Esok Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) akan bermula untuk murid-murid Tahun 6. AR ingin mengucapkan selamat menjawab ujian penting ini buat adik-adik semua. AR doakan agar adik-adik dapat menjawab soalan dengan tenang. Usah terburu-buru ketika menjawab sebaliknya jawablah dengan bijaksana. Sudah banyak tip-tip menjawab soalan yang diberikan oleh guru-guru malahan di dalam surat khabar pun ada disediakan ruangan khas ini.
Kepada ibu bapa pula AR harapkan agar ibu bapa tidak terlalu menekan anak-anak untuk belajar pada saat-saat akhir. Sepatutnya pembelajaran itu merupakan suatu proses yang menyeronokkan buat anak-anak kita. Ingatlah bahawa anak-anak kita ini masih berada di alam kanak-kanak yang masih perlu dikembangkan sahsiah, emosi, jasmani dan inteleknya. Keperluan perkembangan JERI ini biasanya dikaitkan dengan alam persekolahan namun tekanan peperiksaan menyebabkan ibu bapa dalam dilema. Masyarakat masih melihat keputusan yang tertera di atas sijil sebagai keputusan muktamat dalam membuat penilaian diri seseorang. Itulah hakikatnya dan biarpun kerajaan berusaha memasukkan markah kegiatan kokurikulum dalam pemilihan masuk ke universiti atau sekolah berasrama namun hakikatnya usaha ini masih diragui oleh ibu bapa. Apa yang pasti ibu bapa perlu melihat anak-anak sebagai insan yang sedang melalui proses perkembangan diri. Usahlah terlalu menekan diri anak-anak kita. Sememangnya kita meletakkan harapan yang tinggi terhadap anak-anak namun dalam masa yang sama harus memastikan jiwa anak-anak kita dapat berkembang dengan sihat. Berusahalah, berdoalah dan bertawakkallah agar keputusan anak-anak kita nanti akan cemerlang, insyaAllah.
20 September 2010
10 September 2010
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Setelah sebulan kita berpuasa maka tibalah saat dan ketikanya kita menyambut hari kemenangan.Pada bulan Ramadhan, AR jarang membuka blog sebab AR membantu isteri di kedai perabotnya. Masa yang paling kritikal ialah sepuluh hari terakhir Ramadhan. Itulah saatnya orang ramai berpusu-pusu membeli barang perabot. Setahun sekali maka itulah juga saatnya orang kita melihat segala kekurangan yang ada di rumah. Dari satu segi kelihatan juga bagaimana sikap orang kita berbelanja namun dari satu segi pula perbelanjaan ini dapat menggerakkan ekonomi negara. Lihatlah bagaimana orang kita berniaga di bazar Ramadhan. Alangkah bagusnya jikalau budaya berniaga ini dapat diteruskan sepanjang tahun. Mungkin dari sini kita dapat mengasah bakat berniaga di dalam jiwa anak-anak kita. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.
25 August 2010
17 August 2010
Yang Patah Sukar Untuk Tumbuh Kembali.
Rasanya tidak terlalu lewat untuk AR ucapkan selamat berpuasa pada bulan Ramadhan yang mulia ini. AR lambat mengemaskinikan blog ini kerana kekangan masa tambahan pula AR perlu mengedit semula manuskrip yang telah dipulangkan untuk diperbaiki. Sedar atau tidak Ramadhan ini banyak menguji kesabaran kini. Biarpun ada pepatah yang berbunyi 'patah tumbuh hilang berganti' tetapi kali ini AR ingin menyinggung banyak benda yang hilang tanpa ada penggantinya. Antara yang hilang ialah budaya bertukar-tukar juadah sesama jiran iaitu juadah berbuka puasa. AR amat rindu akan budaya ini. Bukan AR tidak mampu untuk membeli tetapi kemesraan akibat budaya ini yang menyebabkan AR merinduinya. Kekadang 'lain padang lain belalang dan lain tempat lain orangnya'. Kehidupan di kampung berbeza dengan kehidupan di taman perumahan. Selain daripada itu sikap sabar juga semakin terhakis dari sanubari umat bergelar Islam. Cuba kita perhatikan pemandu-pemandu kereta dan motosikal, sukar sangatkah untuk kita bersabar? Tanpa mempedulikan perasaan orang lain maka hon kenderaan dibunyikan sebagai tanda protes. Tambah-tambah jikalau sudah hampir dengan waktu berbuka puasa, lagi cepat pemandu kita menjadi marah. Kita selalu diingatkan tentang bersabar namun kesabaran itu hanya ditulis di dalam buku sahaja sedangkan kita tidak mempraktikkannya. Cubalah kita berbaik sangka terhadap semua manusia maka kita akan mendapat kesan yang berbeza dalam hidup kita nanti, insyaAllah.
