, maka hadiah tersebut terbatal dengan sendirinya dan hadiah perlu dikembalikan kepada pihak penganjur.

10.    Cerpen yang memenangi hadiah akan dipertimbangkan untuk disiarkan dalam majalah terbitan DBP atau diterbitkan  dalam bentuk buku sebagai karya kompilasi.

11.    Cerpen yang menyertai pertandingan akan menjadi hak milik DBP dan DBP boleh menerbitkannya dalam sebarang bentuk tanpa perlu meminta izin daripada penulis.

12. Pertandingan ini bermula pada bulan Jun 2012. Cerpen hendaklah sampai kepada urus setia pertandingan pada atau sebelum 1 Oktober 2012.

13. Keputusan panel penilai adalah muktamad.

14. Setiap cerpen bercetak berserta borang penyertaan yang diperakukan oleh Pejabat Jabatan atau Pejabat Dekan, CD dan sekeping gambar berukuran pasport hendaklah dihantar ke alamat:

Urus Setia,
Pertandingan Menulis Cerpen DBP 2012,
Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum,
Aras 19, Menara DBP,
Jalan Dewan Bahasa,
50460 Kuala Lumpur.

Tel.: 03-2148 3411 (E Pian Pro Poul)
Tel.: 03-2148 2195 (Hadine Yunus Gadong)

15.    Faks: 03-2144 9746


Dipetik daripada laman web dbp

Kepimpinan Baru IPM


Mesyuarat Agung Dwitahunan Ke-55 Ikatan Persuratan Melayu telah berlangsung di D'Village Resort Ayer Keroh, Melaka pada 17 JUN 2012. Mesyuarat itu juga menyaksikan pemilihan Jawatankuasa Pengelola 2012/2014. Berikut senarai AJK terbaru bagi tahun 2012/2014,

Ketua Satu        : Haji Razali Endun
Ketua Dua        : Prof.Madya Dr. Arbak Othman
Setiausaha Satu : Hj. Husin Embi
Setiausaha Dua : Puan Sharifah Aisiah Syed Mahazar
 Bendahari        : Haji Othman Haji Md.Drus

AJK
1. Haji Mokhtar Md.Yasin
2. Haji Abd Razak Adam
3. Cik Norhidayah Mohd.Rasid
4. Haji Shaharuddin Daud
5. Cik Nurul Farehah Jaamad
6. Encik Aladin Mohamad
7. Encik Othman Hashim

Pemeriksa Kira-Kira
1. Hjh. Rosiah Hj. Ismail
2. Haji Osman Dol

05 June 2012

Kena edit manuskrip

Gambar di atas menunjukkan AR sedang berdiri di hadapan Perpustakaan Guangzhou, China. Tanyalah mana-mana penulis pasal menulis pasti jawapannya enteng (namapun dah penulis). Tapi tanyalah juga mana-mana penulis pasal edit manuskrip yang sudah siap ditulis jawapannya waduh-waduh bisa pening ni. Itulah yang dialami oleh AR setiap kali apabila disuruh oleh editor untuk mengedit manuskrip yang telah siap dihantar. AR sekarang ini sedang berurusan dengan editor sebuah penerbitan terkenal (kena rahsiakan dulu). Cerita itu telah lama AR siapkan. Sesudah dihantar ke penerbit, AR disuruh betulkan ejaan (hmm biasalah). Sesudah itu kena sesuaikan dengan selera remaja pulak sebab katanya bahasa AR skema sangat (pulak). Tapi AR suka dengan editor ini sebab jujur. Kejujuran amat penting bagi memastikan hasil yang terbaik. Biarpun mungkin seseorang itu terluka dengan pendapat seseorang tentang dirinya namun percayalah bahawa teguran yang jujur itu akan membuahkan banyak kebaikan. AR percaya bahawa editor yang berpengalaman ini juga bukannya calang-calang editor kerana cara kerjanya tersusun dan kreatif. Inilah yang penting dalam sesuatu penerbitan iaitu penulis dan editor saling bekerjasama dan jujur demi memastikan hasil terbaik diperoleh. Kita bukan mengharapkan untuk buku diterbitkan sahaja tetapi jauh daripada itu demi memastikan buku yang dijual punya ramai pembeli,peminat dan punya jangka hayat yang panjang. Apa gunanya buku terbit tetapi penulis cuma mampu mengayuh basikal tua dan penerbit pula gulung tikar!