06 August 2010
Gadis Cilik Dan Novel Bersiri
Seorang pembaca cilik berusia 10 tahun selalu bertanya soalan yang sama kepada AR, "pak cik ada buku baru?" Soalan itu menyebabkan AR selalu sahaja berusaha mengelakkan gadis cilik ini. Tapi jawapan yang selalu AR berikan ialah, "insyaAllah tidak lama lagi adalah." Gadis cilik ini merupakan anak seorang guru. Ibu dia kata anak dia suka baca buku dan buku setebal 150 ms akan dihadap dan dikatam satu hari sahaja.
Proses membaca sesebuah buku tidak sama dengan proses menghasilkan sesebuah buku. Tapi apabila selalu diasak pertanyaan ini maka timbul satu cabaran buat diri AR. Cabaran untuk menghasilkan novel bersiri. Melalui perbincangan awal dengan editor maka ia mendapat reaksi positif dan menggalakkan daripada editor. AR tengah siapkan suatu proposal serta sinopsis bagi menghasilkan novel bersiri ini. Sudah tentulah sasaran novel bersiri ini ialah kepada mereka yang berada pada peringkat awal remaja. InsyaAllah, AR sasarkan menjelang awal tahun hadapan maka novel ini akan berada di pasaran. Sengaja AR memilih editor yang sudah AR kenali kerana AR tahu cara kerja dan kehendaknya.Kekadang kita perlukan keserasian dalam membentuk pasukan untuk menghasilkan sesuatu produk.Terima kasih kepada semua pembaca termasuk pembaca cilik ini kerana memberikan semangat untuk AR terus berkarya.
Proses membaca sesebuah buku tidak sama dengan proses menghasilkan sesebuah buku. Tapi apabila selalu diasak pertanyaan ini maka timbul satu cabaran buat diri AR. Cabaran untuk menghasilkan novel bersiri. Melalui perbincangan awal dengan editor maka ia mendapat reaksi positif dan menggalakkan daripada editor. AR tengah siapkan suatu proposal serta sinopsis bagi menghasilkan novel bersiri ini. Sudah tentulah sasaran novel bersiri ini ialah kepada mereka yang berada pada peringkat awal remaja. InsyaAllah, AR sasarkan menjelang awal tahun hadapan maka novel ini akan berada di pasaran. Sengaja AR memilih editor yang sudah AR kenali kerana AR tahu cara kerja dan kehendaknya.Kekadang kita perlukan keserasian dalam membentuk pasukan untuk menghasilkan sesuatu produk.Terima kasih kepada semua pembaca termasuk pembaca cilik ini kerana memberikan semangat untuk AR terus berkarya.
02 August 2010
Kita Sudah Merdeka?
31 hb Ogos 2010, negara Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan Ke-53. Ini bererti sudah 53 kali kita mengadakan sambutan hari kemerdekaan. Apakah maksud perayaan hari kemerdekaan? Ini bermaksud kita cuba mengadakan aktiviti yang dapat menyatakan tentang kegembiraan kita kerana kita sudah bebas daripada belenggu penjajah. Sedar ataupun tidak sudah 53 tahun kita merdeka. Kita merdeka daripada penjajah Inggeris. Sewaktu kita dijajah, segala hasil mahsul kita seperti bijih timah, getah, dan barang-barang berharga kita dirampas dan dibawa lari ke negara Britain. Katanya kita rakyat pribumi tidak tahu memerintah negara pada waktu itu. Mereka mencorakkan sosio budaya negara ini. Buruh-buruh asing dari negara China dibawa ke lombong-lombong bijih timah manakala buruh-buruh dari negara India dibawa ke estate-estate untuk menoreh getah. Orang-orang dari Negara China membawa budaya mereka termasuklah kewujudan kongsi-kongsi gelap seperti Gee Hin dan Hai San. Orang-orang dari negara India juga membawa budaya mereka ke sini. Manakala orang-orang Melayu ditempatkan di kampung-kampung untuk bekerja di sawah-sawah padi. ‘Peta budaya’ yang dilakarkan oleh pihak British nampaknya berjaya untuk memecahbelahkan masyarakat kita kerana masing-masing berjuang berpaksikan negara masing-masing pada masa dahulu. Inilah yang menyukarkan kita untuk bersatupadu kerana masing-masing ada perasaan curiga mencurigai antara satu kaum dengan kaum yang lain. Dalam hal ini cuma bahasa Melayu sahajalah yang dapat dilihat sebagai satu-satunya cara terpenting untuk penyatuan semua bangsa di Malaysia. Penggunaan bahasa Melayu dalam urusan di pejabat kerajaan, swasta, sekolah, pusat pengajian tinggi ataupun ketika berkomunikasi di mana sahaja akan dapat mengikat suatu persefahaman bahawa kita duduk dan tinggal di Malaysia. Malangnya setelah 53 tahun kita merdeka, kita gagal untuk memastikan rakyat Malaysia 100% menguasai bahasa Melayu (Prof. Teo Kok Seng). Apabila rakyat kita tidak dapat menguasai bahasa Melayu maka kita gagal untuk membentuk kesepaduan bangsa Malaysia. Biarpun kita maju dari segi teknologi namun dari segi jati diri, patriotisme, dan sayang akan bangsa Malaysia kita gagal. Ini dapatlah diibaratkan seperti pokok yang tampak hebat di luar (kerana ketinggian dan daunnya yang menghijau) namun batangnya mereput dan menunggu masa untuk tumbang. Kita sesungguhnya percaya dan penuh yakin bahawa bahasa Inggeris itu penting tetapi kita harus lebih yakin bahawa bahasa Melayu itu teramat penting. Kepentingan bahasa Melayu itu melebihi kepentingan bahasa Inggeris kerana ia dapat memastikan perpaduan kaum serta keharmonian penduduk Malaysia akan tercapai. Apabila perpaduan dan keharmonian ini tercapai maka teras kemajuan negara Malaysia akan kukuh maka disitulah maksud sebenar kemerdekaan negara Malaysia. Kesempatan AR berkunjung ke UK dapat menunjukkan kepada AR betapa UK itu berkembang maju kerana hasil bijih timah dan getah yang telah ‘dirompak’ oleh negara itu. Hasil bumi kita ‘dirompak’ dan dibawa pulang untuk kemakmuran negara mereka. Apa yang tinggal kini ialah sisa-sisa yang jikalau tidak diuruskan dengan betul maka sisa-sisa penjajah ini akan menjadi racun yang akan menghancurkan negara kita. Apakah kita sudah merdeka?
25 July 2010
Kesemua Siri Usahawan Cilik Akan Dieksport Ke Indonesia!

Alhamdulillah, itulah yang AR dengar sendiri dari mulut Pengerusi PTS Sdn Bhd. Berita gembira ini AR terima sewaktu AR ikuti kursus penulisan di Taman Malawati. Kursus itu dilaksanakan sendiri oleh Puan Ainon. Mengikut perjanjiannya pihak penerbit di Indonesia bersetuju secara dasarnya untuk melesenkan kesemua Siri Usahawan Cilik ke Indonesia. Ini bermakna tiga lagi novel AR akan 'menyeberangi' selat Melaka untuk dijual di Indonesia. Novel-novel tersebut ialah Homestay Bayu, Taman Botani Harapan dan Jutawan 3R. Sebelum ini novel Kerepek AF telahpun dilesenkan dan kini telahpun berada di pasaran buku Indonesia.
Sewaktu berbincang dengan Pengerusi PTS, beliau ada mengemukakan harapannya iaitu agar buku-buku PTS dapat diterjemahkan dan dijual ke seluruh pelusuk dunia. Ini termasuklah ke Russia, Afghanistan, Afrika, China atau ke mana sahaja. AR amat optimis bahawa harapan beliau itu akan menjadi kenyataan berdasarkan pencapaian syarikat dan cara kerja yang diamalkan oleh pihak pengurusan PTS.Untuk memastikan harapan ini dapat direalisasikan maka penghasilan produk buku yang bermutu harus menjadi keutamaan (dan ini telahpun diambilkira oleh pihak PTS). Selain itu idea yang melampaui daerah geografi harus dapat diketengahkan kerana ini akan memudahkan proses penterjemahan. AR pernah mengikuti kursus Sarjana Pendidikan dan salah satu kertas kerja yang pernah dibincangkan ialah "Kurikulum Futuristik". Ini bermakna kita harus punya kebolehan untuk 'meramal' akan kehendak pasaran masa hadapan.
Subscribe to:
Posts (Atom)